KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui inisiatif itu, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa dan bil utiliti.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya, sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran Program Transformasi Pasar Malam, di sini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

“Jadi, saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Mengenai Program Transformasi Pasar Malam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, Ismail Sabri berkata, peruntukan RM25 juta akan membolehkan ia dilaksanakan secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau berkata, program itu mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan serta keselamatan seperti penugasan Marshal Pasar Malam bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

“Pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian,” katanya yang berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengadaptasi pendekatan tranformasi pasar malam itu.

Program Transformasi Pasar Malam adalah keseragaman pengoperasian pasar malam melibatkan khemah, apron dan topi peniaga selain mematuhi garis panduan pasar malam KPKT serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara seperti sanitasi secara kendiri.

Marshal Pasar Malam pula berperanan memantau tahap pematuhan SOP dan memastikan kelancaran operasi pasar malam.

BebasNews

Leave a Reply