Bagi sesetengah produksi pasti takut menampilkan pelakon baru, sebagai hero dan heroin filem atau drama terbitan mereka. Tetapi ini tidak kepada pengarah dan juga produser, Pentas Wayang Production Sdn. Bhd., Dato’ T.S Jeffry.

T.S Jeffry, 54, berkata, dia kena bertanggungjawab untuk melahirkan pelapis-pelapis baru kerana ini saja jasa dan pengorbanan yang mampu dibuat untuk kemajuan industri.

“Dalam bidang ini saya kena beranikan diri. Nak kata saya jaguh, tidaklah. Sekarang saya dah bergelar pengarah dan pengalaman dulu, bolehlah saya beri tunjuk ajar kepada pelakon-pelakon baru. Saya harap, lakonan mereka kenalah seiring dengan arahan dan apa yang saya inginkan.

“Pada saya sesebuah persembahan itu kena seiring. Kena ada skrip yang bagus juga. Kalau skrip bagus dan dibarisi pelakon baru, sebagai pengarah kita boleh memberi tunjuk ajar dan membentuk mereka sebagaimana yang kita inginkan. Kalau skrip bagus pun kalau pelakon tidak boleh memberi lakonan yang berkesan pun ada masalah juga.

“Pada saya, tak kira pelakon baru atau lama mereka kena faham watak yang dilakonkan. Kalau persembahan mereka kurang tidak ada masalah…boleh ditokok tambah. Tapi kalau sudah diajar berkali-kali masih tidak dapat `memberi’ itu yang akan menimbulkan masalah.”

Ketika penubuhan syarikatnya, T S Jeffry sudah berani menampilkan pelakon baru sebagai hero dan heroin untuk drama arahan dan terbitan Antara pelakon baru yang pernah mendapat sentuhannya ialah Raja Farah, Ozlynn Wati, Fizo Omar dan Ahmad Idham (Memori Indah)

Untuk drama terbarunya, Mrs. VIP, T. S Jeffry turut menampilkan pelakon baru, Ikram Juhari dan Jeneka sebagai hero dan heroin bagi drama 20 episod untuk siaran TV Okey.

T. S jeffry ( baju purple) sedang memberi penerangan kepada pelakon- pelakon Mrs. VIP.

Cerita bermula di Kundasang, Sabah ini akan menampilkan keunikan dan kecantikan negeri Sabah. Manakala lokasi selebihnya di Semenanjung termasuk Kelantan. Shooting yang bermula pertengahan Oktober lalu dijangka tamat penggambarannya pada pertengahan Januari tahun depan.

Drama bersiri, Mrs. VIP ini berkisar tentang seorang gadis kampung yang terpisah dengan dunia luar. Sejak kecil dia sudah menyimpan impian untuk keluar daripada perkampungannya. Impiannya tercapai apabila Ikram anak orang kaya yang suka mengambil gambar pemandangan tersesat ke dalam kampung.

Adakah Ikram akan membawa gadis itu keluar dari kampungnya? Bagaimana pula dengan nasib dan hubungan mereka selepas itu?. Untuk mengetahui cerita selanjutnya, nantikan tayangan drama bersiri di TV Okey ini.

Walaupun tiada pihak berwajib yang memantau pergerakan penggambarannya, namun T. S. Jeffry cukup menjaga keselamatan pelakon dan krew. Ini dapat dilihat ketika BebasNews berkunjung kelokasi penggambaran. Kelihatan T. S. Jeffry cukup mematuhi segala Garis Panduan Operasi Standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.

“Walaupun semua krew dan pelakon saya sudah mendapat dua suntikan vaksin namun saya tetap mementingkan SOP. Saya membeli banyak bahan sanitize bagi memudahkan pekerjaan kami. Ketika shooting, kami tetap menjaga penjarakkan sosial. Untuk memastikan SOP dipatuhi, saya tugaskan budak untuk menjaga bahagian SOP ini.

“Mereka yang ingin keluar atau masuk ke lokasi diwajibkan sanitize terlebih dahulu. Malah tuan punya rumah pun kami sanitize setiap kali mereka keluar dan masuk.

“Sebelum penggambaran, petugas saya akan sanitize seluruh kawasan. Tamat pula penggambaran kami akan sanitize sekali lagi. Begitulah rutin kami setiap hari sebelum dan selepas shooting. Ialah virus tidak nampak, jadi kita kena berhati-hati.” ujar anak kelahiran Tendong,Pasir Mas, Kelantan ini.

T S Jeffri menambah, selepas itu dia akan sibuk dengan penggambaran filem pula.

“Syukur sesangat saya antara produser yang mendapat geran FINAS. Habis drama bersiri ini saya akan mulakan recce mencari lokasi pengambaran dan macam-macam lagi. Paling lambat pun akan ambil masa selama dua bulan. Filem bertajuk Marraq ini adalah sebuah filem mistik.. yang berunsurkan suspen thriller.

“Cerita berkisar pada awal zaman 90-an di mana belum terdapat sistem pesanan ringkas mahupun whatsApp. Ceritanya tentang budaya Kelantan. Sebuah filem yang tragis, mistik antara dua bangsa yang saya latarkan di Kelantan. Filem ini juga bakal menampilkan budaya masyarakat Siam dan budaya Melayu.

“Buat masa ini saya belum ada idea mengenai pelakon-pelakon. Mungkin dah selesai drama Mrs. VIP ini baru saya fikirkan.”

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 1 1/2 tahun, T.S Jeffry banyak menghabiskan masa tinggal bersama keluarganya di Kelantan. Bila boring-boring duduk sahaja, beliau menebas rumput disekeliling kawasan rumah emaknya. Baginya, aktiviti sebegini dapat membantunya mengeluarkan peluh dan baik untuk kesihatan.

-BebasNews

Leave a Reply