KAMAL Adli dan Ain Edruse bukan sahaja sebagai pengacara dalam program "Lagu Cinta Kita" malah turut menyanyi walaupun suara mereka kurang enak didengar!

PENGACARA atau hos memainkan peranan penting ketika mengendalikan sesebuah program hiburan sama ada untuk TV atau radio kerana ia menggambarkan arah tuju program berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah secara tidak langsung ia mencerminkan keperibadian dan mentaliti hos atau pengacara program berkenaan dalam memacu dan memastikan matlamat program berkenaan tercapai.

Sesuatu yang harus diingat pengacara tidak boleh menggunakan pentas berkenaan untuk mempromosi diri sendiri dengan menyanyi sedangkan suara sumbang, bertekak dan terlompat-lompat sesama sendiri apalagi ketawa mengilai bagaikan pontianak dan sama ligatnya dengan tetamu meskipun kadangkala apa yang dikatakan tidak mencuit hati apalagi melucukan.

“Debat Bukan Gaduh” siaran di Awesome TV setiap Rabu jam 9.00 malam.

Ironinya program hiburan bukan setakat bercakap malah yang penting pertuturan biar bersopan, manis didengar dan cukup fakta mengenai program berkenaan walaupun ia sebuah program hiburan tetapi akhlak dan adab itu penting kerana pengaruhnya kuat dalam masyarakat.

Disamping itu, pihak stesen TV dan penerbit juga harus memainkan peranan dan mengambil berat serta membuat perubahan program terbitan mereka antaranya Melodi, Muzik Muzik, Lagu Cinta Kita, Debat Bukan Gaduh, Ada Apa Dengan Dot Dot Dot dan JKK bagi memastikan program nyanyian mereka bukan pentas lawak, rancangan lawak pula bukan tempat bertengkar melulu bagi memastikan ianya sebuah hiburan bermanafaat dan harus ditonton semua.

“Ada Apa Dengan Dot Dot Dot” dengan pengacaranya Siti Elizad.

Mereka gunakan bahasa sampah dan biadap – Ahmad Tamimi Siregar

Pengarah, Seniman dan hos program TV tersohor, Datuk Ahmad Tamimi Siregar ketika ditanya mengenai perkara berkenaan berkata;

Ahmad Tamimi Siregar

“Sebenarnya saya sudah jemu bercakap mengenai perkara ini kalau nak bercakap tentang cara pertuturan para pengacara sekarang terutamanya radio ianya sudah menjadi sebahagian daripada arahan dan juga kehendak stesen radio itu sendiri.

“Contohnya Rakita (Radio Kita) yang sebelum ini dikenali IM4U kemudian stesen-stesen radio yang lain seperti Hot FM, Astro dan juga yang sama konsep dengan mereka, kononnya para pendengarnya semua orang muda pada hal ada diantara pendengarnya orang-orang berusia jadi apabila bahasa panggilannya seperti ‘engkau orang, dia orang, engkau’ itu dah kira biadap kerana ada pendengar bukan sebaya dengan mereka sebab ada orangtua juga mengikutinya.

“Jadi tidak salah kalau kita menggunakan bahasa yang betul. Tengok sahaja Radio Nasional dan Radio Klasik cara mereka berbahasa masih laju, cuba dengar KLfm masih bersopan cara pertuturan yang merangkumi semua orang.

“Kalau nak bercakap tentang zaman saya, saya pernah menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia selama 20 tahun bermula 1985 sehingga tahun 2005 iaitu apabila saya tidak dapat lagi komited dengan tugas-tugas saya. Saya pernah tegur sebuah stesen radio kerana deejaynya adalah anak didik saya dan saya beritahu mulai hari ini saya tidak akan mendengar stesen radio kamu kerana cara kamu bertutur biadap.”

Menurut Ahmad Tamimi Siregar, jawaban anak didiknya itu sungguh memeranjatkan apabila beliau membalas yang dia tidak boleh berbuat apa kerana itu arahan pihak pengurusan yang mahukan bahasa seperti itu.

“Saya kata okey tetapi bahasa yang digunakan adalah bahasa sampah dan biadap! Jadi kita tak boleh berkata apa kerana kuasa di tangan mereka. Bukan itu sahaja malah ada seorang pelakon senior apabila beliau menjual produk kesihatannya juga berbahasa engkau orang, dia orang dan dia pun dah sama biadap dah tidak tahu nak bertutur bahasa yang betul dan akhirnya kita akan hancur! Stesen radio memainkan peranan dan saya tak tahu apa akan jadi kepada generasi Y & Z ini!

“Apapun kita harus berterima kasih dan tabik kepada stesen Radio Nasional terutamanya Rangkaian Nasional mereka diam tetapi tidak ada perkataan kau orang, dia orang sebaliknya mereka mengunakan perkataan anda, saya dan tuan-tuan sesuai dengan keadaan,” kata Ahmad Tamimi Siregar.

Diva AA anggap ‘pengacara bervirus’ kuasai 2021

Sementara itu, Azwan Ali yang lebih dikenali sebagai ‘Diva AA’ yang telah mengemudi dunia hiburan sebagai hos TV selama 33 tahun dan amat disegani kerana pengalaman dan kewibawaannya mengendalikan program demi memastikan impaknya kepada penonton ketika ditanya mengenai isu berkenaan berkata;

AZWAN Ali atau lebih dikenali Diva AA sebagai hos program “Kasi Setel Itu Lirik” yang disiarkan di Awesome TV.

“Saya pernah menegur isu yang sama dan berlegar di minda berjuta penonton tiga tahun lalu di mana saya sembur pengacara-pengacara ‘offlate’ ini sebagai sampah malah untuk soalan BebasNews ini saya cop mereka yang merenyut di pelbagai rancangan hiburan di semua stesyen sebagai ‘bervirus’ macamana Covid-19, begitulah virus yang membawa kemusnahan kepada industri pengacaraan.

“Pengacara sekarang daripada 99 persen mungkin ada seorang dua yang bagus tetapi masalah selebriti-selebriti yang mendapat peluang untuk menjadi hos mereka lupa daratan, lupa diri, ego, bodoh dan sombong. Mereka perasan hebat sangat apabila lampu bersinar ke muka untuk mereka memulakan bicara apa sahaja begitulah pengacara di tahun 2021 berbanding Diva AA dulu atau Azwan Ali.

“Saya melihat situasi ini di depan mata yang mana kebanyakan mereka syok sendiri kerana tidak dikawal atau ditegur oleh penerbit yang hanya memandang dari jauh dengan tiada skrip! Mereka bukanlah pengacara Azwan Ali atau pengacara-pengacara tersohor yang boleh bercakap sesuka hati, mereka sepatutnya dipantau dengan skrip yang sempurna.

“Berhentilah membuat lawak bodoh, perasan bagus apalagi bila bercakap mengenai isu penyanyi mereka menyanyi ketika bersiaran kerana mereka bukan penyanyi! Saya akui dan sedar ketika mengendalikan program saya menyanyi tetapi ia sekadar membina mood penghibur. Nasihat saya berhentilah memuji diri sendiri kerana sikap mereka inilah yang akan membunuh industri pengacaraan di Malaysia!”

Menurut Azwan Ali semasa beliau mengacarakan program Anugerah Juara Lagu (AJL) bersama Charmine Agustine berhari-hari mereka duduk di satu sudut Dewan Merdeka menghafal skrip hasil karyanya yang telah diluluskan oleh penerbit TV3 untuk dipersembahkan pada siaran langsung AJL.

AZWAN Ali bersama Charmaine Augustine ketika menjadi hos bersama Juara Lagu bermula dari tahun 1989 sehingga 1996.

“Bayangkan bos-bos akan turun ke Dewan Merdeka dan menyaksikan kami berlatih. Kami sentiasa diperhati dan ditegur untuk memperbaiki persembahan dan ada masa dialog-dialog akan dipotong bagi memastikan ia tidak ‘over run.’ Sebagai pengacara yang berwibawa kami sering ‘bergaduh’ untuk memperbaiki dan memantapkan skrip dari masa ke semasa demi memastikan berjuta penonton yang tidak dapat bersama AJL di Dewan Merdeka dapat merasakan suasana yang meriah. Apa yang penting kami mengelakkan dari membuat lawak bodoh yang boleh memalukan tetamu.

“Hari ini amat jelas dalam kebanyakan produksi siaran langsung pengacara ‘virus’ ini tidak menghormati apalagi menjaga sensitivi tetamu kerana ketika tetamu sedang bercakap mereka suka mencelah, ketawa mengilai. Bukan itu sahaja malah kadangkala mereka terlupa siapa yang hadir di majlis tersebut! Inilah masalah 99 peratus pengacara ‘bervirus’ di semua stesen TV. Bukan itu sahaja malah penampilan sama ada pengacara lelaki atau perempuan dengan mekap tebal dan gaya rambut tidak sesuai dengan program berkenaan. Apa yang penting mekap yang ‘sweet’ dan ‘simple’ kerana anda adalah hos.

“Saya akui kebanyakan pengacara yang perasan hebat ini tidak buat homework. Skrip ada tetapi mereka campak ke tepi kerana perasan mereka boleh buat yang terbaik. Sesuatu yang mereka harus sedar jika bercakap mengenai ranking pengacara hebat di Malaysia jangankan nak masuk top 10 top hundred pun belum tentu!”

Menurut Diva AA, kesimpulannya pada hujung tahun 2021 ini, waima apa juga rancangan terutama rancangan hiburan dikuasai oleh
pengacara bervirus yang merasakan diri mereka hebat kerana dipilih oleh stesen TV. Bagi mereka yang berjaya alhamdulillah dan harus sentiasa muhasabah diri.

Pengacara harus cermin diri – Chuari Selamat

Bagi Mantan Prof. Adjung ATMA UKM dan bekas juruhebah hebat RTM, Datuk Haji Chuari Selamat seorang pengacara itu tidak kira sama ada di pentas, radio atau di TV peranan mereka adalah sebagai seorang petugas di barisan hadapan atau dipanggil ‘frontliners!’

CHUARI SELAMAT

“Setiap apa yang diucapkan dan dilakukan akan diberi perhatian akan ditatapi akan didengari oleh khalayak mereka dan terus masuk ke dalam jiwa para penonton atau para pendengar khalayak mereka.

“Sebelum menampilkan diri di hadapan khalayak sebaiknya kita cermin diri kita dahulu. Apakah yang sebaik-baiknya yang harus kita berikan kepada khalayak kita. Bahasa yang kita gunakan, bual bicara yang hendak kita sampaikan dengan mesej yang kita bawa.

“Apa sahaja dan bagaimana cara penyampaian kita lakukan perlu diberi perhatian sebelum kita mula berhadapan dan menyantuni khalayak kita. Sekiranya kita menyampaikan sesuatu program secara santai kita harus memikirkan santai yang bagaimana. Adakah bila kita bercakap secara santai kita boleh buat apa sahaja yang kita suka kemudian ketawa tanpa henti dan menjerit-jerit serta saling bergurau senda antara satu dengan lain sekiranya mereka melakukan tugas itu lebih daripada seorang. Kadangkala tanpa disedari mereka mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengari dan tidak menghormati khalayak dan kadangkala bahasa yang digunakan tidak sesuai untuk diberikan kepada khalayak,” kata Chuari Selamat.

CHUARI Selamat ketika menjadi tetamu di konti Radio Klasik sempena Hari RTM ke-75 pada tahun 2020.

Menurut beliau, sememangnya kita mengalu-alukan kreativiti para pengacara dalam persembahan mereka dan mereka boleh melakukan apa sahaja aktiviti untuk memberi hiburan bagi menghidupkan majlis atau program tetapi biarlah santai dan mudah difahami.

“Pada waktu yang sama janganlah kita sampai tidak menyantuni khalayak kerana terlalu ‘over excited’ hingga melupakan peranan kita yang sebenarnya yang kita sedang berhadapan dengan khalayak kita. Sebaik-baiknya lakukanlah bukan sahaja bersopan santun tetapi lakukan dengan penuh hormat supaya kita lebih disenangi dan dihormati oleh khalayak kita,” kata Chuari Selamat.

– BebasNews

Leave a Reply