DENGAR kata Presiden UMNO, Zahid Hamidi masih gagah. Beliau masih ditakuti oleh hulu-hulu balangnya. Beliau juga akan menentukan siapa yang akan bertanding dalam PRU15 akan datang.

Ada juga yang berkata sistem kepemimpinan UMNO sudah korup sangat. Anggota-anggota Majlis Tertingginya serba-salah mahu memperbetulkan kerosakan itu. Mereka seolah-olah memaksa diri mereka berada dalam sindrom penafian — untuk menyatakan adakah patut kami masih membiarkan pemimpin yang sedang menghadapi pertuduhan serius di mahkamah — terus menerajui parti besar Melayu itu?

MT UMNO masih tidak berani untuk membuat revolusi dalaman. Bimbang jika gagal percaturan maka mereka juga akan hanyut — nama tiada dalam senarai PRU.

Perlu diingat, pada saat ini, punca kuasa watikah calon-calon UMNO dan BN untuk
pilihan raya umum akan datang, masih dalam tangan Zahid. Dan beliau akan menggunakan kuasa itu untuk calon-calon yang loyalis kepada beliau sahaja.

Jika benar kata-kata itu maka terlalu banyak lagi “ancaman dan ugutan” masih berlegar dalam parti itu.

Malah apa yang berlaku dalam sehari dua ini juga ternyata ada kebenarannya. Tanpa ada ribut taufan, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) membuat sidang akhbar tergempar di Parlimen untuk menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam politik Malaysia, jika ini terjadi maka ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Jika di permukaan tidak nampak apa-apa, sebaliknya arus bawahnya sedang kencang bergelora.

Melihat muka-muka yang hadir dalam sidang akhbar itu ramai juga yang heavyweights diketuai oleh Tajuddin Rahman, Nazri Aziz, Idris Jusoh. Ya, Tajuddin kata BBC yang hadir terdiri daripada pelbagai ‘mazhab’ untuk menyatakan sokongan.

Persoalannya mengapa? Adakah ada usaha pihak-pihak tertentu mahu menjatuhkan Ismail Sabri?

Jika benar, parah lagilah suasana politik negara ini.

Setelah saya melakukan pertanyaan sana-sini, seorang pemimpin UMNO dan bekas ahli kanan MT menulis whatsapp kepada saya dalam bahasa Inggeris:

“ZH and NR pushing for PRU 15 immediately to save their necks. ZH had the absolute power on all the candidates. So that’s the game by ZH. ISY wants to take over PRESIDENT UMNO before election.
That is the under current and play now bro”

(ZH-Zahid Hamidi dan NR-Najib Razak sedang desak supaya PRU 15 diadakan segera bagi menyelamatkan tengkuk mereka. ZH berkuasa penuh menentukan pencalonan. Jadi itulah permainan oleh ZH. ISY-Ismail Sabri Yaakob mahu mengambil alih (kerusi) Presiden UMNO sebelum pilihan raya. Itulah arus bawah dan permainannya sekarang)

Wow. Itu jawapannya. Jom kita buat analisis apa yang dikatakan oleh sumber itu.

Ia bermakna: apabila pemimpin UMNO itu iaitu Zahid dan Najib Razak masih mahu menyelamatkan diri mereka yang sedang dalam proses perbicaraan yang berat, maka parti dipergunakan.

Maka jentera perang mereka digunakan untuk tujuan itu. Saya pasti anggota-anggota MT sedar mengenai permainan ini. Namun seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga mahu menyelamatkan tengkuk mereka. Oleh itu, lebih baik senyap.

Yang hancur adalah rakyat, kerana ia akan menyebabkan negara terus tidak stabil. Tapi adakah orang macam Zahid dan Najib peduli itu semua?

Sepatutnya secara logik, semua pemimpin UMNO harus berbangga kerana kerusi PM sekarang diduduki oleh orang mereka. Ismail dilihat masih berdiplomasi dengan Zahid dan Najib dan kelihatan “amat mesra” di sepanjang pilihan raya negeri Melaka tempoh hari.

Tetapi arus bawah, menunjukkan sebaliknya. Ismail mahu ditumbangkan. Ismail masih dianggap tidak boleh dipercayai.

Ismail sekarang dilihat bercita-cita besar pula. Mahu makan tuan. Mahu mengambil kerusi Presiden UMNO.

Jika itu berlaku Zahid melihat ia akan bakal menghancurkan masa depannya.

Bayangkan jika Zahid tiada lagi pegangan kedudukan dalam UMNO — apa akan jadi pada nasib beliau; kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi?

Dalam politik, jika kamu sudah tiada kuasa — kamu adalah sampah. Suara kamu pun akan dipertikaikan. Tiada siapa peduli. Jika anda berjalan ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan, tiada lagi mereka yang berteriak menyokong anda. Ini yang sangat ditakuti.

UMNO perlulah berubah, jika mahu terus survive. Rakyat mahukan muka-muka baharu dalam UMNO. Dalam kedudukan sekarang, Ismail adalah yang paling sesuai.

Banyak lagi calon-calon lain yang boleh diangkat naik. Sekadar sebutan, Mohamad Hassan, Johari Ghani, waima KJ sekali pun dan ramai lagi.

Jika tidak, rakyat akan menolak UMNO. Jangan anggap kemenangan di Melaka itu adalah refleksi satu negara. Percaturan pada pilihan raya umum adalah berbeza.

Adakah UMNO boleh menang dalam PRU15 ini adalah satu persoalan besar. UMNO pasca-Melaka menganggap ia boleh bertanding sendirian dalam PRU15 kerana terlalu yakin.

Sehinggakan ada usaha sekarang (mengikut sumber UMNO itu) mahu dipaksa pilihan raya umum diadakan segera, sebelum tempoh akhir kerajaan 2022/2023.

Wahai rakyat, nilailah sendiri senario ini. Permainan peribadi inilah yang menyebabkan negara terhoyong-hayang.

Ismail Sabri, sebagai PM harus tegas. Kuasa sekarang dalam tangan anda. Beliau harus ingat tanggungjawabnya kepada negara mengatasi segala-galanya.

Walaupun partinya adalah sebahagian dalam sistem beliau, namun dalam konteks semasa negara, beliau adalah orang nombor satu negara.

Gunakan kebijaksanaan dan hikmah dengan sebaik mungkin. Rakyat dan negara yang harus diutamakan, bukan orang-orang yang berkepentingan sendiri.

Jika halangan ini boleh diatasi, Ismail Sabri akan berjaya…

— BebasNews

Leave a Reply