Kereta Ferrari yang selama ini menjadi idaman berjaya dimiliki oleh Norrizah Hazirah Maulana dan Mohd. Helmi Izani.

RAMAI cemburu melihat pasangan suami isteri, yang gambarnya ditular baru-baru ini kerana berjaya membeli kereta mewah jenis Ferrari pada 18 November lalu dengan nombor plat IIUM 12.

Jika ditelusuri sejarah hidup Norrizah Hazirah Maulana, 32, dan suami, Mohd. Helmi Izani, 31, pasti ramai yang mengakui sudah sewajarnya pasangan itu mengecapi apa yang dinikmati sekarang dan jauh sekali untuk bersikap sombong.

Kedua-dua bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak, Selangor itu, kini mampu tersenyum dan berkongsi rezeki dengan orang lain kerana penat jerih yang dilalui selama ini telah menampak hasilnya.

Norrizah atau mesra dengan panggilan Kak Bi dalam kalangan ejen dan pengikutnya di media sosial, adalah pemilik empayar sauna mudah alih iaitu Sumosauna.

Menurut Norrizah, beliau dan suami mempunyai alasan tersendiri kenapa nombor plat kereta IIUM 12 yang ditular jadi pilihan. Pemilik gudang dan lima lot kedai di Pekan Nanas, Johor, itu berkata, ada kisah di sebalik nombor plat yang mengabadikan nama universiti tempat pengajian mereka.

Mempunyai gudang dan lima kedai lot yang menjual produk Sumosauna.

Beliau berkata: “Saya dan suami belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak. Saya graduan Ekonomi manakala suami pula belajar Kejuruteraan Mekanikal.

“Sebagai kelainan, kami guna akronim universiti itu dalam bahasa Inggeris iaitu International Islamic University Malaysia (IIUM). Angka 12 tu kebetulan ada simbolik dan kenangan tersendiri untuk saya dan suami.

“Kami bangga mencipta kejayaan di situ. Kami pun mengalu-alukan golongan pelajar universiti itu untuk menjana pendapatan bersama Sumosauna. Ada tiga orang ‘top leader’ di kalangan graduan di situ yang sudah jadi jutawan dan hanya menjadi suri rumah,” katanya terus terang.

Kata Kak Bi, beliau tidak pernah menyangka kereta idaman yang selama ini hanya menjadi gambar hiasan serta paparan di komputer peribadi selain menjadi poster di dinding mampu dibeli kini.

“Allah Maha Kaya. Aturan Tuhan itu cantik. Jatuh bangun dalam hidup yang mematangkan diri. Namun saya dan suami juga bangga kerana hasil jualan produk sauna kami mampu melahirkan 12 orang golongan jutawan. Bahkan ada usahawan dibimbing mencapai jualan 1 juta pertama dalam tempoh 11 bulan.

Sehingga kini Sumosauna berjaya membimbing tiga pelajar universiti menjadi top leader untuk jenama tersebut.

“Mereka itu bermula dari kosong, tapi dibantu dan dibimbing kami sendiri sampai berjaya hingga boleh beli kereta dan rumah idaman.

“Malah saya bangga kerana separuh daripada jumlah jutawan itu daripada golongan suri rumah. Selebihnya daripada golongan bekerjaya seperti cikgu dan jururawat,” katanya.

Menurut Kak Bi, beliau bermula dengan bekerja di sektor profesional sebelum menjadi suri rumah yang mencuba pelbagai jenis cabang perniagaan.

“Selepas berkahwin, saya berhenti kerja sebagai pegawai eksekutif. Sempat kerja dalam setahun lebih. Suami ketika itu pun masih belajar di UIA. Saya mula berjinak-jinak dalam dunia niaga sekitar tahun 2014. Cuba nasib jadi ejen jual pelbagai jenis produk.

“Awal 2016, saya beranikan diri jual pakaian kanak-kanak sendiri. Percaturan berjaya kerana membuahkan hasil. Tapi sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

“Kesibukan bekerja dan cari duit, buat saya lupa nikmat dan keberkatan mengenai peranan serta kewujudan ibu bapa. Lupa jaga perasaan mereka. Malah sampai tahap dalam tak sedar buat ibu dan bapa mentua terguris hati,” kata ibu kepada empat anak itu.

Keperitan lalu membuatkan Norrizah Hazirah menjadi kuat dan berusaha untuk berjaya.

Tambahnya, pada tahun 2017, beliau dan suami diduga dengan ujian hebat yang tak pernah diduga selama ini.

“Pada satu tahap, tak ada duit di tangan. Hanya bergantung duit ibu bapa berikan kepada cucu mereka. Bahkan, saya dan suami pernah ‘korek duit’ di setiap penjuru rumah untuk cukupkannya kerana hendak beli sekilo beras.

“Kereta pernah ditarik sebab enam bulan tak bayar. Bil api dan air kena potong hingga akhirnya keluar dari rumah sewa di Johor sehelai sepinggang dan tak tahu arah tuju nak ke mana. Masa itu saya hamil anak ketiga,” katanya mengimbau dugaan lalu.

Kata Kak Bi, akhirnya beliau sekeluarga pulang ke rumah mentua di Kota Tinggi dan nasib baik kepulangan mereka diterima.

“Daripada situ keberkatan dan rezeki mula masuk. Saya dan suami mula sedar hidup lebih bermakna jika kita terus memuliakan ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mukjizat.

“Dipendekkan cerita, pada November 2018 kami mula tercetus idea menjual sauna mudah alih. Suami sebelum itu juga ditawarkan kerja dengan gaji yang besar di sebuah syarikat broker. Ikutkan saya tak bekerja pun okey.

“Perkongsian saya di Facebook ketika memuat naik entri mengenai suami yang nak kurus dan guna sauna mudah alih mencuri perhatian pengikut. Bermulalah pra tempahan hingga kami mengeluarkan jenama sendiri,” katanya.

Kak Bi berkata, akhirnya suami memutuskan untuk berhenti kerja di syarikat broker sejak 27 Februari lalu dan sama-sama membangunkan produk sauna berkenaan.

“Daripada lima unit sauna mudah alih sebulan terjual, kami akhirnya pernah mencapai jualan 5,000 unit. Ejen juga bertambah dari lima hingga menjadi 18,000 di seluruh Malaysia.

“Sebab saya tak larat uruskan seorang diri, maka di ‘paksa’ suami berhenti kerja. Kami sama sama jadi pemilik dan pengarah urusan.

“Ketika pandemik Covid-19 menyerang dunia, bagai ada hikmah… permintaan produk sauna itu meningkat berkali ganda,” katanya.

Sauna mudah alih yang diiktiraf sebagai Asia Pacific TOP Excellence Brand 2021/2022 itu dijual pada harga RM399 seunit. Ketika ini juga kempen slim sebelum raya sedang rancak berjalan dengan ganjaran menarik menanti.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.sumosauna.com atau ikuti Instagram. @sumosaunahq.

BebasNews.

Leave a Reply