Oleh A. AMRI

KUALA LUMPUR – Langkah Lembaga Tabung Haji hanya membenarkan pendeposit yang tahun giliran 1442H/2021M menyertai Kursus Asas Haji (KAH) kali ini mencetuskan banyak persoalan.

Antaranya yang agak tular, usaha tersebut dilihat sebagai persiapan kemungkinan besar Malaysia bakal menerima kuota tambahan untuk musim haji akan datang pada 1443H/2022M kelak.

Sekiranya jangkaan tersebut benar, seramai 63,200 duyufurrahman negara ini dijangka dapat menunaikan ibadah fardu berkenaan pada 8 Julai depan, iaitu angka terbesar dalam sejarah.

Menurut sumber Tabung Haji, untuk siri KAH kali ini yang sudah pun bermula sejak 19 November sehingga 20 Februari tahun depan, ia hanya melibatkan 31,600 pendeposit 1442H/2021M.

“Sementara itu, seramai 31,600 individu giliran 1441H/2020M yang telah pernah mengikuti 14 siri KAH secara talian pada awal tahun ini dilarang menyertainya,” katanya ketika dihubungi.

Inisiatif berkenaan ujarnya, bagi membolehkan kumpulan bakal jemaah tahun yang berikutnya itu turut berpeluang mengikuti KAH kerana tidak dapat berbuat demikian pada awal tahun ini.

Bagaimanapun katanya, mereka dari kumpulan sebelumnya itu masih lagi boleh menyaksikan ulangan rakaman KAH tersebut melalui pautan daripada laman sesawang rasmi Tabung Haji.

Sumber itu namun enggan mengesahkan atau menafikan usaha pihak Tabung Haji yang tidak membenarkan kumpulan terdahulu menyertai KAH sebagai tanda kuota haji akan bertambah.

Ia susulan hantaran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui akaun sosial berkata, mungkin ada berita baik Tanah Suci.

Beliau yang dijemput sebagai tetamu khas kerajaan Arab Saudi bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa di Jeddah minggu lalu, sebaliknya tidak menjelaskan secara lebih terperinci.

Desas-desus itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan warganet yang merujuk khabar gembira tersebut kemungkinan mengenai peningkatan kuota jemaah haji pada musim tahun depan.

Apatah lagi, Zulkifli menerima layanan istimewa kerajaan negara itu walaupun tiada apa-apa lagi jawatan penting kerajaan dipegangnya sejak peralihan kepimpinan negara akhir Ogos lepas.

TANGKAP layar buku KAH yang diterbitkan Tabung Haji untuk panduan rujukan bakal jemaah mengulang kaji subjek ibadah fardu itu. – Foto media sosia

KAH kali ini juga catat sejarah kerana bermula pertengahan bulan Rabiul Akhir berbanding kelaziman pada Jamadil Awal, kecuali musim lalu yang julung kali dilewatkan pada Jamadil Akhir.

Ia bahkan buat kali pertama diadakan atas talian berbanding sesi bersemuka di masjid terpilih ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu.

Ironinya, hasrat kumpulan yang tertangguh sejak tahun lepas itu tidak pula kesampaian apabila Malaysia memutuskan untuk sekali lagi tidak menghantar jemaah haji sekitar awal Jun lalu.

Kerajaan Arab Saudi ketika ini belum memuktamadkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia tetapi jika dibuka kembali, kumpulan pertama dijangka berlepas ke sana pada 31 Mei 2022 depan.

Penerbangan terakhir berlepas dari tanah air pula kemungkinan ialah pada 30 Jun 2022 kelak iaitu genap seminggu sebelum jangkaan tarikh jatuh ibadah wukuf di Arafah pada 8 Julai 2022.

Ia susulan pembukaan semula ibadah umrah untuk warga asing awal September lalu dengan protokol ketat termasuk lengkap divaksin dan merekodkan keberadaan menerusi aplikasi khas. – BebasNews

Leave a Reply