Four men sitting on ground
Photo by Matheus Ferrero on Pexels

SELURUH ahli keluarga Malaysia dirundung kesedihan apabila disajikan dengan berita buli pelajar sekolah asrama penuh menjelang cuti sekolah terakhir bagi tahun 2021. Manakan tidak, kita belum lagi lupa kes kematian pelajar universiti awam akibat buli, tular pula kes ini. Pelajar-pelajar yang terbabit dengan kesalahan buli tersebut telah dikenakan hukuman penjara, namun ibubapa mangsa buli dan segelintir masyarakat berpendapat bahawa hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan membuli sehingga membawa maut.

Ia amat mengaibkan apabila kes buli berlaku dalam kalangan pelajar yang cemerlang akademik dan terpilih melalui proses temu duga. Adakah kerakusan menjulang keputusan yang baik telah mengabaikan adab dan sikap perikemanusiaan dalam diri mereka? Siapakah yang menghalalkan budaya tersebut di institusi pendidikan menengah dan universiti walaupun larangan sudah di war-warkan? Adakah ia hanya berlaku di peringkat sekolah dan universiti sahaja dan tidak berlanjutan di tempat kerja apabila mereka bebas dan menjawat jawatan di luar sana?

Pelajar yang baik dan naif sering menjadi mangsa buli begitu juga pekerja yang rajin dan dedikasi. Sehinggakan ada kata-kata sindiran “jangan baik sangat” dan “jangan kerja rajin” untuk mengelak diri dibuli. Baik dan rajin merupakan ciri-ciri mulia pada individu dan dalam masa yang sama ia juga antara ciri-ciri mangsa buli. Persoalannya, adakah suatu kesalahan menjadi baik dan rajin dalam dunia orang yang bermasalah, busuk hati, malas dan culas? Jawapannya pasti tidak. Kita dididik dengan adab dan akhlak mulia disulam ilmu agama pengikat jiwa yang membentuk jati diri mantap.

Kajian buli telah dilakukan oleh penyelidik dari dalam dan luar Negara. Kejadian buli dilakukan oleh individu mahupun secara kolektif ke atas seorang mangsa mahupun sekumpulan mangsa. Ransohoff dan Brown (2006) berpendapat bahawa ada empat kategori buli: fizikal, lisan, mental dan siber. Beliau mengatakan buli mental atau psikologi berlaku secara tidak langsung dan sukar dibuktikan kesannya contohnya penyebaran fitnah, pemulauan, pengasingan dan surat layang. Mangsa akan mengalami tekanan mental dan hilang harga diri akibat penyebaran gosip tentang dirinya dalam khalayak ramai.

Hasil kajian buli turut membuktikan bahawa pelajar berumur sekitar 13 dan 14 tahun merupakan golongan berisiko tinggi untuk terlibat sebagai mangsa buli dalam kalangan pelajar sekolah. Malaysia menduduki tangga ke 6 dunia dan kedua Asia dalam kes buli yang melibatkan remaja sekolah. Ia bermula dengan buli lisan melalui ejekan, kutukan, cemuhan dan kata-kata kesat seperti bodoh, pengecut, pondan dan gemuk. Kelakuan ini mengakibatkan tekanan emosi dan mental ke atas mangsa buli.

Seterusnya buli lisan akan menjurus kepada buli fizikal jika tidak dikawal pada peringkat awal. Buli fizikal berbentuk pukulan, hentakan, tumbukan, seksaan fizikal seperti disterika dan disimbah air panas. Jika perbuatan ini berlarutan ia boleh menyebabkan kecacatan kekal ataupun kematian mangsa buli sebagaimana yang berlaku ke atas Zulfarhan pelajar UPNM yang telah meninggal dunia.

Umum mengetahui bahawa kehidupan setiap individu melalui beberapa fasa dalam pembesaran dan pertumbuhan minda, emosi, fizikal dan spiritual. Peringkat yang paling mencabar adalah fasa remaja. Remaja mengalami perubahan ketara pada fizikal dan mengalami krisis identiti. Tempoh ini amat sensitif dan mudah goyah terutamanya dengan tekanan rakan sebaya. Oleh itu, bimbingan dan kepedulian orang yang lebih berpengalaman seperti ibu bapa, guru, abang-abang dan kakak-kakak yang berada di tingkatan lebih atas amat penting. Sikap cakna dan peduli remaja perlu dipupuk dalam masyarakat dan budaya sekolah berasrama terutamanya.

Sikap prihatin dan peduli sesama sendiri mampu membantu remaja melalui cabaran emosi dan perubahan fizikal yang mengundang keresahan. Tambahan pula, remaja yang tinggal di asrama kebiasaannya diselimuti dengan kesedihan kerana berpisah dengan keluarga tercinta dan mula hidup berdikari di samping rakan-rakan yang baru dikenali. Gelojak emosi membuak-buak berasa diri terbuang dan tersisih kasih keluarga apabila jarang diziarahi ataupun dipeduli rakan sebaya maupun senior. Pelajar yang mempunyai emosi yang tidak keruan dan memberontak mudah terjebak dengan kelakuan ganas dan tidak beradab.

Justeru kerjasama semua terutama pihak pengurusan sekolah, guru dan pimpinan pelajar yang bertanggungjawab membimbing anak-anak dan rakan-rakan pelajar ketika berada dalam kawasan sekolah, terutamanya asrama, amat penting dan relevan dalam mengawal buli lisan, mental dan fizikal. Tindakan tegas perlu dipertimbangkan di peringkat buli lisan agar ia tidak melarat kepada buli fizikal, mental dan siber. SOP perlu digubal sebagai panduan pihak terbabit dalam menangani isu buli di sekolah. Sudah tiba masanya semua pihak telus dalam kes buli dan tidak menyembunyikan api dalam sekam.

Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna ibu bapa dan masyarakat terlepas daripada tanggungjawab mendidik anak-anak generasi baru dengan komunikasi positif dan beradab. Bahasa-bahasa kesat perlu dinyah aktif daripada media sosial agar tidak dicontohi oleh generasi muda. Secara tidak langsung ia akan menghalang legasi buli siber daripada berkembang dan terus diwarisi dari generasi sehingga generasi seterusnya.

Akta komunikasi dan Multimedia 1998 seksyen 233 dilihat tidak memadai untuk mengekang buli siber lantas ada cadangan Akta Buli Siber yang khusus dibentuk bagi mengekang penularan budaya yang menyakitkan ini. Buli siber terjadi apabila alat teknologi seperti telefon bimbit dan komputer disalah guna. Ia disalahgunakan bagi menyebarkan video-video yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, menghantar mesej berbaur ugutan dan kata-kata kesat dan sebagainya.

Kesimpulannya, semua pihak perlu cakna dan berganding bahu bagai aur dengan tebing, sepakat bermuafakat menyekat budaya buli daripada terus melekat dalam minda masyarakat. Sepakat bawa berkat.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

BebasNews

Leave a Reply