HABSAH Hassan bersama Sudirman Haji Arshad. Gambar keratan akhbar ini kiriman daripada peminat kerana beliau tidak pernah bergambar sama.

DATUK Habsah Hassan, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tanah air kerana sejak tahun 1974 sehingga hari ini namanya cukup sinonim dengan lirik lagu yang puitis dan mampu menyentuh hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Menghayati setiap bait liriknya tidak hairanlah beliau kekal bertahan hampir lima dekad kerana sentuhannya bukan sahaja telah menaikkan nama ramai penyanyi malah ia mampu merentas sempadan waktu dan usia untuk membuat para pendengar larut dalam hasil karyanya.

Sebab itu tidak hairanlah wanita bertubuh sederhana namun berjiwa besar dalam bidang yang diminati ini telah menghasilkan lebih 1,300 lirik dan pada usianya 72 tahun beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 baru-baru ini.

Bagaimanapun dalam menelusuri kejayaan beliau tidak boleh tidak kita pasti teringat dengan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad kerana meskipun telah menghasilkan lirik untuk ramai penyanyi antaranya Anita Sarawak, Francissca Peter, Zaiton Sameon dan Kenny, Remy & Martin, namun hubungan mereka berdua bukan antara penulis lirik dan penyanyi malah bagaikan kakak dengan adik yang tidak ada sempadan rahsia antara mereka.

Disebabkan keakraban itu tidak hairanlah dalam satu pertemuan baru-baru ini apabila bercakap tentang lirik dan ‘adik angkat kesayangannya’ itu, suaranya menjadi sebak dan matanya berkaca tiba-tiba.

Bagi para peminat penulis lirik yang hebat ini mungkin mengenali Habsah Hassan kerana sentuhannya yang dianggap ‘magis’ tetapi di kalangan wartawan hiburan pada era 1970an sehingga tahun 1991 cukup tahu hubungan rapat antara mereka. Jika tidak mana mungkin mereka boleh duduk di lantai pejabat syarikat penerbitan beliau, Serangkai Filem Sdn. Bhd., di Taman Tun Dr. Ismail sambil makan nasi bungkus yang dibawa oleh Penghibur No: 1 Asia itu!

Meskipun sudah lebih 29 tahun penyanyi bertubuh kecil dan berbakat besar ini pergi meninggalkan kita semua, namun jauh di sudut hati beliau masih berbekas rasa sedih kerana rajuk yang berpanjangan.

“Kadang-kadang bila teringat apa yang terjadi antara kami, saya sendiri tidak menduga hubungan yang begitu rapat namun di akhir usianya kami ‘terpisah’ dan hanya Arwah dan saya yang tahu.

“Saya mengenali Sudir selepas beliau menjuarai Bintang RTM 1976 dan lirik pertama saya untuk beliau ialah ‘Suratku Yang Ini’ dan ‘Teriring Doa’ yang diabadikan dalam album pertamanya, EP (hanya mengandungi empat lagu) terbitan Syarikat Rakaman Warnada. Sejak itu, Sudir adalah penyanyi yang paling rapat dengan saya.

“Bila kenangkan apa yang terjadi saya rasakan jika tidak kerana ego masing-masing mungkin rajuk kami tidak berpanjangan,” luah Habsah Hassan atau mesra disapa Kak Chah sambil menutup kemas kisah ego dan rajuk berpanjangan antara mereka.

DARI kiri: Manan Ngah, Datuk Khadijah Ibrahim, Sudirman Haji Arshad, Habsah Hassan, A.Ali, Zaiton Sameon dan Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab di Ajugerah Juara Lagu 1987.

Menurut Habsah Hassan, disebabkan mereka terlalu rapat beliau menjadi tempat Sudirman mencurahkan pilu hatinya dalam menghadapi kehidupannya yang sunyi dan bersendirian.

Melalui luahan hati dan rasa kecewanya itulah beliau menghasilkan lirik “Merisik Khabar” dan “Gerimis Di Lautan” yang begitu menyentuh hati siapa sahaja yang mendengarnya.

“Tetapi sampai hari ini saya masih ingat satu perbualan antara saya, Sudir & Mike Bernie (mendiang) ketika kami menyertai ABU Popular Song Contest pada 12 Oktober 1985 di Singapura yang mempertandingkan lagu “Pesta Dunia” ciptaan Manan Ngah dan lirik saya. Selepas persembahan, saya dan pengurus beliau, Mike Bernie duduk berbual sambil minum dalam biliknya di Hotel Equatorial. Arwah meluahkan rasa sedih dan kecewanya.

“Saya dan Mike marah kerana mahu memberi semangat kepada beliau yang masih belum ‘move on’ dan saya terkejut apabila tiba-tiba Sudir cakap takpalah Kak Chah, saya pun tak akan hidup lama.

“Saya marah Sudir kerana bercakap macam orang tak beriman dan seperti biasa Sudir hanya senyum. Waktu itu, Sudir masih sihat walafiat,” cerita Habsah Hassan sambil termenung seketika.

Menurut Habsah Hassan kebetulan bila sampai di KL, Sudir dalam proses nak masuk studio untuk rakaman album baru dan apabila Manan Ngah bagi melodi beliau teringatkan perbualan mereka di Singapura.

“Disebabkan hubungan kami macam adik beradik apa juga yang Sudir cakap ia memberi kesan yang mendalam di hati saya. Ketika mahu menzahirkan lirik yang diminta oleh Manan Ngah, saya teringat kata-kata Sudir dan saya bayangkan situasi itu seolah-olah Sudir akan pergi maka lahirlah Salam Terakhir,” cerita Habsah Hassan dalam nada sayu.

Menurut Habsah Hassan, lagu itu sudah lama dirakamkan tetapi ia menjadi cukup popular setelah Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992 kerana penyakit misteri.

Lagu “Salam Terakhir” adalah salah satu lagu yang diabadikan dalam album “Orang Kampung” yang diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI pada tahun 1986.

Menurut Habsah Hassan, apabila lagu itu popular setelah Sudir meninggal ramai yang bertanya tentang lirik lagu berkenaan yang beliau hasilkan.

“Saya tulis lirik lagu itu ketika Sudirman masih sihat walafiat. Setelah lebih enam tahun lagu itu dirakamkan, Sudir meninggal dunia dan saya tidak pernah bayangkan lirik itu menjadi kenyataan yang beliau sudah tiada,” kata Habsah Hassan.

Menurut Habsah Hassan, setelah sekian lama tidak berjumpa beliau apabila mendapat khabar yang Sudirman sakit namun beliau tidak berusaha untuk menziarahnya.

“Saya mengenali Sudir sejak tahun 1976 dan tahu beliau seorang yang suka bergurau. Sebab itulah apabila mendengar berita beliau sakit saya anggap ia hanya khabar angin dan tidak pernah berusaha untuk menziarahnya. Sehinggalah pada Subuh 22 Februari itu setelah beliau sakit selama tujuh bulan saya mendapat panggilan telefon yang Sudir sudah meninggal dunia.

“Saya tidak ingat siapa yang call. Tetapi apabila sampai di Bangsar, rumah kakak Arwah, Datin Rodziah hanya saya dan suami (Mohamed Jusoh) yang ada. Setelah suami keluar, saya bersendirian menangis melihat jenazah Arwah kurus dan macam sedang tidur,” cerita Habsah Hassan menyingkap kembali memori 29 tahun lalu.

Salam Terakhir

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang kukenang
Pemergianku ini tak dirancang
Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepadamu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu
Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah pada-Nya
Salam akhir
Salam yang teristimewa
Bersama-Nya ‘ku memohon keampunan
Melalui-Nya kuberi kemaafan
Kepadamu
Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah pada-Nya
Salam akhir
Salam yang teristimewa
Bersama-Nya ‘ku memohon keampunan
Melalui-Nya kuberi kemaafan
Kepadamu
Andainya aku punya waktu
Masih kuingin mengulangi semula
Saat indah bersamamu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salamku di ingatan
Salamku yang terakhir

Lagu: Abdul Mannan Ngah
Lirik: Habsah Hassan


 

Bagi Habsah Hassan walaupun Sudirman sudah tiada tetapi beliau sentiasa ingat memori indah, sedih dan pilu bersama penghibur berbakat itu.

“Sampai saat ini, saya terkilan kerana satu impiannya yang dikongsi untuk kami bekerjasama tidak kesampaian. In shaa Allah jika ‘waktunya’ saya akan berkongsi dengan BebasNews,” janji Habsah Hassan.

Menceritakan kenang-kenangan sikap Sudirman yang kadangkala membuatkan beliau tertekan, Habsah Hassan sambil ketawa berkata;

“Kadang-kadang saya ‘geram’ dengan Sudir. Malam ada ‘dinner show’ tengahari dia call minta saya buatkan skrip. Masa itu mana ada ‘handphone’ terpaksa saya tulis tangan kemudian call dan suruh Sudir salin dan sambil ketawa beliau menyalinnya sebab beliau tahu saya tidak akan menghampakannya.

“Bukan itu sahaja, ketika beliau dah sampai di studio rakaman di Singapura untuk rakaman lagu ciptaan Manan Ngah, tiba-tiba PRO EMI, Noresah Sulaiman call¬†beritahu Sudir minta saya tuliskan lirik untuk melodi yang beliau forwardkan sebab beliau tidak berkenan dengan lirik yang ada. Nasib baiklah saya kenal Sudir secara peribadi dan akhirnya terhasillah lirik ‘Terasing’ dalam tempuh waktu yang amat singkat.”

Bercakap mengenai bidang penulisan lirik, Habsah Hassan memberitahu;

“Saya masih menulis lirik dan yang terbaru ‘Ketentuan Takdir’ untuk single Aishah dan satu lagi untuk Datuk Hattan dengan lagu Lembaian.” – BebasNews

Leave a Reply