DUNIA hiburan Indonesia digemparkan menjelang penghujung tahun 2021 berikutan dengan viral kemunculan artis muda ketika menyanyi yang amat mirip kepada suara penyanyi tersohor, Allahyarham Nike Ardilla.

Artis baharu berhijab yang dimaksudkan itu bernama Reza begitu hangat diperkatakan dalam media cetak, media sosial dan televisyen swasta nasional di republik itu sejak pertemgahan November 2021.

Reza yang berusia 19 tahun lahir pada 13 Oktober 2002 merupakan anak kedua dalam tiga beradik anak kepada pasangan suami isteri bernama Rabani Daeng Timung dan Norma Daeng Kama itu kini menetap di Dusun Bonto Tinggi, Desa Marayoka, Kecamatan Bengkala, Kabupaten Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Menurut Reza, oleh kerana keluarganya berpendapatan rendah menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah menengah setakat tingkatan satu pada tahun 2017, tetapi keinginan untuk menyambung persekolahan masih ada, jika mempunyai wang yang secukupnya kelak.

“Sejak behenti itu saya menyanyi dari panggung ke panggung, termasuk majlis hajatan (kenduri) dengan bayaran kecil bagi mendapatkan wang membantu keluarga, apatah lagi bapa yang sering sakit-sakit tidak menentu pendapatannya,” kata Reza penyanyi bersuara nyaring dan serak basah itu.

Bapanya bekerja sebagai petani dan mengambil upah membina rumah, manakala ibu pula berjualan bakso di rumah dan pasar mengikut keadaan tertentu tidak menjamin untuk mendapatkan wang mencukupi bagi membantu menyara keluarga, malah lebih menyedihkan rumah daif mereka yang ditumpangi di tanah orang lain itu kerap bocor digenangi air apabila hujan lebat.

“Niat saya insya-Allah doakan ya, semoga Echa berjaya sebagai penyanyi bagi mendapatkan wang membantu bapa membeli tanah untuk mendirikan rumah yang lebih selesa, selain menghantar kedua ibu bapa menunaikan umrah atau haji ke Mekah,” luah Reza dalam nada sebak sambil mengesat air mata yang sesekali membahasakan dirinya dengan nama Echa.

Nike Ardilla

Reza mula dikenali ramai dan mendapat perhatian pihak tertentu apabila kegiatan menyanyi lagu-lagu popular Nike Ardilla kedengaran unik mirip dengan suara penyanyi asal dalam banyak majlis keramaian di sekitar kampungnya itu lalu terdapat inisiatif Youtuber untuk mengunggah klip video Reza ke media YouTube sekitar Oktober 2021.

Kehebatan suara nyanyian Reza yang setanding dengan suara Nike Ardilla itu turut mendapat perhatian penyanyi ternama Indonesia, Melly Goeslow. Apa yang lebih menarik ialah Melly Goeslow merupakan rakan karib sejak kecil dengan penyanyi Nike Ardilla dan sudah pasti penilaiannya tepat terhadap potensi Reza.

Melly Goeslow

“Harap ada pihak dapat membantu mengetengahkan bakat Reza agar berjaya menjadi penyanyi popular. Reza juga anak yang baik dan rajin membantu orang tuanya, moga jalan hidup Reza dipermudahkan oleh Allah SWT,” ungkap Melly Goeslow yang terkenal membantu mengembangkan bakat anak seni antaranya ialah artis jutawan Indonesia, Raffi Ahmad.

Berikutan meluap-luap viral Reza dalam YouTube, dia kemudiannya diterbangkan dari Sulawesi Selatan ke Jakarta khusus untuk menjadi bintang tamu dalam program hiburan Brownis di stesen televisyen swasta nasional TransTV pada 16 November 2021.

Gayanya menyanyi lagu-lagu popular Nike Ardilla secara profesional dalam program hiburan tersebut memang dikagumi ramai kerana Reza sudah biasa dengan pertunjukan pentas secara serius sejak berusia 17 tahun.

Kemunculan Reza di kaca televisyen tersebut mampu mengubat kerinduan para peminat Nike Ardilla yang sudah menemukan ‘suara pengganti’ selepas 26 kematian artis kesayangan ramai itu. Nike Ardilla atau nama penuhnya Raden Rara Nike Ratnadilla Koesnadi yang popular dengan lagu ‘Bintang Kehidupan,’ ‘Seberkas Sinar’ dan ‘Ku Tak Akan Bersuara’ itu mati dalam muda usia 19 tahun akibat kemalangan jalan raya kereta dipandunya terbabas menghentam tembok pagar pinggir jalan di Bandung, Indonesia sekitar pukul 6.15 pagi pada 19 Mac 1995.

Sementara itu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh Reza ialah pernah ditolak penyertaannya oleh panel setelah diuji bakat di Sulawesi Selatan untuk menyertai pertandingan nyanyian dangdut anjuran sebuah stesen televisyen swasta nasional pada tahun 2017. Namun kegagalan itu dijadikan motivasi oleh Reza bagi terus berusaha keras bagi membuktikan kepada umum suatu hari kelak bahawa dia bukan penyanyi yang gagal sekali gus bersyukur berkat doa ibu bapa, cita-citanya itu semakin hampir untuk menjadi kenyataan dan bakal mengubah corak kehidupannya.

Dalam sesi wawancara lain sebelum muncul di TransTV, Reza mengakui dia banyak mendapat tawaran untuk mengembangkan bakatnya di Jakarta.

“Namun saya hanya menerima ajakan ke Jakarta yang dibuat oleh Kak Emma Amrin yang telah lama terkenal mengetuai Kelab Peminat Nike Ardilla (NAFC). Terima kasih Kak Emma dan rakan-rakannya yang amat baik membantu mengembangkan bakat nyanyian saya di Jakarta,” ucap Reza penuh terharu.

Sehingga kini hampir 100 peratus netizen menyokong dan mendoakan kejayaan Reza sebagai penyanyi popular kelak. Netizen yakin Reza mempunyai suara asli tanpa meniru suara Nike Ardila, malah apabila terdapat dalam YouTube suara nyanyian mereka disandingkan sehingga kedengaran 100 peratus sama dan sukar untuk membezakannya.

“Saya sendiri tidak pernah menyedari suara saya mirip suara Nike Ardilla, malah saya dilahirkan setelah kematian Almarhumah Nike Ardilla penyanyi yang saya hormati itu,” kata Reza yang berwatak penuh sopan santun itu turut dikenali dalam kalangan media sosial dengan beberapa nama seperti Rehza, Ressa, Reza Jeneponto dan Reza Ardilla.

Sebelum ini dunia hiburan digemparkan dengan kemunculan bintang remaja bernama Amel Amilia mirip 90 peratus wajah Nike Ardilla. Amel kini dengan suara tersendiri telah berjaya merakam dua buah rakaman lagu nyanyiannya berjudul ‘Serupa’ dan ‘Ku Ingin Bebas’ ciptaan komposer Dommy Allen seangkatan dengan komposer ternama Allahyarham Deddy Dores penjulang lagu-lagu popular Nike Ardilla dahulu.

Semoga kini akan menjadi giliran kejayaan kepada Reza pula sebagai pelengkap kepada ‘jelmaan semula Nike Ardilla’ iaitu Amel Amilia mirip wajah, manakala Reza mirip suara penyanyi tersohor yang tercatat dengan tinta emas dalam sejarah dunia seni suara nyanyian Indonesia. – BebasNews

Leave a Reply