Foto oleh SYED YUSOF WAFA

KECINTAANNYA pada teater tiada batas sempadannya. Biar apapun halangan yang harus dihadapi namun mengalah tidak sekali-kali. Bagi beliau sekali melangkah pantang berundur dan itulah prinsip yang dipegang kuat oleh ‘seorang Fauziah Nawi!’

Meskipun telah mengarah lebih daripada 10 teater dengan yang pertama “Primadona” namun menerbitkan teater ‘online’ (maya) tidak semudah membilang satu, dua dan tiga, walaupun ini adalah teater maya yang kedua dengan yang pertama “Rasa” diterbitkan pada Disember tahun 2020.

Fauziah Nawi

Walaupun kekangan bajet yang amat ketara, sebagai tuanpunya Persatuan Kesenian & Kebudayaan Stefani, bagi Primadona Fauziah Nawi “Matinya Seorang Pahlawan” karya SN Datuk Usman Awang harus diteruskan dengan sokongan dana daripada Yayasan Hasanah melalui program ‘Arts For All Seasons’ (ArtsFAS).

Dengan semangat juangnya yang tidak mengenal erti kalah dalam usaha menyemarakkan seni budaya melalui pementasan teater hybrid yang mempamerkan seni lakonan pentas, gerak silat, nyanyian lagu-lagu asli dan busana Melayu asli serta sokongan para pelakonnya, beliau tidak pernah goyah biarpun di depan api dan di belakang duri apa yang utama bagi mereka merealisasikan impian dan memartabatkan seni teater.

Apalagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19, mereka semua terpaksa berlatih secara maya (online) selama enam bulan dan apabila keadaan membolehkan berlatih seperti biasa mereka mempunyai tugas lain yang harus dilaksanakan dan hanya berlatih sekali atau dua kali seminggu dari pagi hingga malam.

“Walaupun latihan melalui maya dan tidak sampai 100 jam sebagai pengarah saya bukan sahaja dapat melihat kesungguhan mereka ketika berlatih malah jika mereka tidak fokus atau tidak sihat sekali pun saya nampak dan boleh rasa.

“Bagaimanapun saya amat berterima kasih diatas sokongan dan kasih sayang mereka untuk bersama merealisasikan teater ini.

“Bukan itu sahaja malah pengorbanan mereka dari segi bayaran amat menyentuh hati saya. Buat masa ini, bayaran yang mereka terima terlalu kecil jika dibandingkan dengan komitmen yang diberikan kerana dana yang saya terima tidak boleh menampung bajet keseluruhan.

“Namun janji saya dan keyakinan mereka kepada Stefani untuk berkongsi rezeki melalui jualan tiket itu nanti membuatkan kami semakin kuat,” jelas Fauziah Nawi mengenai latihan dan persiapan sebelum “Matinya Seorang Pahlawan” yang akan bersiaran secara maya selama lima hari mulai 12 Disember ini (Ahad) pukul 9 malam.

Menurut Fauziah Nawi, Stefani membelanjakan lebih daripada separuh dana tersebut untuk teknikal dan lokasi penggambaran antaranya Melaka bagi memastikan kualiti dan penonton puashati meskipun menghayatinya melalui maya.

“Matinya Seorang Pahlawan” secara maya dengan ruang pentas yang terhad dirakamkan dengan menggunakan tiga kamera. Meskipun teater hybrid pertama ini dihasilkan berkonsepkan filem namun ia tidak menjejaskan elemen teater.

Bercakap mengenai “Matinya Seorang Pahlawan” yang menjadi pilihannya untuk teater maya kedua Stefani, Fauziah Nawi berkata;

“Bagi saya ia amat relevan dengan keadaan sekarang bagaimana kita sebagai rakyat dan demi keharmonian negara kita harus taat dan menjunjung perintah negara. Sesebuah negara itu akan runtuh jika kita saling mengkhianati dan kita dapat lihat ini apabila Hang Tuah dikhianati dan difitnah.

Syel Ramlan (tengah) sebagai Dang Wangi bersama dayang istana.

“Menghayati karya SN (Sasterawan Negara) Usman Awang, sebenarnya Allahyarham melihat jauh ke hadapan. Saya mula menonton teater ini ketika usia 17 tahun dan ketika itu saya melihat Hang Jebat jahat, saya kesian kerana Hang Tuah difitnah dan kesian Dang Wangi. Tetapi sebenarnya mereka ini ada pegangan hidup sendiri.

“Apabila saya semakin berusia saya melihat karya ini dari persepsi yang berbeza. Dang Wangi yang dahulunya saya melihat seorang dayang yang sentiasa cantik dan hidup bergembira dalam kemewahan tetapi sebenarnya hidupnya tidak punya apa-apa kerana sebenarnya dia telah mati sebelum mati sebab dia tidak boleh berkata apa. Dang Wangi hanya dapat melahirkan rasanya kepada Jebat sebelum beliau mati.

“Sebenarnya Dang Wangi sangat pandai dan tahu bagaimana bercakap dengan orang kerana telah dididik dan pengetahuannya sangat tinggi begitu juga Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Bagi mereka segala-galanya adalah untuk raja dan negara.

“Tetapi Jebat rasa dikhianati kerana Hang Tuah, kawan yang dianggap bagaikan abang dan banyak berjasa dihukum kerana fitnah.”

AQASHA (Sultan Melaka)

Menurut Fauziah Nawi, beliau mementaskan teater itu tanpa mengubah walau sedikitpun skrip asal Usman Awang kerana karyanya memang hebat. Setiap bait yang dihasilkan boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut kerana beliau sangat terbuka.

“Saya amat kagum dengan karya beliau yang mana ia mengingatkan kita di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita harus berpegang kepada Rukun Negara dan itu ada terkandung dalam karyanya walaupun ia tidak menyatakan itu adalah Rukun Negara tetapi jika kita halusinya kita akan faham. Sebab itulah naskah beliau relevan sehingga hari ini,” jelas Fauziah Nawi.

Ditanya pengalamannya sebagai seorang pengarah yang menerbitkan teater hybrid pertama di Malaysia, Fauziah Nawi berkata;

“Kalau ada duit saya mahu buat filem teater ini. Bagi saya walaupun ia tidak dipentaskan secara ‘live’ demi memartabatkan teater apalagi naskah yang amat relevan ini pembikinannya sama seperti filem dengan menggunakan tiga kamera, teknik CGI (Computer Generated Imagery/ Imej Janaan Komputer) set yang cantik dan busana Melayu asli.

“Bagaimanapun saya berharap teater dengan mesej yang relevan ini dapat ditonton oleh rakyat Malaysia sama ada di RTM, TV3 ataupun Astro.”

Wan Shades yang bertanggungjawab dari segi muzik dan lagu telah mencipta empat buah lagu untuk teater ini yang mana liriknya berdasarkan skrip teater berkenaan. Salah satu lagu ciptaan beliau “Makan Sireh” dirakamkan dengan diiringi gesekan biola oleh Maestro, Datuk Mustafa Fuzer Nawi.

“Matinya Seorang Pahlawan” membawa kisah pahlawan lagenda, Hang Tuah dan Hang Jebat. Akibat daripada fitnah Patih Karma Wijaya, Hang Tuah dihukum bunuh. Hang Jebat yang tidak boleh menerima apa yang terjadi telah mengamuk demi menuntut bela diatas kematian Hang Tuah yang dianggap sebagai saudaranya.

Mamak Bendahara dan Lil Thia.

Tindakan Hang Jebat itu telah melumpuhkan sistem pemerintahan Kerajaan Melaka. Apabila pihak istana menyedari betapa pentingnya jika Hang Tuah ada demi memulihkan keadaan, akhirnya Bendahara mengaku menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang dititahkan Sultan.

Akhirnya Hang Tuah dititah kembali dan berlakulah pertembungan dua ideologi berbeza antara Hang Tuah dan Hang Jebat.

Para pelakon teater ini ialah Aqasha, Azlan Komeng, Wan Shades, Fatih Mohtar, Iellyas Fietrie, Raihan MJ, Syel Ramlan, Amalina Arham, Norny Marlinda Mhia Firdaus dan Lil Thia.

Sementara tenaga di belakang tabir pula terdiri daripada Raihan MJ (Pengurus Produksi), Penolong Pengarah, Farah Ahmad, koreografer silat, Azlan Komeng, jurulatih tari, Fatih Mohtar dan Mhia Firdaus, Manonaries (poster), Propsmaster, Faisallangsay dan Poizi Nawi dan teknikal team, Resap Jilma Collective.

Bagi anda yang mahu menonton teater ini tiket berharga RM35 boleh dibeli secara online di: https://www.cloudtheatre.com/shows/matinya-seorang-pahlawan/#about-the-show

– BebasNews

Leave a Reply