KERAJAAN memutuskan untuk menangguh buat sementara waktu kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari lapan negara yang disenarai berisiko jangkitan varian Omicron.

Pada 26 November, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

Selain itu, Khairy berkata, pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi tidak dibenarkan menyertai program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan Omicron dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan,” katanya.

Dalam mengukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa, Khairy berkata penggunaan sistem ‘autogate’ Jabatan Imigresen diberhentikan sementara berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, penerbangan dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui KLIA sahaja dan pihak Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) perlu menyediakan pagar khas bagi penerbangan tersebut.

Katanya, syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara terbabit dan maklumat mereka mesti dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian semasa ketibaan.

Menurut Khairy, KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan varian baharu itu pada setiap masa dan sekiranya langkah-langkah yang lebih ketat diperlukan, pihaknya akan membuat pengumuman apabila keputusan dibuat.

“Langkah-langkah yang saya umumkan tadi sebagai langkah untuk kita perketatkan sempadan negara bersifat sementara sehingga kita mengetahui lebih lanjut mengenai varian membimbangkan ini. Sekiranya didapati varian ini tidak mengancam kesihatan awam di Malaysia kita akan melonggarkan balik sekatan.

“Penting untuk saya tegaskan langkah-langkah ini berbentuk sementara dan sama ada boleh diperketat atau dilonggarkan lagi, ia berdasarkan kepada maklumat yang kita terima dan penilaian risiko yang dibuat oleh KKM,” katanya. — Bebasnews

Leave a Reply