Dalam perbahasan di parlimen baru-baru ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyifatkan Kuala Lumpur telah menjadi London. Ibu kota bagai telah hilang identiti kerana banyak nama jalan, bangunan dan kawasan kediaman diberi nama Inggeris.

Ada benarnya kenyataan beliau ini apabila melihat sekeliling betapa nama dalam bahasa Inggeris terpampang megah pada bangunan, pusat beli belah dan kawasan kediaman, terutama yang dianggap di kawasan eksklusif dan mewah. Mungkin untuk menunjukkan kehebatan tempat-tempat tersebut.

Tentunya banyak nama dalam bahasa Melayu yang lebih menarik dan enak didengar boleh digunakan, tetapi dilupakan. Agaknya bahasa Ienggeris lebih hebat dan bergaya. Bahasa Melayu tidak hebat dan bergayakah?

Fenomena membesarkan bahasa Inggeris dan mengetepikan bahasa Melayu sebenarnya bukan berlaku di Kuala Lumpur sahaja, tetapi di banyak tempat lain seluruh nagara, terutama di kawasan bandar.

Namun itulah nasib bahasa Melayu yang seringkali dilihat terpinggir. Ia juga merupakan isu berkala yang tidak pernah tuntas sejak dahulu, tenggelam timbul dalam teriakan mendaulatkan bahasa itu sendiri.

Bukan sahaja bahasa Melayu diketepikan dalam penggunaan nama bagi bangunan atau kawasan perumahan, dalam urusan surat menyurat rasmi pun bahasa Inggeris lebih menonjol. Sedih sekali kerana ini termasuk dalam urusan rasmi kerajaan.

Jika diteliti papan-papan iklan atau billboards yang banyak di merata pelusuk bandar raya Kuala Lumpur, atau bandar-bandar besar lain, banyak daripadanya menggunakan bahasa Ienggeris, atau bahasa itu lebih menonjol berbanding bahasa Melayu.

Apabila isu bahasa Melayu diperkatakan, orang ramai, terutama ahli bahasa, akan gamat memberi reaksi penuh berkobar-kobar mendesak bahasa itu diutamakan. Namun selepas itu perlahan-lahan isu reda, menjadi sejuk sehinggalah dibangkitkan semula. Sekejap panas, sekejap dingin!

Jelaslah isu bahasa Melayu isu bermusim, malah kadang-kadang menjadi bahan permainan politik. Namun kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara tetap tidak terbela.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi ‘pengawal’ dan ‘pemantau’ bahasa Melayu hanya melihat sandiwara ini dari jauh. Walau pun fungsinya memperkaya dan memertabat bahasa, ia tidak ada kuasa bertindak terhadap perbuatan meremehkan bahasa Melayu.

Pada masa sama, tentulah DBP juga bingung kerana banyak jabatan dan agensi kerajaan sendiri masih menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi dan surat menyurat. Di pihak swasta lagilah lebih meluas bahasa Inggeris digunakan.

Tidak cukup itu, lihatlah dalam rancangan TV, khususnya drama berbahasa Melayu. Siap dengan sarikata bahasa Inggeris. Perlukah berbuat demikian? Bukankah ini satu penghinaan terhadap bahasa Melayu kerana ia seolah-olah tidak cukup kuat untuk berdiri dengan sendiri.

Kenapa perlu ada sarikata bahasa Ienggeris? Jika ada pun penonton bukan Melayu menyaksikan drama tersebut, mereka sepatutnya boleh menguasai dan memahami bahasa Melayu. Lahir dan membesar di Malaysia tetapi masih gagap berbahasa Melayu adalah sangat memalukan.

Lalu siapakah yang seharusnya disalahkan apabila nama-nama berbahasa Inggeris terus diberi tempat istimewa? Tentunya pihak berkuasa tempatan kerana mereka yang memberi kelulusan.

Di Kuala Lumpur, tanggung jawab ini terpikul di bahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak DBKL yang berkuasa meluluskan perintah pembinaan dan juga meluluskan nama sesuatu projek. Adakah DBKL mengambil kira kepentingan bahasa Melayu ketika meluluskan permohonan?

Di negeri-negeri lain, pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) yang meluluskan projek dan penggunaan nama dalam bahasa Inggeris. Jika mereka tidak ada sentimen mengutamakan bahasa ibunda, tidak hairan isu bahasa Melayu terpinggir tidak selesai.

Sejak sekian lama negara berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu. Kerana itu banyak nama tempat berbahasa Inggeris, atau mengagungkan orang Inggeris, diubah bagi memenuhi citarasa tempatan.

Misalnya Teluk Anson ditukar kepada Teluk Intan; Port Swettenham kepada Pelabuhan Kelang; Jalan Birch di Kuala Lumpur kepada Jalan Maharajalela; Circular Road kepada Jalan Pekeliling dan kini Jalan Tun Razak; Port Weld kepada Kuala Sepetang. Banyak lagi contoh lain.

Jadi kenapa dengan asas yang sudah diletakkan ini, kita harus kembali undur dan membiarkan nama-nama Inggeris diabadikan pada bangunan atau kawasan kediaman serta pusat membeli belah dengan berleluasa?

Kenapa juga banyak urusan masih terus dilakukan dalam bahasa Inggeris? Surat menyurat atau penyediaan dokumen rasmi masih dalam bahasa Inggeris. Borang permohonan kerja pun masih banyak dalam bahasa tersebut.

Mendaulatkan bahasa Melaya tidak cukup dengan semangat atau kata-kata sahaja. Ia mesti diiringi dengan komitmen dan kesungguhan, khususnya daripada pihak berkuasa. Jika tidak, isu ini tidak ada kesudahan, sentiasa tenggelam timbul. Seperti iklan biskut, “sekejap ada, sekejap tak ada!”.

– BebasNews

Leave a Reply