Hands Together
Photo by Igor Rodrigues on Unsplash

SEMUA orang ingin hidup dengan aman, makmur dan bahagia. Namun kita berbeza dari sudut pandangan terhadap apa yang membahagiakan kita. Perbezaan ini berada dalam kotak fikiran masing-masing dan tidak nyata sehingga ia diterjemahkan melalui perkataan seperti “saya gembira dan bahagia” ataupun perbuatan seperti senyum meleret-meleret.

Segelintir manusia berpendapat bahawa harta yang banyak akan membahagiakannya. Namun apabila dia memiliki harta yang banyak, dia berpendapat bahawa harta tidak dapat membahagiakannya dan terus mencari kebahagiaan pada perkara yang lain pula. Persoalannya kenapa ini terjadi?

Kajian psikologi menganjurkan aktiviti penulisan nota syukur untuk mencapai kebahagiaan dan menepis kemurungan. Nota syukur ini ibarat menghitung nikmat kurniaan Allah SWT dan mensyukurinya.

Ia selari dengan maksud firman Allah SWT: dan tatkala Tuhan kamu berkata sekiranya kamu bersyukur nescaya Aku tambah dan sebaliknya jika kamu kufur sesungguhnya azabKu amat pedih (Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sarjana Islam Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa ayat ini mengingatkan kita akan pembentukan minda syukur yang disusuli dengan ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya akan meraih lebih banyak nikmat dan keberuntungan.

Peringatan yang tegas tentang azab yang pedih menanti golongan yang kufur nikmat dan terus menerus melakukan maksiat serta kejahatan.

Nikmat dan niqmat kedua-duanya kalimah yang berlawanan maksud dan berasal daripada Bahasa Arab. Walau bagaimanapun ejaan nikmat yang dimasukkan ke dalam kamus Dewan agak berbeza daripada ejaan asal dalam Bahasa Arab “nicmah” .

Jadual transliterasi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menggantikan huruf “ain” dengan “C”. Tetapi kita telah menggunakan huruf “k” menggantikan huruf “ain” dan kalimah tersebut telah dimelayukan dan mengekalkan maksud dalam bahasa Arab.

Namun hakikat dalam bahasa Arab, setiap perubahan huruf akan memberi kesan kepada maksud sesuatu kalimah yang terbentuk. Secara ringkasnya, nikmat bermaksud apa sahaja kesenangan dan anugerah yang diperolehi dalam kehidupan manusia.

Sebaliknya niqmat bermaksud bencana, malapetaka, kesusahan dan seumpamanya. Kedua-dua keadaan tersebut bersilih ganti dalam kehidupan manusia di dunia ini.

Firman Allah SWT: dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu gagal menghitungnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Nahl: ayat 18). Ia menjentik minda agar menyedari bahawa nikmat pemberian Allah SWT ke atas manusia adalah infiniti.

Hitungan boleh bermula dengan selera makan dan bayangan orang sakit tiada selera makan. Seterusnya kedudukan hidung yang lubangnya ke bawah bukan ke atas. Boleh anda bayangkan betapa susahnya manusia jika lubang hidung berada dalam kedudukan terbalik ke atas. Pasti sukar ketika mahu mandi dan apabila hari hujan.

Penulisan nota syukur untuk menghitung nikmat yang diperoleh dalam kehidupan seharian akan membantu individu menepis kemurungan dan kesedihan atas bencana dan ketidakberuntungan yang dialami.

Malah ia boleh menghindari perasaan hasad dengki dengan nikmat yang diperoleh oleh orang lain. Individu tersebut akan fokus serta menyibukkan minda dan hati dengan nikmat yang membahagiakannya sehingga terbentuk minda yang positif. Minda yang positif mampu bersyukur dan melihat hikmah di sebalik setiap bencana.

Minda positif dan syukur akan meraikan perbezaan pendapat dengan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju sebagaimana maksud firman Allah SWT: bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku (al-Kafirun: ayat 6).

Keharmonian dalam kepelbagaian pendapat dan budaya dapat dikekalkan dengan pengaplikasian prinsip ini. Di samping itu, saling menghormati perbezaan juga penting dalam usaha menjana kemakmuran bersama.

Kesimpulannya, individu yang sentiasa menghitung nikmat akan lebih bahagia berbanding individu yang memfokuskan ketidakberuntungan yang dialami. Kesihatan mental terjamin dan menghindari kemurungan.

Jalaluddin Rumi berkata: pakai sifat syukur seperti anda memakai jubah, ia akan mengenyangkan mu dari setiap sudut kehidupan.

 

Leave a Reply