Dalam video muzik Bila Kau Tiada memaparkan perjalanan hidup Syamel dari kecil hingga bergelar penyanyi.

KEHILANGAN insan tercinta memang amat perit tapi itulah lumrah kehidupan, setiap yang hidup pasti kembali kepada-NYA. Kita yang masih diberi peluang menghirup udara di muka bumi ini suatu hari akan mengikut jejak langkah mereka juga. Namun momen indah bersama insan tersayang tetap tersemat di sanubari.

Bagi penyanyi Syamel yang kehilangan ibu tercinta, Wan Faaizah Karim, 55, pada Ogos lalu mengambil peluang untuk mencatat kenangan indah mereka dalam sebuah lagu yang diberi judul Bila Kau Tiada.

Menurut Syamel, jalan yang terbaik selepas pemergian ibu tercinta adalah dengan mencipta sebuah lagu yang dapat mengingatkan beliau tentang sosok wanita istimewa yang telah melahirkannya ke dunia ini dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Lagu Bila Kau Tiada memang saya cipta khas bagi mengingati umi buat selamanya dan secara umumnya ia juga boleh ditujukan buat sesiapa sahaja seperti isteri, suami, ibu dan bapa mahupun kekasih.

“Kiranya ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan pada masa yang sama terlampau rindu dengan orang tersayang yang telah pergi buat selamanya,” terangnya.

Syamel cipta khas lagu Bila Kau Tiada untuk arwah ibunya, Wan Faaizah Karim.

Tambahnya, lagu yang berdurasi 3:50 minit itu dialunkan dalam nuansa balada pop yang sememangnya menjadi forte beliau tatkala mula-mula bergelar penyanyi sejurus tamat program Akademi Fantasia pada 2015.

Kalau diamati setiap bait liriknya, ia pasti meruntun hati sesiapa yang mendengarnya ditambah pula dengan vokal Syamel yang lunak serta menggamit perasaan.

“Jujur saya katakan bahawa ketika memasuki studio milik Sharon Paul, hati rasa berdebar kerana harus mempersiapkan mental serta emosi buat lagu ini, sehingga terpaksa saya ulangi beberapa kali sampailah proses rakaman selesai sepenuhnya.

“Namun Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan agar ada ‘jiwa’ dalam nyanyian saya, ini kerana saya telah beberapa kali bekerjasama dengan beliau sebelum ini,” tambahnya lagi.

Jelas Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, arwah ibunya adalah tonggak kekuatan beliau sepanjang karier sebagai penyanyi dan kini sosok wanita kuat tersebut pergi buat selamanya.

Pemergian ibu tercinta bakal diganti dengan kehadiran cahaya mata sulungnya tak lama lagi.

“Saya telah kehilangan penyokong nombor satu saya iaitu umi, beliaulah yang selalu berada bersama saya sewaktu saya mula-mula masuk ke bidang seni selain ayah dan ahli keluarga yang lain. Namun kini, saya bersyukur dengan kehadiran Ernie sebagai suri hidup yang menyerikan kedukaan saya ditambah pula dengan kehadiran permata hati yang bakal tiba nanti, insya-Allah.

“Saya berharap agar single Bila Kau Tiada dapat diterima oleh semua dan menjadi lagu ‘peneman’ kepada mereka yang kehilangan dan boleh didengar apabila mereka terlampau merindukan seseorang.

“Selain itu, saya juga ingin menyaran agar rakyat Malaysia sentiasa menjaga diri masing-masing dan jangan menjadi ‘ganjil’, serta patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan, selain belajar beradaptasi dengan Covid-19 pada masa akan datang,” pesan Syamel.

Lagu Bila Kau Tiada sesuai untuk mereka yang kehilangan insan tersayang.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak dengan single terbaharunya ini memaparkan perjalanan hidup Syamel dari kecil sehingga bergelar penyanyi yang turut mempamerkan emosinya yang merindui seseorang yang tidak mungkin akan kembali lagi. Video muzik tersebut boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.

Lagu Bila Kau Tiada boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. –BebasNews.

Leave a Reply