KUALA LUMPUR – Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mencatat perolehan sebanyak RM19.1 juta bagi tempoh suku tahun ketiga berakhir 30 September 2021, iaitu jatuh 26.4% berbanding RM26.0 juta yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Hektar REIT mencatatkan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM10.3 juta bagi suku tahun yang dikaji, yang merupakan penurunan sebanyak 20.1 peratus berbanding RM12.9 juta pada tempoh yang sama sebelumnya, manakala pendapatan direalisasikan bagi suku tahun ketiga 2021 juga menurun 69.0 peratus iaitu RM1.4 juta berbanding RM4.5 juta suku yang sama pada 2020.

Pendapatan setiap unit kali ini ialah 0.30 sen berbanding 0.98 sen pada suku yang sama tahun lalu, kata syarikat dalam kenyataannya di sini.

Penyusutan dalam Hasil Kasar dan NPI berbanding tahun lalu adalah disebabkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan pada awal suku ketiga 2021 menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi (“NRP”), yang menetapkan negeri-negeri di bawah Fasa 1 terus kekal di situ sehingga mereka memenuhi kriteria tertentu sebelum boleh beralih ke fasa lain.

Peningkatan kes pandemik COVID-19 yang berlarutan telah mengakibatkan pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan pergerakan dari bulan Mei hingga pertengahan Ogos 2021 telah menyebabkan impak teruk terhadap perniagaan di bawah suku tahunan yang dikaji.

Namun, kini Hektar REIT menyaksikan lebih ramai pengunjung datang ke pusat beli-belah berikutan kelonggaran PKP seiring dengan pembukaan semula ekonomi. Hektar REIT menjangkakan perniagaan akan perlahan-lahan memulih dengan hampir semua sector ekonomi dibenarkan dibuka semula dengan kebenaran untuk `dine-in’ dan pergerakan merentas negeri adalah bermanfaat kepada REIT dan pengendali pusat beli-belah yang lain.

Hektar REIT mengekalkan kewaspadaan masa depan perniagaannya disebabkan semua yang telah berlaku dalam 20 bulan lepas dan berikutan kemunculan beberapa varian COVID-19 yang membimbangkan, seperti varian Delta-plus yang sangat mudah berjangkit.

Seiring dengan usaha kerajaan untuk negara beralih ke fasa endemik, REIT akan terus mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard bagi memastikan keselamatan berterusan pengunjung, penyewa, vendor dan kakitangan. – BebasNews

Leave a Reply