Foto FB

PETALING JAYA – Sebahagian barangan milik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat berjaya dibida seorang lelaki pada harga RM132,000 dalam satu proses lelongan di kediaman usahawan kosmetik itu.

Pembida itu akan mendapat set barangan di ruang dapur, ruang tamu dan set bilik tidur di tingkat atas kediaman banglo dua tingkat terbabit.

Proses lelongan pada mulanya disertai lapan pembida namun berakhir dengan tiga pembida dengan enam kali bidaan sebelum harga RM132,000 diputuskan.

Buat masa ini, peguam masih menunggu pembayaran dibuat sepenuhnya oleh pembida itu, menurut laporan Berita Harian.

Sementara itu, seorang wanita yang berhasrat membeli barangan milik Sajat pulang hampa selepas proses pendaftaran untuk bidaan ditutup.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Linda, 37, dari Mont Kiara, Kuala Lumpur, berkata dia tiba di lokasi itu agak lewat dan cuba merayu untuk menyertai bidaan namun tidak berjaya.

Katanya, dia tertarik dengan barangan perhiasan milik Sajat yang sering dimuat naik di media sosial sebelum ini.

“Saya tidak kisah berapa nilai barangan itu asalkan dapat (bida). Saya bukanlah pengikutnya (Sajat) di media sosial tapi selalu nampak melalui videonya yang tular.

“Bagaimanapun tiada rezeki saya untuk masuk walaupun dah bawa deposit RM5,000 kerana dimaklumkan proses pendaftaran sudah ditutup,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan harta milik Nur Sajat disita berikutan tuntutan pampasan RM200,000 yang gagal dibayar kepada bekas stokis utamanya, OWA Resources Sdn Bhd.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/12/14/bida-aset-sajat-rm132000-lelaki-bakal-dapat-barang-dapur-set-bilik-tidur/

Leave a Reply