Shahir Zawawi

SETELAH sekian lama menyepikan diri dari dunia seni, kehadiran Shahir Zawawi dalam “Hijrahkan Laguku” yang bersiaran di TV AlHijrah mulai 20 November setiap Sabtu pada jam 9.00 malam, sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan para peminat terhadap penyanyi berbakat ini.

Meskipun penampilannya berbeza dengan rambut melepasi bahu namun aura Shahir sebagai juara yang lahir dari sebuah program realiti hiburan pada tahun 2010 itu masih kekal sama.

Biarpun waktu memisahkan Shahir dari dunia seni namun apa yang pasti suara beliau masih tetap sama seperti dahulu, lunak didengar dalam apa jua genre lagu yang dinyanyikan.

Kehadiran Shahir dalam “Hijrahkan Laguku” yang akan bersiaran selama lapan minggu, bukan sahaja mengubat kerinduan hati para peminatnya malah secara tidak langsung membuktikan sisi ‘seorang Shahir Zawawi’ penyanyi yang tetap dengan pendiriannya.

“Apabila pihak TV AlHijrah menghubungi saya dan mengundang saya sebagai salah seorang peserta program realiti TV dengan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan saya amat bersyukur. Bagi saya inilah anugerah terindah daripada Allah yang amat bermakna buat saya.

“Saya yakin ramai yang masih ingat latarbelakang saya sebelum menyertai program realiti itu saya adalah penyanyi nasyid. Saya sedar apabila saya sertai program itu ada sahabat lama yang tidak setuju.

“Namun saya yakin nawaitu saya. Malah apabila salah seorang ahli Rabbani menasihati saya supaya jangan berhenti menyanyi kerana jika kita mahu berdakwah bukan hanya di masjid tetapi kita harus melihat hiburan dari sisi lain. Dengan menyanyi kita masih boleh
menyampaikan mesej dan berdakwah dalam suasana berbeza.

“Saya akui pendapat beliau apalagi apabila saya menghayati lagu-lagu nyanyian Datuk Ramli Sarip yang digelar Papa Rock. Walaupun beliau memilih genre rock tetapi lagu-lagu beliau mempunyai mesej yang tersirat.

“Bersandarkan itu, saya menyertai program realiti TV ini kerana bagi saya Allah pinjamkan suara ini hanya sementara dan saya harus gunakan ke jalan kebaikan. Saya bukan membawa penonton berhibur semata-mata tetapi pada waktu yang sama saya berdakwah,” jelas Shahir Zawawi mengapa beliau terbuka hati menyertai program realiti TV berkenaan.

LAPAN penyanyi berdebar menantikan keputusan pada minggu ketiga siapa yang akan tersingkir.

Sesuai dengan konsep program realiti TV itu, Shahir berpendapat pemilihan lagu amatlah penting apalagi setelah liriknya diubah ia mesti menepati konsep bukan untuk hiburan semata-mata sebaliknya ia harus berlandaskan syariah.

Bersandarkan itulah jika anda mengikuti program ini dari minggu pertama hingga ketiga, lagu-lagu pilihan yang dinyanyikan Shahir Zawawi bukan sahaja popular dan mesra pendengar malah liriknya memang menjurus ke arah islamik.

Pada minggu pertama, Shahir memilih single ketiganya “Aku Yang Berdosa” ditukar liriknya kearah ketuhanan yang mana sebagai anak kita juga harus menghormati ibubapa, diikuti “Kepadamu Kekasih” diubah kepada “Kepadamu Ya Robbi” dan “Embun” nyanyian Aqasah menjadi “Rasul”

JURI minggu ketiga dari
kiri: Tuan Syed Norhisyam Tuan Padang, Hazamin Inteam dan Fauzi Marzuki.

Sementara itu pada minggu keempat Sabtu ini dengan temanya medley, Shahir memilih lagu “Berhenti Berharap” (Sheila On 7) diubah liriknya dengan membawa pendengar agar berharap kepada Allah sementara “Ghazal Untuk Rabiah” menzahirkan segala puji-pujian kepada Allah.

“Bersama team saya, kami berbincang untuk mengubah agar liriknya sesuai dan tidak lari daripada konsepnya. Bukan itu sahaja, setelah sekian lama tidak menyanyi saya mengikuti kelas vokal dua jam setiap minggu bagi memastikan persembahan saya tidak menghampakan.

“Bagi saya setelah sekian lama meninggalkan bidang nyanyian menyertai “Hijrahkan Laguku” adalah langkah terbaik buat saya kerana melalui realiti program sebelum ini saya harus memerah otak agar penonton kagum akan saya.

“Tetapi melalui program ini kita berdakwah dengan lagu yang diubah liriknya untuk membawa penonton mendekatkan diri kepada Allah dan kagum dengan ayat-ayat yang disampaikan,” kata Shahir Zawawi.

Menyentuh mengenai hadiah wangtunai kepada para pemenang yang tidak disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris pada sidang akhbar memperkenalkan program berkenaan, dengan tenang tetapi penuh yakin Shahir Zawawi berkata;

“Saya menyertai program ini sebagai menyokong usaha murni TV AlHijrah bukan kerana hadiah. Matlamat utama saya bukan hadiah atau wang ringgit tetapi konsep hiburan berlandaskan syariah yang cukup menyentuh hati saya.

“Saya berharap TV AlHijrah akan meneruskan program ini atau apapun hiburan yang berlandaskan syariah kerana saya yakin para penyanyi tidak mampu melaksanakannya.”

Disamping konsep dan matlamatnya, Shahir amat tersentuh hati melalui program realiti TV berkenaan kerana ia bukan sahaja menggabungkan penyanyi yang berpengalaman empat dekad dan baru malah dapat menjalin silaturrahim dalam suasana cukup tenang dan mesra.

“Hijrahkan Laguku” menampilkan Datuk Nash, Zack Kool, Zaf VE, Rahmad Mega, Iwan Shahman, Pangeran Adam (PG Adam), Shahir Zawawi dan Mark Adam.

DARI kiri: Pangeran Adam dan Rahmad Mega dua peserta yang menduduki markah terendah tetapi akhirnya Rahmad Mega tersingkir.
Pengacara program Faizal Ismail dan Bell Ngasri.

Pada minggu ketiga (4 Disember) dengan juri jemputan Ustaz Tuan Norhisyam Tuan Padang dan juri tetap Fauzi Marzuki serta Hazamin Inteam, Rahmad Mega adalah peserta pertama yang tersingkir dan apabila ditanya mengenai persaingan persembahan antara beliau dan Nash dengan ikhlas, Shahir berkata;

“Saya bukanlah saingan Datuk Nash. Pengalaman saya dengan beliau amat berbeza bagaikan bumi dan langit. Beliau sudah menyanyi 40 tahun dan saya ni boleh dianggap BBNU (Budak Baru Nak Up) tetapi saya menghormati pengalaman dan sikap beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu. Semoga saya mampu bertahan seperti beliau yang berpegang kepada pendirian minyak dan air tak akan bercampur dan saya yakin para peminatnya tahu.”

– BebasNews

Leave a Reply