KL City FC dengan Bojan Hodak (kanan memegang trofi) bergembira meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan juara bertahan, JDT 2-0. - Foto MFL

KESABARAN dan pengetahuan – dua perkataan yang tepat mengungkapkan taktikal Bojan Hodak dalam membantu Kuala Lumpur City FC menjulang Piala Malaysia selepas penantian 32 tahun, semalam.

Anak-anak buahnya tekun menyerap tekanan awal Johor Darul Ta’zim (JDT) sehinggalah mereka menyedari bahawa hanya dua elemen itu yang akhirnya dapat menjinakkan Harimau Selatan yang serba-serbi handal dan dibanjiri bintang kebangsaan.

KL City mengejutkan juara bertahan 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang memasuki 100 tahun penganjurannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil hasil jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue pada minit ke-66 dan 74.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, “gaya permainan kami ialah cuba menjana dan mencipta kemungkinan serta mencari jalan tetapi tidak menjumpainya atau mendapat ruang yang betul untuk memajukan permainan kami. Kami juga tidak agresif untuk menembusi kubu lawan.

“Bertambah sukar apabila lawan hanya bertahan dan mereka merosakkan aksinya. Namun mereka lakukan tugas dengan baik. Mereka bertahan, berundur, tidak mengasak dan menunggu di padang. Mereka hanya cuba rapatkan jurang dan ruang.

“Kami gagal menjaringkan gol sedangkan permainan seimbang 50-50 dan anda ada 11 lawan 11 (pemain). Mengenali bahawa inilah bola sepak, kami kalah. Hari ini giliran kami kalah.

“Menyakitkan apabila kalah final,” kata warga Mexico ini dalam rakaman sidang media selepas perlawanan yang dipetik daripada sebuah stesen TV, semalam.

ZHAFRI Yahya (dua dari kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama KL City FC dengan rakan sepasukan. – Foto MFL

Zhafri membuka jaringan dengan tolakan yang menyudahi umpanan melengkung oleh Partiban Janasekaran dari sebelah kiri sebelum Josue merembat kaki kiri selepas mendada hantaran Ryan Edward Lambert dari belakangnya untuk gol kedua.

Hodak, 50, berkata, KL City memanfaatkan ruang yang didedahkan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu selepas berjaya membaca corak asakan dan tindak-tanduk pemain tertentu lawan.

BERGSON Gustavo da Silva (kiri) hampir menembusi gawang KL City jika tidak terkena tiang gol. – Foto MFL

“Kami dapat lebih ruang yang terbuka, di sinilah kami memanfaatkan peluang. Babak kedua kami bertambah yakin, lawan pula tidak dapat mengikuti rentak pantas dan akhirnya kami yang menjaringkan gol.

“Kami berhak dengan kemenangan ini apabila pemain ada keyakinan. Percubaan lawan hanya banyak dari luar kotak penalti dan kecuali satu peluang yang terkena tiang dalam babak pertama (Bergson Gustavo da Silva), selepas itu amat mudah saya membaca permainan mereka,” katanya.

Kata Hodak, melatih KL City merupakan tugas yang paling sukar jika dibandingkan ketika dia bersama Kelantan atau JDT dalam final 2012 dan 2014 tetapi Si Warga Kota dikenalinya sebagai sebuah pasukan yang bekerja keras.

“Di Kelantan atau JDT, ada ramai pemain kebangsaan tetapi hanya satu dua orang (seumpamanya) dengan KL City – sebuah kumpulan pemain yang bekerja keras. Saya sudah latih lapan atau 10 pasukan tetapi KL City ada atmosfera yang hebat yang tidak pernah dimiliki dalam karier saya.

“Apabila anda melihatnya, anda tahu anda akan buat sesuatu. Kemenangan bersejarah ini memang satu perasaan yang asing,” kata warga Croatia ini yang kejayaan terbaiknya ialah memenangi trebel Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super 2012 dengan Kelantan.

Hodak juga mengakui sedikit tuah memainkan peranan dalam perlawanan akhir ini seperti mana ketika mereka menewaskan Melaka United FC 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 secara agregat dalam separuh akhir, Jumaat lalu.

Kejayaan ini turut melayakkan KL City sebagai wakil kedua Malaysia ke Piala AFC 2022 memandangkan Piala FA 2021 telah dibatalkan, mengiringi Kedah Darul Aman (KDA) FC iaitu naib juara Liga Super 2021 di belakang JDT yang ke Liga Juara AFC 2022.

PAULO Josue melepaskan rembatan kaki kiri selepas mendada bola untuk gol kedua KL City. – Foto MFL

SENARAI PEMENANG LIGA MALAYSIA 2021

Piala Malaysia: KL City FC
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Malaysia: Zhafri Yahya (KL City FC)
Liga Super: JDT FC
Liga Perdana: Negeri Sembilan FC
Piala Sumbangsih: JDT FC
Penjaring Terbanyak Piala Malaysia: Romel Morales (KL City FC), 10 gol
Kasut Emas Liga Super: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor FC), 26 gol
Kasut Emas Liga Perdana: Fernando Rodriguez (JDT FC II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II), 16 gol
Dinaikkan ke Liga Super 2022: Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC
Diturunkan ke Liga Perdana 2022: Perak FC dan UiTM FC – BebasNews

Leave a Reply