Oleh Khaidir Ahmad
(WARTAWAN TUA)

Petang semalam saya bersama sahabat seperjuangan saya Saudara Shukri Cmk Cucumatkilau meninjau kesan kemusnahan akibat banjir lumpur dan sisa kayu balak yang berpunca dari pembalakan dan penerokaan hutan yang tidak terkawal di Bukit Tinggi, Janda Baik, Bentong, Lakum.

Lokasi pertama yang kami lawati ialah Kampung Baru Sungai Perdak di Telemong.

Tidak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya arus deras banjir lumpur bersama sisa kayu balak melanda perkampungan ini pada 21 Disember 2021 selepas hujan lebat selama dua hari melanda seluruh negara termasuk tanah tinggi di Janda Baik dan Genting Highlands yang menjadi kawasan tadahan air Sungai Benus dan beberapa anak sungai lain yang kemudian mengalir ke Sungai Telemong hingga ke Sungai Semantan di Daerah Bentong dan Temerloh, Pahang.

Yang tinggal hanya timbunan sisa kayu balak dan lumpur tebal dari hulu Sungai Perdak dan Hutan Simpan Sungai Gapoi yang menjadi sasaran penerokaan ladang Musang King haram.

Kemudian kami ke Jambatan Telemong di persimpangan jalan masuk ke lot dusun dan perumahan mewah The Valley.

Di sini juga keadaannya sangat dahsyat dengan timbunan sisa kayu balak.

Kami kemudian ke Hutan Simpan Lakum di Lanchang yang sedang digondolkan dengan rakusnya atas nama penubuhan ladang hutan tetapi apa yang bakal ditanam masih menjadi tanda tanya.

Yang pasti, penggondolan Hutan Simpan Lakum dan hutan simpan lain sekitar DUN Lanchang, turut menambah dahsyatnya banjir yang melanda perumahan rakyat di Lembangan Sungai Semantan hingga ke Temerloh kali ini.

Pekan Lanchang, Taman Mentakab Indah, Batu Kapur, Desa Bakti dan Tanjung Kerayong antara kawasan ditenggelami banjir luarbiasa yang lebih teruk dari tahun 1971.

Pemimpin2 politik serta tauke2 balak, lombong dan ladang terus kaya-raya hasil menjarah alam manakala rakyat terus menderita kesan kerakusan mereka.

Sampai bila keadaan ini akan terus berlarutan semakin hari semakin parah melanda Tanah Melayu ini?

Melayu yang menjadi kaum majoriti ada jawapannya… tepuk dada, tanyalah selera! –BebasNews

Leave a Reply