JURI pada minggu kedua pada Sabtu lalu dari kiri: Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff, Hazamin Inteam dan Fauzi Marzuki.

BAGI stesen TV lain menerbitkan sebuah program realiti hiburan bagaikan memetik jari kerana mereka tidak terikat dengan syarat dan konsep stesen penyiaran mereka. Namun ianya tidak semudah itu bagi TV AlHijrah yang cukup dikenali sebagai agen penyebar dakwah di platform penyiaran.

Berpegang pada itulah apabila stesen berkenaan mahu menerbitkan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV pelbagai aspek diambil kira bagi memastikan ianya tidak lari dari landasannya dan mampu membentuk masyarakat serta mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah.

Bersandarkan itu, setelah lebih setahun meneliti dari pelbagai aspek demi memastikan kejayaannya dan setelah dua bulan pihak penerbitan mengambil masa untuk menzahirkan konsep berkenaan, pada 20 November lalu buat pertama kalinya program realiti hiburan “Hijrahkan Laguku” bertemakan ‘Journey Back To Him’ bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV Alhijrah pada pukul 9 malam.

“Hijrahkan Laguku” rancangan pertandingan hiburan Islamik yang menyampaikan mesej dakwah dengan lirik lagu yang digubah akan bersiaran selama lapan minggu setiap hari Sabtu menampilkan lapan penyanyi lama dan baru seperti Datuk Nash, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam (PG Adam), Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega dengan hosnya Faizal Ismail dan Bell Ngasri. Sementara juri tetap adalah komposer, Fauzi Marzuki.

NAMANZEE HARRIS

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris ketika dihubungi semalam dan apabila ditanya relevannya menerbitkan program realiti hiburan, beliau menjelaskan;

“Sebagai stesen TV yang dikenali sebagai agen penyebar dakwah, menerbitkan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV ‘Hijrahkan Laguku’ adalah demi memperkukuhkan kedudukannya di platform penyiaran.

“Sebenarnya sebelum menerbitkan program ini pelbagai persoalan bermain di minda saya apakah betul keputusan ini tetapi setelah melihat kepada keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif ia sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia dan kehendak penonton.

“Bukan itu sahaja, malah apabila memikirkan niat utama kami berdakwah dalam genre berbeza dan setelah melalui beberapa fasa perbincangan dengan team penerbitan, kami yakin dapat berkarya ke jalan yang lebih baik mengikut garis panduan berlandaskan syariah.”

Menurut beliau program yang fokusnya bukan hiburan semata-mata dan berlandaskan syariah serta bermesej amat penting apalagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dimana ramai yang mencari agama apabila diuji dengan kematian.

“Kita tidak boleh menafikan simbiosis kukuh diantara manusia dan seni muzik kerana fitrah manusia mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan dengan lirik mempersonakan dan seni persembahan yang mendamaikan.

“Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan muzik ditambah dengan elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari yang bertujuan ‘menghubungkan’ penonton setia stesen TV Alhijrah dengan pencipta-Nya,” jelas Namanzee Harris.

Katanya, meskipun pada minggu pertama bersiaran beliau bimbang jika program berkenaan tidak menarik perhatian remaja namun melalui media sosial beliau mendapat maklum balas yang amat memberansangkan.

Menyentuh mengenai pemilihan lapan penyanyi sebagai peserta program realiti hiburan, Namanzee Harris menjelaskan;

“Pemilihan artis yang menyertai program ini berdasarkan beberapa kriteria antaranya kisah penghijrahan mereka yang unik dan mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi ini. Selain itu bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam bidang nyanyian juga membantu melayakkan mereka menyertai program realiti ini.

“Walaupun ini adalah program realiti pertama terbitan TV Alhijrah namun saya bersyukur kerana ia setaraf dengan stesen TV lain malah menyediakan hadiah lumayan untuk juara pada peringkat akhir,” kata Namanzee Harris.

Persembahan minggu kedua “Hijrahkan Laguku” bertemakan ‘Growing Up’ pada malam Sabtu lalu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton apabila empat daripada artis memulakan persembahan dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta doa.

Zaf VE melantunkan doa buat ibu bapa. Shahir Zawawi pula membaca surah Ar-Rahman. Manakala Nash serta Rahmad Mega mengalunkan surah As-Shams dan surah Al-Baqarah.

Dengan kekuatan vokal, lirik lagu “Asli” serta persembahan mantap telah melayakkan Nash memenangi anugerah persembahan terbaik mingguan dengan hadiah wangtunai sebanyak RM3,000.

Bagaimanapun Nash menghadiahkan wang kemenangan tersebut kepada sebuah badan NGO iaitu Pusat Genius Kurnia yang akan dikunjunginya bersama pasukan CSR Hijrah Prihatin Hijrahkan Laguku.

“Hijrahkan Laguku” dengan dua juri undangan setiap minggu yang mana Sabtu lalu adalah Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff dan Hazamin Inteam. Program ini ditaja oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Hotel Premiera Kuala Lumpur. – BebasNews

Leave a Reply