KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique enggan mengulas mengenai isu beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang menerima papan tanda nama sekolah baru tanpa aksara Cina.

Beliau sebaliknya berkata segala keputusan mengenai papan tanda itu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan Pahang.

“Oleh kerana ini (melibatkan) Jabatan Pendidikan, saya rasa kita patut mendapatkan respons daripada KPM dan kedua, kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan [email protected] Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

Beliau diminta mengulas laporan Sin Chew Daily baru-baru ini apabila Jabatan Pendidikan Pahang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah SJK (C) dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi tidak dalam aksara Cina.

Sekolah terbabit adalah di SJK (C) Yoke Hwa dan SJK(C) Kee Wha.

Bagaimanapun semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon dilapor telah mengarahkan jabatan pendidikan negeri membina papan tanda baharu yang mengandungi aksara Cina dan Tamil manakala papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Dalam pada itu, Halimah yang ditanya adakah tindakan tidak memasukkan aksara Cina selari dengan perpaduan negara, beliau berkata Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

“Seperti yang saya sebut dari segi penjenamaan itu, Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

“Jadi kalau contoh nak diletakkan bahasa lain, itu patut jadi keputusan kementerian tersebut.

“Kedua, di peringkat negeri ada kaitan dengan kerajaan negeri, jadi kalau pada pandangan kerajaan negeri perlu ada keperluan itu, ia terpulang kepada kementerian dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada tindakan itu dianggap tidak menghormati bangsa lain.

“Saya tidak mahu jawab yang itu kerana ia menjurus kepada perkara spesifik. Saya rasa kita dapatkan respons dan kenyataan daripada KPM,” katanya.

Isu berkenaan mencetuskan kebimbangan di kalangan kumpulan pendidik dan parti politik, dengan pemimpin DAP mengkritik tindakan tersebut sebagai penghinaan terhadap kepelbagaian budaya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/28/menteri-enggan-campur-tangan-isu-papan-tanda-sjkc-tiada-tulisan-cina/

Leave a Reply