TRAGEDI penderaan kanak-kanak sindrom down yang menyiat hati siapa sahaja yang melihatnya dan pernah menggemparkan negara pada Julai lalu, memberi inspirasi kepada pengarah prolifik, Rashid Sibir sehingga lahirnya telefilem Tanah Kubur “Hati Hitam.”

“Hati Hitam” yang mendedahkan sikap rakus dan kejam seorang wanita terhadap kanak-kanak ‘Orang Kelainan Upaya’ (OKU) digarap dengan kemas dan mencengkam hati supaya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar ambil peduli masalah jiran, akan ditayangkan melalui slot Citra Exclusive di Citra HD 108 pada pukul 9.00 malam ini.

Penerbit Opera Klasik dan pengarah, Rashid Sibir berharap telefilem ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat sekeliling betapa pentingnya sikap ambil peduli tentang masalah jiran apalagi jika ia membabitkan kes penderaan kanak-kanak OKU.

RASHID SIBIR

Menurut beliau, ini amat penting kerana masyarakat hari ini bagaikan sudah hilang perasaan kasih sayang dan tidak prihatin terhadap perbuatan kejam dan penderaan terhadap kanak-kanak meskipun kadangkala ia berlaku di sebelah rumah mereka.

“Sebagai penggiat seni saya rasa terpanggil untuk menerbit dan mengarah drama ini berdasarkan rasa simpati saya kepada nasib kanak-kanak OKU yang didera tetapi orang tidak peduli.

“Walaupun drama ini inspirasi daripada tragedi yang menggemparkan dan menyayat hati menimpa kanak-kanak OKU apalagi Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan sebanyak 2,040 kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam tempuh empat bulan pertama tahun ini, tetapi ia bukanlah kisah sepenuhnya daripada tragedi itu.

“Bagaimanapun semasa menyiapkan skrip telefilem ini kadangkala konsentrasi saya terganggu kerana perasaan sayu, sedih dan geram bercampur baur apabila tergambar di depan mata saya kanak-kanak itu diseksa dan ini membuatkan saya menangis.

“Perasaan sayu dan pilu mengganggu emosi saya dan saya sendiri tertanya-tanya apalah dosa kanak-kanak itu kerana dia tidak pernah minta dilahirkan begitu apalagi menjadi tempat orang menghamburkan segala benci dan kemarahannya!

“Bagi saya seorang wanita jiwa nuraninya lembut dan penyayang walaupun tidak punya anak. Benarlah kata orang dalam dunia binatang tiada manusia tetapi dalam golongan manusia ada yang sikap dan nalurinya bagaikan haiwan!” luah Rashid Sibir dalam nada sedih dan geram.

YANA Samsudin, Nasir Bilal Khan dan Zarul Hussin dalam satu babak “Hati Hitam.”

Menurut Rashid, dalam usaha menangani kes penderaan pihak stesen TV juga harus memainkan peranan dengan memberi ruang kepada karya-karya yang menjurus ke arah membentuk masyarakat penyayang dan bukan kisah cinta yang berulang tayang.

“Stesen TV seharusnya bersama menggalas tanggungjawab sosial dengan perbanyakkan kisah realiti demi melahirkan masyarakat yang penyayang,” kata Rashid Sibir.

Menurut Rashid Sibir, walaupun sukar mengharapkan kes penderaan dapat diatasi dalam sekelip mata namun berharap “Hati Hitam” dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa setiap insan berhak memiliki kebahagiaan hidupnya sendiri.

“Tidak kira sama ada mereka dilahirkan sempurna atau tidak kita tidak boleh memandang hina apalagi menyeksa mereka sehingga membawa kepada kemudaratan.” kata Rashid lagi.

Bagaimanapun sudah menjadi sifat azali segelintir manusia yang sihat dan sempurna apalagi jika berada mereka menganggap kuasa di tangan mereka dan sanggup melakukan apa sahaja kepada yang lemah apalagi cacat lahiriahnya.

Tanpa belas kasihan ‘si cacat’ menjadi mangsa kemarahan mereka namun kuasa Allah mengatasi segalanya kerana di sebalik sifatnya yang serba kekurangan biarpun disakiti mereka mempunyai hati yang mulia dan sanggup memaafkan kerana sedar mereka tidak ada hak menghukum sesama manusia!

Itulah antara mesej yang mahu disampaikan oleh pengarah Rashid Sibir dalam Telemovie “Hati Hitam.”

RASHID Sibir (berdiri dua dari kiri) bersama para pelakon dan kru penerbitan “Hati Hitam” ketika penggambaran dijalankan di Ijok, Selangor.

Telemovie yang menjalani penggambaran selama seminggu di Ijok, Selangor, bukan sahaja akan membuat anda sedih dan insaf malah pada waktu sama anda sedar bahawa anda tidak boleh menghukum seorang insan apalagi yang tidak sempurna sifatnya.

“Hati Hitam” membawa kisah seorang ibu tunggal, Khatijah menghantar anaknya, Teja seorang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya ke rumah jagaan, Norma. Setelah seminggu beliau mendapati badan Teja luka-luka seperti didera. Khatijah mengadu kepada Tok Adi dan Tok Adi membawa anak saudaranya, Musa, seorang peguam.
Namun Norma menafikan dan seorang pekerjanya Kak Nur mengaku dia yang mendera Teja. Tetapi Tok Adi tidak percaya itu adalah angkara Kak Nur.
Siapakah di sebalik perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dan kenapa Teja didera?

Telemovie ini dilakonkan oleh Nasir Bilal Khan (Tok Adi), Yana Samsuddin (Norma), Liza Abdullah (Khatijah), Zarul Hussin (Musa), Dhiyaa Tuzaimi (Teja), Hamidah Wahab (Mak Ros) dan Islah (Ajak).

– BebasNews

Leave a Reply