Saipolyazan (dua dari kanan) dan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir (empat dari kanan) bergambar bersama penerima zakat daripada LZS di Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor.

SHAH ALAM – Lebih 30,000 permohonan daripada mangsa banjir diterima Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak permohonan dibuka minggu lalu sehingga hari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, hanya 14,5000 permohonan yang telah diluluskan bagi mendapatkan bantuan segera RM600 daripada pihaknya.

“Lebih 17,000 permohonan belum lagi diluluskan kerana pemohon tidak memberikan dokumen lengkap kepada kami.

“Saya harap mereka dapat memberikan dokumen lengkap supaya LZS boleh segera memproses permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan zakat perniagaan LZS di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan LZS untuk membantu mangsa-mangsa banjir dengan kadar segera selepas bencana alam tersebut menyebabkan kerosakan yang besar minggu lalu.

Saipolyazan berkata, bagi mangsa banjir yang ingin memohon bantuan tersebut, mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian dengan mengemukakan laporan polis atau ketua masyarakat kawasan mereka berhubung insiden itu.

Katanya lagi, LZS akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan bantuan lain setelah pihaknya membuat tinjauan di kawasan banjir.

“Selain mangsa banjir, kami juga mengagihkan zakat kepada lebih 60,000 asnaf termasuk 13,000 asnaf sementara.

“Saya harap lebih ramai umat Islam di Selangor dapat tampil membayar zakat sebelum berakhirnya tahun ini,” ujarnya.

Dalam majlis hari ini, LZS menerima zakat perniagaan berjumlah RM6.81 juta daripada 46 buah syarikat.- BebasNews

Leave a Reply