SUBADRON Aziz yang juga Pengarah Akademi Bola Sepak Subadron (kiri) bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. - Foto FAM

KEMARAAN Kuala Lumpur City FC ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, membuktikan mereka bukan lagi pasukan yang ibarat ‘melukut di tepian gantang, masuk tak penuh keluar pun tak kurang!’

Siapa lagi yang turut berbangga dengan kejayaan skuad Bojan Hodak itu kalau bukan anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur yang juga bekas penyerang juara hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989 – Subadron Aziz.

“Sudah lama saya teringin melihat Kuala Lumpur kembali ke final. Sudah lama ditunggu-tunggu sampai 32 tahun. Barulah pasukan ini dihormati sekarang. Kalau tidak, ada ke tiada ke, Kuala Lumpur ini macam sama sahaja.

“Sebagai bekas pemain Kuala Lumpur, kami pun tumpang seronok dengan kejayaan KL City FC selepas kalahkan Selangor FC (3-0 agregat suku akhir) dan Melaka United FC (penalti 5-3 separuh akhir).

“Kini barulah juga ada orang yang mengenang semula sejarah kegemilangan Kuala Lumpur dengan tiga kejuaraan Piala Malaysia. Saya turut bersyukur,” katanya yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 bersama Malaysia, kepada BebasNews, hari ini.

SUBADRON Aziz ketika era kegemilangannya yang mengumpul (dari kanan) Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah, Piala Malaysia dan Piala Liga.

Selasa ini, KL City FC bakal kembali menyaingi kejuaraan yang sudah mencecah 100 tahun penganjurannya dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Di atas kertas JDT memang akan jadi pilihan utama tetapi jika saya masih bermain dan kini sebagai pejuang bola sepak Kuala Lumpur, semangat melawan dan buktikan sesuatu kepada lawan mesti sentiasa menyala-nyala dalam setiap perlawanan apatah lagi final.

“KL City FC perlu tanamkan tekad dalam dada, walau siapa pun JDT FC itu, jangan ingat kami akan beri lawan menang. Saya pun memang suka dengan cabaran dalam menentang lawan yang lebih kuat,” katanya.

Dia juga menjaringkan satu gol masing-masing ketika Kuala Lumpur menewaskan Kedah 3-0 dan 2-1 pada final 6 November 1988 dan 3 Disember 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Tentu sekali final 1989 yang paling saya kenangi. Saya masih berjaya menjaringkan gol ketika ramai menganggap Kuala Lumpur sudah pincang apabila tanpa Fandi Ahmad (penyerang import Singapura),” katanya.

Gol final pada minit ke-23 itu dijaringkan Subadron yang meluru untuk menanduk hantaran lintang sebelah kanan oleh Serbegeth Singh daripada gerakan yang diatur Razip Ismail.

Turut memperkasa Kuala Lumpur bimbingan mendiang Chow Kwai Lam itu ialah Rashid Hasan, See Kim Seng, Chow Siew Yai, Nazim Din, Mohd. Zan Mat Aris, Yap Wai Loon, Kannan Kunjuraman, Saidin Osman, Zaid Jamil dan Malek Awab.

Menjangkakan KL City FC mampu mengejutkan lawan 1-0 untuk bergelar juara, Subadron berkata, “berjuanglah habis-habisan dalam 90 minit dan jangan cuba untuk terlalu bergantung tuah seperti menang penalti dengan Melaka United FC (Jumaat lalu).. ‘menangis’ nanti.”

SUBADRON Aziz, 56, (depan, tengah) bersama isteri, Salwa Abdul Rahman, 55 dan anak-anak mereka, Puteri Sulaikha, 23, dan Putera Sufrie, 20. – Foto FB SFA

Dia turut mengakui menangis dalam bilik persalinan ketika Wilayah Persekutuan (nama asal Kuala Lumpur sejak ditubuhkan 1979) tewas 2-0 kepada Johor dalam perebutan Piala Malaysia 1985 malah menjadi anggota pasukan yang terakhir keluar dari situ.

Mengimbas kembali kekalahan dengan gol Muhidin Husin dan Fadzli Ahmad pada 13 Julai 1985 itu, katanya, “saya baru berusia 20 tahun dan merupakan pemain yang termuda dalam pasukan Wilayah Persekutuan.

“Namun sejak kekalahan itu, saya berjanji kepada diri untuk memastikan kemenangan apabila Kuala Lumpur masuk semula final dan dimakbulkan Allah dalam tiga final berturut-turut,” katanya.

Mengenai barisan KL City FC sekarang, katanya, kapten Paulo Josue terbukti sentiasa menjadi ‘jantung’ pasukan manakala penyerang Romel Morales mahir dalam menguasai bola sekali gus mampu membantu gerakan rakan-rakan sepasukan.-BebasNews

Leave a Reply