Oleh Amirul Afiq Mastor

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bercadang untuk menggunakan teknologi satelit bagi memastikan semua kawasan mendapat liputan komunikasi termasuk di tengah lautan.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata: “Kita sedang berusaha bekerjasama dengan beberapa buah syarikat yang mampu menyediakan perkhidmatan satelit bagi tujuan capaian rangkaian ke seluruh negara termasuk di Laut China Seatan dan Selat Melaka.

“Ini akan memberikan liputan secara lebih menyeluruh termasuk ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta mereka yang berada di lautan juga dapat menerima segala maklumat yang dipancarkan,” jelasnya di sini hari ini.

Zahidi Zainul Abidin

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Sistem Penghantaran dan Penerimaan Bungkusan Secara Aplikasi Internet diantara ASEAN Co-operative Organisation (ACO), Koperasi 1Malaysia Berhad dan Parcel365 Sdn. Bhd.

Turut hadir Presiden ACO dan juga Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah serta Pengarah Parcel365, Eddie Mok.

Zahidi menjelaskan majlis hari ini merupakan salah satu kerjasama serta inisiatif yang baik antara pihak koperasi dan syarikat besar bagi memajukan lagi industri kurier dalam negara.

Pihak kementerian, kata beliau telah melancarkan Pelan Accelerator Kurier Negara atau PAKEJ pada Jun 2021 dengan penyediaan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat Malaysia melalui kualiti perkhidmatan yang diperkukuh, integrasi penghantaran capaian akhir (last mile delivery) dan pengalaman pelanggan.

Menurutnya, PAKEJ dilaksanakan berasaskan kepada dua teras utama iaitu menyokong kelestarian industri dan penyediaan kualiti perkhidmatan (QoS) kelas pertama serta pertumbuhan yang disokong oleh liputan.

“Menerusi lapan inisiatif utama yang telah dirancang oleh pihak KKMM dan telah mula dilaksanakan bermula pada awal 2021 sehingga akhir 2025,” tambah beliau.- BebasNews

Leave a Reply