Ka Siong (kanan) bertanya kepada seorang pelanggan yang berurusan di Ibu Pejabat JPJ Johor semasa melakukan tinjauan mengejut ke jabatan berkenaan.

JOHOR BAHRU – “Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor.”

Demikian luahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong apabila membuat tinjauan mengejut dan menyaksikan orang berbaris panjang semasa berurusan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya, hari ini.

Justeru, beliau terus membuat siasatan apakah punca masalah berkenaan.

Sambil melahirkan perasaan sedih dan terkilan kerana situasi itu menyebabkan urusan di situ menyusah dan membuang masa orang ramai, Ka Siong yang juga Presiden MCA turut menyifatkan masalah berkenaan timbul kerana sistem yang diguna pakai di situ sudah ‘kuno’

“Ada yang memberitahu saya bahawa Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat pos selain ada yang mempersoal sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.

“Selain itu, daripada empat mesin cetak LMM yang dibekal Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini.

“Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya selepas melakukan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat JPJ Johor, hari ini.

Ka Siong berkata, sistem perkhidmatan kaunter JPJ sedia ada yang telah berusia lebih 10 tahun terlalu kuno dan perlu dimodenkan selari dengan era digitalisasi.

“Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” katanya sambil berharap situasi sama tidak berlaku di tempat lain sehingga akhirnya membazir masa dan menyusahkan rakyat.

“Rakyat tentu marah jika terpaksa lari ke sana ke sini untuk urusan LMM atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

“Jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply