OVIEDO, Sepanyol – Seramai 13 pemain dan kakitangan pasukan bola sepak liga utama Lisbon telah diuji positif dijangkiti Covid-19 varian Omicron, kata pegawai kesihatan Portugis.

Ahli pasukan Belenenses SAD telah pun dikurantinkan selama beberapa hari selepas disahkan positif virus itu minggu lalu. Thibang ‘Cafu’ Phete, pemain pertahanan pasukan, baru-baru ini berada di Afrika Selatan.

Ketua Perkhidmatan Kesihatan Portugal Graca Freitas, berkata majoriti mereka yang dijangkiti, jika tidak semua orang, telahpun mendapat vaksinasi, lapor Agensi Anadolu.

Freitas dalam temu bual dengan stesen radio tempatan TSF berkata, oleh sebab ahli pasukan itu dijangkiti varian baharu, pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada pengesanan hubungan yang agresif, pengasingan dan ujian.

Ahli-ahli pasukan bola sepak Benfica, yang menentang Belenenses SAD juga akan menjalani ujiam pengesanan Omicron, kata Freitas.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Portugal juga sedang menjalankan kajian ke atas virus dua penumpang yang diuji positif Covid-19 selepas terbang dari Maputo, Mozambique.

Institusi kesihatan Portugal INSA, yang memantau virus itu dengan teliti, berkata dalam satu kenyataan bahawa “masih tiada data saintifik yang dapat menyokong keupayaan Omicron boleh menyebabkan jangkitan lebih besar atau melemahkan keupayaan keberkesanan vaksin yang sedia ada.”- BebasNews

Leave a Reply