Foto FB Hadri Mohamad

IKTIBAR, IKTIBAR, IKTIBAR:
Tajuk di atas adalah mengenai kegagalan sebuah kerajaan besar Amerika Syarikat dalam menangani Taufan Katrina pada 2005 yang melanda pesisir teluk di New Orleans.

Kita sebagai negara kecil Malaysia boleh mempelajari sesuatu daripada mereka.

Taufan Katrina mengorbankan 1,800 manusia, mengakibatkan kemusnahan harta benda bernilai AS$100 bilion (RM420 bilion). Kemusnahan akibat taufan itu diburukkan lagi (exacerbated) dengan kegagalan Kongres, pentadbiran Bush pada masa itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) — agensi yang sama seperti NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan) dan Angkatan Tentera Amerika Kor Kejuruteraan.

Satu laporan yang ditulis oleh Chris Edward dari CATO Institute pada 2015 mengenai insiden kegagalan kerajaan itu sepatutnya menjadi iktibar bukan sahaja kerajaan Amerika tetapi juga sebagai satu kajian kes kepada agensi-agensi bencana seluruh dunia.

Mari kita lihat laporan itu dan bandingkan dengan tragedi banjir besar yang sedang berlaku di Malaysia sekarang. Adakah ada persamaan atau perbezaan?

Menurut laporan CATO Institute itu: Ramalan Kajicuaca telah memberi amaran kepada pegawai-pegawai kerajaan mengenai kemaraan Katrina, yang sepatutnya mereka telah bersiap-siaga bagi menghadapinya.

Malangnya ia tidak berlaku. Katrina telah membuka pekung kepada kegagalan sistem respons dan kesiapsiagaan bencana Amerika.

Berikut adalah kegagalan Persekutuan:

KEKELIRUAN (CONFUSION): Pegawai-pegawai penting kerajaan tidak proaktif. Mereka memberi maklumat salah kepada orang awam, dan mereka tidak terlatih dengan baik. Laporan terhadap bencana itu oleh Bipartisan 2006 Dewan Perwakilan Amerika Syarikat bertajuk A Failure of Initiative menyebut, “agensi-agensi persekutuan…menghadapi situasi tidak jelas terhadap peranan dan tanggungjawab di bawah Plan Tindakan Kebangsaan dan Sistem Pengurusan Insiden Kebangsaan.” Laporan itu menemui “kekeliruan terhadap misi tugasan, pengerahan dan struktur memberi arahan.”

Salah satu sebab adalah disebabkan lingkungan FEMA dikelilingi oleh orang lantikan politik yang mempunyai pengalaman yang sedikit mengenai pengurusan bencana.

KEGAGALAN BELAJAR: Kerajaan didapati tidak bersedia menghadapi Katrina walaupun ia diketahui umum taufan itu adalah nyata, dan ramalan kajicuaca telah meramalkan secara tepat kedatangan taufan itu sebelum ia melanda. Setahun sebelum Katrina, agensi-agensi kerajaan telah menjalani latihan simulasi – “Hurricane Pam” – untuk taufan dengan kekuatan yang sama di New Orleans, namun kerajaan “gagal belajar” daripada pelajaran yang penting daripada simulasi itu.

KEGAGALAN KOMUNIKASI (COMMUNICATION BREAKDOWN): Laporan Dewan Perwakilan itu menemui “kegagalan sepenuhnya komunikasi yang melumpuhkan sama sekali “command and control” dan menyusutkan suasana. Agensi-agensi tidak berupaya berkomunikasi antara satu sama lain disebabkan peralatan yang rosak dan siatem yang tidak sekata. Masalah ini timbul walaupun FEMA dan agensi-agensi lain telah menyalurkan peruntukan kepada negeri dan kerajaan tempatan untuk sistem komunikasi kecemasan sejak bermulanya Perang Dingin.

KEGAGALAN BEKALAN (SUPPLY FAILURE): Sesetengah bekalan kecemasan ditempatkan sebelum taufan, tetapi bekalan tidak mencukupi. Di kawasaan-kawasan yang sangat diperlukan, seperti di stadium New Orleans Superdome, ia mengambil masa berhari-hari sebelum bekalan perubatan tiba.

FEMA juga telah membazirkan jumlah bekalan yang besar. FEMA juga membeli sebanyak 25,000 rumah bergerak berjumlah AS$900 juta, tetapi ia tidak digunakan kerana kegagalan FEMA mengenalpasti bahawa rumah-rumah itu tidak boleh digunakan oleh mangsa banjir.

KETIDAKPASTIAN (INDECISION): Ketidakpastian melanda pemimpin kerajaan bagi menyalurkan bekalan bantuan. Malah tugas-tugas mencari dan mengeluarkan mayat-mayat juga amat perlahan dan mengelirukan. Mayat-mayat tidak diangkut berhari-hari “disebabkan kerajaan negeri dan pegawai persekutuan tidak pasti kepada pelan mengeluarkan mayat”.

FEMA menunggu negeri Louisiana membuat keputusan mengenai pengurusan mayat, tetapi Gabenor Louisiana menyalahkan FEMA kerana lewat membuat perancangan dengan pihak kontraktor.

Masalah yang sama akibat kerenah birokrasi merencatkan lagi urusan membuat keputusan.

PENIPUAN dan SALAH GUNA (FRAUD and ABUSE): Bantuan yang banyak untuk mangsa-mnagsa Taufan Katrina membuka kepada masalah penipuan dan salah guna. Juruaudit Persekutuan menganggarkan AS$1 ke 2 bilion atau lebih bayaran bantuan kepada individu-individu adalah tidak sah. Associated Press (AP) dan The New York Times membuat analisis mengenai penipuan dan salah guna membabitkan wang-wang bantuan.

Selain itu, aspek yang lebih menyerlah mengenai tindakan para pegawai menghalang usaha-usaha oleh pihak sukarelawan, sebagai contoh:

* FEMA berterusan menghalang penyaluran bekalan kecemasan kepada pihak sebuah hospital yang membuat tempahan bekalan dari luar.

* FEMA menghalang sukarelawan perubatan untuk memberi khidmat di kemudahan-kemudahan kecemasan.

* FEMA tidak membantu syarikat-syarikat penerbangan persendirian membuat evakuasi terhadap mangsa Katrina, malah ada yang menghalang penerbangan dibuat.

* FEMA “menafikan tawaran yang dibuat oleh AMTRAK (keretapi Amerika Syarikat) menyelamatkan mangsa-mangsa” serta tidak melayan permohonan bantuan oleh Persatuan Bas Amerika.

Menurut satu rencana oleh The New York Times semasa malapetaka itu berlaku didapati “tidak jelas siapa yang bertanggungjawab terhadap misi” dan “kerenah birokrasi yang keterlaluan.”

Insiden Katrina menunjukkan dengan jelas bahawa sistem respons kecemasan kerajaan adalah terlalu “kompleks”.

Menurut rencana itu, terdapat 29 agensi-agensi yang berbeza dalam menangani soal bencana di bawah Rangkakerja Tindakan Kebangsaan (National Response Framework).

Agensi-agensi itu terlibat dalam pelbagai lagi antara-agensi (cross-agency) yang menyebabkan berlaku kelam-kabut.

Walaupun begitu, hanya sedikit agensi kerajaan yang berfungsi dengan baik semasa insiden itu. Antaranya Coast Guard yang mengerahkan 4,000 anggotanya, 37 pesawat terbang dan 78 bot di kawasan terbabit.

Agensi itu menyelamatkan 30,000 orang pada hari berikutnya selepas taufan.

National Guard (Relawan) di bawah kawasan negeri juga memainkan penting semasa insiden itu. Sebanyak 50,000 dikerahkan.

Pasukan Palang Merah juga memainkan peranan penting menyediakan tempat berlindung kepada 40,000 mangsa serta menyediakan 52 juta bungkusan makanan.

Salvation Army (pertubuhan sukarelawan) memberi pelindungan kepada 30,000 mangsa dalam 225 kem pelindungan.

Syarikat-syarikat swasta termasuk pasaraya Walmart cukup aktif dalam membekalkan bantuan.

Menurut The Washington Post, Walmart “memberi AS$20 juta derma tunai, 1,500 lori penuh barangan keperluan, bekalan untuk 100,000 makanan dan menjanjikan pekerjaan kepada yang hilang pekerjaan.

Bantuan juga diberikan oleh Home Depot dan lain-lain usahawan.

Kesimpulan kepada bencana taufan Katrina itu, penulis Chris Edward merumuskan bahawa pihak kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pihak sektor swasta adalah lebih baik dalam membuat koodinasi bantuan daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan.

Birokrasi pusat mengencatkan operasi yang sepatutnya digerakkan secara pantas.

Dalam konteks banjir besar di Malaysia sepatutnya kerajaan pusat mengerahkan angkatan tentera semua cabang dalam misi dan operasi bencana ini kerana kesemua anggota-anggota berada dalam kem masinbg-masing.

Sedangkan anggota-anggota agensi lain juga terbabit secara peribadi dalam bencana di kediaman dan kawasan masing-masing.

Ambillah iktibar. Banjir kali ini menjadi riuh-rendah kerana ia berlaku di bandar-bandar besar dan bukannya di luar bandar.

Rakyat bandar lebih vokal berbanding orang kampung kita!

Hubaya-hubaya!

(Laporan CATO Institute itu di sini: https://www.cato.org/blog/hurricane-katrina-remembering-federal-failures)

BebasNews

Leave a Reply