SHAH ALAM – Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lewat bertindak menguruskan situasi banjir di kawasan Lembah Klang.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, dakwaan tersebut tidak berasaskan kerana Perdana Menteri telah memulakan tindakannya untuk menangani perkara itu selepas menerima taklimat kemungkinan banjir daripada Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) pada 17 Disember lalu.

Beliau memberitahu, Ismail Sabri juga mengarahkan semua pihak berkaitan antaranya termasuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggerakkan operasi sebaik sahaja menerima taklimat tersebut.

“Kawasan saya sendiri Kuala Langat, sudah bersedia untuk menerima mangsa sejak pagi Sabtu 18 Disember 2021 dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), KKM, serta jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun mula menguruskan mangsa banjir.

“Perdana Menteri telah mula bertindak selepas hujan menunjuk trend taburan berterusan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib yang mendakwa Ismail Sabri tidak menghiraukan rayuan bantuan banjir dibuat kerajaan Selangor pada 18 Disember lalu.

Saari dalam kenyataannya pada Sabtu turut meminta mangsa banjir di Selangor yang berasa ‘dikhianati’ untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, kenyataan Saari yang menggambarkan seolah-olah berniat jahat atau mala fide merupakan tuduhan berat.

“Tuduhan ini tuduhan yang amat berat dan hujah yang digunakan oleh Saari Sungib adalah ini kerana Pengerusi Majls Keselamatan Negara (MKN) Selangor bukan Menteri Besar Selangor.

“Untuk makluman YB Hulu Kelang, menuding jari tidak membina dan tidak produktif. Saya tak mahu politikkan isu ini. Tetapi negeri Pahang dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah.

Meskipun begitu, keadaan terkawal kerana Menteri Besar Pahang bertindak awal dan telah pun bersedia untuk menghadapi banjir. Malah, beliau sendiri meninjau semua kawasan yang dilanda banjir,” ujarnya.

Pada masa sama, Shahril berkata, tuduhan bahawa Perdana Menteri tidak melakukan sebarang tindakan juga tidak benar kerana Ahli Parlimen Bera itu bergegas ke pusat kawalan Nadma pada hari hari yang sama banjir berlaku di Selangor.

https://www.sinarharian.com.my/article/179905/BERITA/Nasional/Dakwaan-PM-lewat-bertindak-tidak-benar-Shahril

Leave a Reply