SERBEGETH Singh (kanan) bersama-sama Bojan Hodak di JDT dari 2014 hingga 2015.

SERBEGETH Singh masih mempunyai nilai sentimental dengan sejarah kejayaan hatrik Piala Malaysianya di Kuala Lumpur namun sokongannya tetap kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, esok.

Mana mungkin anak jati Kluang ini boleh melupakan negeri kelahirannya itu biarpun Kuala Lumpur City FC pula yang akan menjadi lawan dalam perlawanan akhir edisi 2021 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Katanya kepada BebasNews, “nilai sentimental memang ada kerana sejarah karier bola sepak saya merakamkan banyak kejayaan dengan Kuala Lumpur tetapi segi emosinya, saya tetap anak jati Johor.

“Saya jangkakan JDT berjaya mempertahankan Piala Malaysia dengan kemenangan 2-0 dalam 90 minit permainan,” kata pengulas sukan TV ini yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 bersama Malaysia.

Bekas bek tengah kebangsaan ini juga terkenang semula bagaimana dia mewakili Wilayah Persekutuan yang ditewaskan pasukan pilihan, Johor 2-0 dalam final 1985 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Final esok mirip atau mengulang Johor menentang Wilayah Persekutuan pada 1985. Itu musim pertama saya di ibu kota selepas berhijrah dari Johor.

“Kami juga dianggap pasukan yang masih muda dan dalam pembikinan tetapi masih berjaya mara ke final setelah mendapat jurulatih yang bagus, Josef Venglos (mendiang) dari Czechoslovakia.

“Johor ketika itu memang sebuah pasukan yang mantap,” katanya yang kemudian bangkit untuk menjulang Piala Malaysia berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989 dengan Kuala Lumpur setelah menewaskan Kedah 1-0, 3-0 dan 2-1.

SHEBBY (kanan) bersama Rashid Hasan (cuba menangkap bola), tonggak Kuala Lumpur juara Piala Malaysia.

Shebby (julukannya), 61, mengakui tiada mana-mana pemain KL City yang dianggapnya mampu membuat sesuatu yang luar biasa atau istimewa untuk menjinakkan JDT termasuk Paolo Josue dan Romel Morales.

“Perjalanan KL City ke final pun banyak kerana pertahanan mantapnya dan tersusun. Mereka lebih suka bermain secara berwaspada dan menunggu menyerang balas.

“JDT perlu diserang dan dipaksa bertahan sedangkan gaya KL City bukan begitu. Namun terlalu bahaya jika main terlalu negatif dengan JDT,” ulasnya mengenai peluang Si Warga Kota kendalian Bojan Hodak itu.

KL City katanya, jika ada pun Faktor X yang bakal menyebelahinya untuk mengubah keputusan perlawanan akhir itu ialah keadaan luar dugaan seperti kad merah atau gol sendiri JDT serta tuah.

“Sukar untuk menidakkan kemenangan JDT dengan kualiti pemain mereka. Josue dan Morales perlu kerap turun membantu benteng KL City tetapi bakal sukar pula menembusi gandingan benteng tengah lawan, Mauricio dan Shane Lowry.

“Mengambil kira keadaan itu, KL City memang memerlukan sejumlah besar tuah dan keadaan luar dugaan untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia 32 tahunnya,” katanya.

Ditanya siri hatrik Piala Malaysia dengan Kuala Lumpur pula kata Shebby, “final 1989 ialah yang terbaik dalam karier saya. Buat kali ketiganya kami menentang lawan yang sama, Kedah.

“Kali pertama (1987), kedua-duanya setanding, yang kedua (1988) kami menang selesa tetapi tekanan bertambah dalam yang ketiga (1989).

“Kami sebagai juara bertahan yang sudah menang dua kali berturut-turut dan hendak mencari hatrik – satu perkataan yang paling besar dalam kamus bola sepak.

“Menewaskan Kedah 2-1 yang sebelum itu pasti tidak mahu kalah lagi, memang memberikan lebih banyak kepuasan daripada dua lagi final kami,” katanya.- BebasNews

Leave a Reply