Foto Anadolu.

BERLIN – Jerman mengesahkan bahawa terdapat dua kes Covid-19 varian terbaharu Omicron di negara itu yang sebelum ini dilaporkan berlaku di Afrika Selatan.

Laporan tentang kemunculan Omicron menyebabkan kedua-dua pesakit yang datang ke Jerman dari Afrika Selatan mendapatkan ujian pengesahan Covid-19 dan kini dikuarantinkan, kata Kementerian Kesihatan Jerman.

Sementara itu, Itali melaporkan kes Omicron yang pertama di negara itu apabila pesakit yang divaksin sepenuhnya pulang ke Itali dari Mozambique.

Orang yang rapat dengan pesakit berkenaan juga dikuarantinkan, lapor Agensi Berita Itali, ANSA.

Itali pada Sabtu lalu melaporkan negara itu berdepan dengan 12,877 kes baharu Covid-19 dan 93 kematian berkaitan virus berkenaan.

Saintis sebelum ini mengumumkan mereka menemukan varian terbaharu Covid-19, Omicron yang lebih mudah untuk berjangkit dan tidak berkesan untuk ditangani dengan vaksin yang sedia ada.

Beberapa negara dunia telah menutup pintunya daripada pengunjung daripada negara-negara dari benua Afrika seperti Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho, dan Eswatini, kerana bimbang penularan Omicron yang dipercayai lebih berbahaya. – BebasNews

Leave a Reply