Oleh Zaini Hassan dan team Infaq, Sedekah, Bantuan bebasnews, Persekutuan Alumni UiTM dan Terbang Charity

GAMBARANNYA SEPERTI MEDAN SELEPAS PERANG, GROUND ZERO… barang-barang yang musnah diletakkan di tepi-tepi rumah, simpang, lorong dan siur.

Gunungan sampah-sampah tidak diangkat sejak mulai 7 hari lalu. Bau meloyakan.

Keadaan tepi-tepi jalan masih berselut tidak dibersihkan (lagi). Sukarelawan memenuhi setiap ruang, menyapa mahu membantu mangsa-mangsa.

Tidak kelihatan lori-lori angkut sampah. Saya kira, lori-lori tanah kepala kayu tahun 70-an yang keluar dan masuk dalam taman mengangkut sampah, adalah disewa oleh sukarelawan. Tapi terlalu sedikit yang boleh diangkut.

Saya mahu bersangka baik, mungkin lori biru MBSA akan mulai operasi mengutip bahan-bahan buangan dan sampah di setiap penjuru rumah teres kos rendah itu — tengah malam ini!

Kelihatan juga lori-lori sampah DBKL beratur panjang parkir di tepi jalan menuju ke Sri Muda.

Saya mahu bersangka baik lagi — mungkin operasi mereka membersihkan sampah-sarap itu pada tengah malam (ini)!

Suasananya seperti filem perang dunia kedua dan setnya itu ialah di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada 25 Disember 2021, hari Natal yang tidak dirai.

Team Infaq, Sedekah, Bantuan BebasNews, Persekutuan Alumni UiTM Malaysia dan NGO Terbang Charity turun ke Taman Sri Muda hari ini memasuki ke medan itu dengan misi
bagi membersihkan rumah-rumah yang diselaputi lumpur.

Bau hanyir selut dan bangkai-bangkai binatang serta sampah mereput menyelinap masuk ke hidung. Suasana permandangannya huru-hara. Namun penduduknya masih boleh bertabah. Dalam hati mereka hanya tuhan sahaja yang tahu.

Salah sebuah rumah milik mantan Dekan Fakulti Kejuruteraan UiTM, Ir Dr Nawi Salleh berkata, bala bencana itu turun tanpa diduga.

“Nasib baik rumah saya tiga tingkat. Tingkat satu habis tenggelam. Saya dan dua anak menyelamatkan diri di tingkat dua.

“Pada hari Sabtu semasa air tengah tinggi, saya terpaksa membuat dapur memasak dengan membakar buku-buku dan kayu-kayu. Kami terlalu lapar masa itu,” katanya yang menerima team kami membersihkan rumahnya dan menjadikan rumah beliau sebagai “base camp” kami.

Pasukan kami turut ke rumah-rumah lain. Sepanjang hidup saya inilah suasana paling dahsyat pernah saya lihat membabitkan satu kawasan perumahan yang besar. Berantakan.

Semasa banjir besar 2014 dahulu, kami juga turut serta membantu di Pahang, namun suasana di luar bandar adalah berbeza dengan dalam bandar.

Salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Maniam berkata “semuanya musnah. Hanya nyawa kami sahaja yang ada”

Salah seorang lagi mangsa, seorang wanita India yang tidak mendapat nama berkata, “semasa air sudah naik sehingga ke paras dada, saya terpaksa memanjat ke bumbung dengan anak saya berusia 3 tahun. Terpaksa bermalan di atas bumbung dengan ketakutan bumbung akan runtuh”.

Mangsa-mangsa penduduk di situ yang rata-rata dalam kategori B40 menerima team kami dengan tangan terbuka, kerana mereka sudah tiada apa-apa lagi. Barangan rumah hancur. Pendek kata total loss!

Pada hari Jumaat 17 Disember itu, hujan bagaikan tidak mahu berhenti. Ramalan kajicuaca telah memberitahu hujan berterusan sepanjang hari. Namun tiada amaran yang jelas mengenai kebarangkalian yang akan berlaku.

Seperti biasa pada ketika itu, orang ramai bersesak di Lebuh Raya Persekutuan KL-Shah Alam-Klang untuk pelbagai aktiviti — tanpa sedar bencana besar akan mendatang.

Setakat ini ramai yang terkorban dalam banjir itu. Mereka terperangkap apabila air naik dengan laju dan mendadak. Persoalannya, salah siapakah itu? Adakah salah alam? Salah hujan? Salah sungai? Salah bulan penuh?

Terlalu banyak kelemahan, pengajaran dalam kisah tragedi banjir 17 dan 18 Disember 2021 ini.

Kajicuaca memberi ramalan. Tapi tiada red alert dibunyikan. Pada hari Sabtu itu majlis-majlis kenduri kendara seperti biasa — malah jika tidak keterlaluan anggota-anggota pasukan bencana negara pun ada yang menghadiri majlis-majlis itu, tanpa merasa apa-apa akan berlaku.

Engineer Nawi berkata, penduduk di situ tinggal berdekatan sungai yang besar iaitu Sungai Klang. Tapi tiada semboyan atau siren yang bunyi menandakan air sudah pecah tebing.

“Terlalu banyak pelajaran dan pengajaran boleh dipelajari daripada tragedi ini,” katanya tenang.

Pasca banjir besar itu. Team sukarelawan masih memenuhi seluruh kawasan Sri Muda Shah Alam sehingga ke Hulu Langat dan sebahagian selatan Pahang bagi membantu masyarakat yang amat-amat memerlukan bantuan.

Respons mereka sungguh hebat. Ada juga kenderaan pacuan 4 roda dari Kelantan, Terengganu dan serata negara turun membantu mangsa-mangsa.

Semangat ini amat luar biasa! NGO daripada pertubuhan Buddha juga cukup teratur, siap dengan bendera, berarak dengan team mereka — termasuk ahli-ahlinya yang pertengahan usia, memasuki ke lapangan.

Pertubuhan sukarekawan Cina dan Melayu membantu antara sama lain, berkongsi kelengkapan membersih.

Mendengar lagi cerita Maniam “saya tidak mahu bercerita mengenai para pemimpin kami — dada saya sakit.”

Dari wajahnya, saya cukup faham.

Berikut gambar-gambar menceritakan segala-galanya…

 

Leave a Reply