SHAH ALAM-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada 32 aktivis politik di negeri ini berkuat kuasa 31 Disember ini.

Perkara itu diputuskan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak terutama di masjid dan surau.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, Sultan Sharafuddin tidak perkenan tauliah mengajar itu diberikan kepada mana-mana aktivis politik bagi menjaga kesucian Islam di negeri ini.

Menurutnya, baginda bimbang ia boleh disalahguna untuk kepentingan parti politik yang akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam.

“Sultan Sharafuddin menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini.

“Selaras dengan titah itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah yang sudah dikeluarkan kepada pemegang tauliah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan Surat Penarikan Balik Tauliah Mengajar Agama Islam kepada 32 pemegang tauliah yang aktif atau berjawatan dalam parti politik pada 1 Disember lalu.

Kata Abdul Aziz, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam bagaimanapun masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam.
“Namun, dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

“Pengecualian itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor,” ujarnya.

Jelasnya lagi, mengajar agama Islam tanpa tauliah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mereka yang bertindak mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam merupakan kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply