OPERASI SAR akan diteruskan sehingga kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian. - Foto ihsan JBPM PERAK

KUALA LUMPUR (UPDATE)– Nasib pemandu lori sayur dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley di Perak pada petang Khamis, akhirnya diketahui.

Kedua-dua mereka telah ditemukan maut oleh pasukan pencari dan penyelamat Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Perak dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa yang terkorban ialah pemandu lori  Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

KEADAAN lori yang ditemukan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands hari ini. – Foto ihsan JBPM PERAK

Sebelum ini hanya Muhammad Hafiz dapat disahkan terperangkap selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Simpang Pulai, Perak.

Mior Faridalathrash berkata, pemandu lori sayur itu sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

“Tiada penumpang lain di dalam lori dan MPV yang terperangkap dalam runtuhan itu,” kata beliau, lapor pihak media.

Katanya, mayat terakhir iaitu Muhammad Hafiz yang terperangkap dalam kenderaannya dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.55 malam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk diuruskan.

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari dan dimaklumkan tiga kenderaan tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan.

BebasNews

Leave a Reply