PETALING JAYA – Kementerian Pengangkuan mengarahkan syarikat penerbangan tempatan segera menurunkan harga tiket penerbangan domestik susulan rungutan mengenai tambang terlalu tinggi sejak perjalanan rentas negeri dibenarkan.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kementeriannya menemui Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia semalam untuk membincangkan keperluan menurunkan harga tiket penerbangan.

“Sejurus pertemuan itu, Malaysia Airlines berjanji untuk menambah penerbangan tambahan ke Sarawak pada Disember, sekaligus berupaya mengurangkan kadar tambang ke negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Wee berkata kedua-dua Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga bersedia meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memutuskan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada 223 kepada 307 penerbangan seminggu ke Sarawak kepada Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, Malindo, dan Scoot (Singapura), bermula 4 Dis 2021 hingga 5 Jan 2022,” tambahnya lagi.

Tambah beliau, kementerian berharap kerajaan negeri akan segera mengembalikan jumlah kekerapan tersebut kepada 502, sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, kerajaan memandang serius perkara ini yang memberi kesan kepada orang ramai iaitu daripada pengembara hingga ahli keluarga untuk bertemu semula setelah sekian lama berpisah akibat pandemik.

“Kerajaan mengingatkan kepada semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tambang bagi menampung kerugian yang dialami sebelum ini. Ini persepsi orang ramai yang perlu ditangani syarikat penerbangan,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/27/syarikat-penerbangan-diarah-turun-harga-tiket-domestik/

Leave a Reply