KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia termasuk mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang berdepan bebanan kewangan yang teruk dan berisiko mengalami keruntuhan ekonomi yang parah.

Ketika pandemik Covid-19 berada dalam proses pemulihan, situasi sama dihadapi oleh rakyat yang menagih talian hayat berupa kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Rakyat khusus dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merayu simpati kerajaan untuk meneruskan skim i-Citra sekali bayar RM10,000.

Tinjauan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), The Patriots ke lokasi mendapati, mangsa bukan sahaja terpukul dengan banjir yang melanda, tetapi turut trauma akibat bebanan kewangan yang dihadapi akibat musibah ini.

Seorang pengusaha bengkel GTuned Motorsport berkata, kos membersihkan sebuah
Kenderaan yang tenggelam akibat banjir boleh mencecah sehingga RM4,000, manakala kos membaik-pulih kereta pula boleh menelan belanja melebihi RM10,000.

GTuned Motosports menawarkan perkhidmatan membasuh dan membaik pulih kereta mengikut standard pihak pengeluar kereta atau OEM.

Kini syarikat itu dalam proses membaik pulih 40 buah kereta dan mempunyai lebih 200 buah kenderaan dalam senarai menunggu.

Presiden Patriots, Jamalee Bashah berkata, kenderaan yang terkena banjir terutama di kawasan berdekatan sungai antara yang paling teruk perlu dibersihkan kerana selut dan lumpur yang melekat di bahagian luar dan dalam kenderaan.

“Kebanyakan kereta yang terkena banjir tidak ditanggung oleh pengeluar kenderaan mahupun dilindungi insuran.

“Sedangkan kenderaan menjadi keperluan warga kota untuk mencari rezeki sama ada bekerja sendiri, berniaga, berkhidmat di sektor awam atau swasta.

“Tanpa kenderaan yang mampu berfungsi dengan baik, warga kota berdepan dengan masalah untuk pergi bekerja atau melakukan aktiviti harian,” katanya.

Jamalee Bashah yang juga merupakan mangsa banjir di Hulu Langat turut menggembeling tenaga membantu mangsa-mangsa banjir yang lain di sekitar kawasan tersebut.

The Patriots turut mendapatkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

Selain memberikan sumbangan berbentuk makanan dan barangan, Patriots melakukan aktiviti membersihkan kawasan perumahan yang terjejas dan mengangkut serta membuang perabot-perabot besar melalui sewaan tong Roll-On/Roll-Off (RORO).

Berikutan bencana banjir ketika ini, Jamalee Bashah berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan sekali bayar KWSP untuk rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Penduduk kini trauma menghadapi bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung akibat banjir ini. Selain daripada kenderaan yang rosak, banyak lagi kerosakan harta-benda yang terpaksa ditanggung oleh mangsa disamping perlu segera kembali bekerja untuk menyara keluarga.

“Kami juga berharap agar kerajaan mengkaji semula proses penyaluran bantuan yang sedia ada bagi memastikan proses tuntutan dapat diselesaikan dengan lebih mudah,” ujarnya.

BebasNews

Leave a Reply