SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) meluaskan kerjasama ke peringkat global di Ekspo Dubai 2020 dalam usaha pihaknya untuk diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu sumber utama bakat bernilai tinggi yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, pengajaran inovatif dan sentiasa berkhidmat kepada masyarakat.
Naib Canselor UiTM, Prof.Dr.Ts.Roziah Mohd.Janor berkata, ekspo tersebut bertujuan untuk meningkatkan rangkaian kerjasama global melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi ternama, mempamerkan produk UiTM dan pertukaran kepakaran dengan rakan kongsi institusi pendidikan tinggi serta industri terkemuka dunia.
“Sebagai institusi pengajian tinggi awam komprehensif terbesar di Malaysia, UiTM berminat untuk menawarkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dengan penyelesaian yang menyediakan pilihan dan fleksibiliti terbaik.
“UiTM juga menerajui inisiatif untuk masa hadapan yang lebih mampan menerusi kurikulum, penyelidikan dan perkhidmatan yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan Tinggi (HICoE) UiTM,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ekspo tersebut dijadualkan pada Oktober 2020 tersebut terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia, kini berlangsung mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
Jelasnya, di Ekspo Dubai, UiTM turut memperkenalkan UiTM Technoventure, sayap komersial yang mempromosikan pengkomersialan bakat melalui perniagaan utama bersepadu – perundingan, latihan, pengurusan acara dan perkhidmatan korporat profesional.
Katanya lagi, membantu pelanggan mencari peluang baharu untuk pertumbuhan perniagaan dan pulangan yang menguntungkan.
“Di samping itu, fungsi teras dalam pengkomersialan produk dan bakat menyumbang ke arah kampus yang lebih mampan serta meningkatkan kualiti
hidup komuniti universiti.
“UiTM juga mengalu-alukan rakan kongsi berpencapaian tinggi untuk pelbagai kerjasama dengan Pusat Inovasi Perniagaan dan Pengkomersialan Teknologi (BITCOM), sebuah pusat pemindahan teknologi yang menyokong para penyelidik dan inovator UiTM dalam memaksimumkan hasil penyelidikan melalui penilaian, perlindungan, pemasaran, pelesenan universiti, inovasi, ciptaan dan penemuan penyelidikan,”katanya.
Ujarnya lagi,BITCOM bekerjasama rapat dengan para penyelidik dan rakan industri UiTM untuk meneroka laluan terbaik bagi mempamerkan inovasi dan harta intelek kepada pasaran, termasuk memainkan peranan utama dalam pembentukan syarikat permulaan dan ‘spin-off’ bagi UiTM.
Mengulas lanjut beliau berkata, UiTM sentiasa menantikan peluang untuk penglibatan yang lebih meluas pada masa hadapan seiring dengan misi Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD) universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan yang terkenal di peringkat global dalam memperjuangkan ‘penyelidikan biodiversiti dan pembangunan mampan’.
“Ini dapat dicapai melalui kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa melalui perkongsian pengetahuan, perundingan dan pengkomersialan dalam pembangunan mampan dan biodiversiti,”katanya. – BebasNews