BANJIR, bencana, malapetaka yang berlaku adalah ingatan Allah kepada umatnya. Ia adalah pengajaran untuk kita supaya beringat dan bersiapsiaga untuk menghadapinya.

Sudah sampai masanya negara ini — yang bukan sebuah negara bencana — juga bersiap sedia. Keadaan cuaca yang tidak menentu akibat fenomena perubahan iklim harus diambil iktibar.

Rakyat kita, generasi sekarang dan akan datang wajib dibekalkan dengan pengetahuan kesiapsiagaan ini.

Antara caranya ialah kembalikan semula PLKN — Program Latihan Khidmat Negara yang dibatalkan oleh kerajaan PH terdahulu.

Rata-rata rakyat sebenarnya kebingungan apabila ia dibatalkan. Mengapa program yang mampu menyatukan anak-anak pelbagai kaum ini dibatalkan?

Saya melihat ramai juga ibu bapa yang amat teruja mahu melepaskan anak-anak mereka mengikuti program itu.

Rakyat melihat jauh kepada kesan positif program itu, malangnya kerajaan yang membatalkannya, bimbang kerajaannya “akan bankrap” jika ia diteruskan. Ironinya, sistem percukaian GST pun dimatikan!

Idea kepada pembentukan program itu dicadangkan oleh bekas pemimpin DAP iaitu Lee Lam Thye (Tan Sri), seorang jurutera sosial di negara ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri (Datuk Seri) sendiri semasa menjadi Menteri Pertahanan dalam sidang Parlimen November 2020 berkata, Mindef bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri pada masa itu berkata, pelaksanaan PLKN sebelum ini memberi kesan yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

Kementerian Pertahanan akan mencadangkan supaya PLKN dilaksana semula. Ini juga selari dengan perintah menteri yang akan meletakkan Akta PLKN di bawah MINDEF. Kita akan sediakan memorandum Jemaah Menteri untuk diluluskan Kabinet,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi MINDEF di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu mengapa program itu dihentikan dan mencadangkan supaya PLKN diteruskan semula.

Mengulas lanjut dalam sesi penggulungan, Ismail Sabri berkata, jurulatih PLKN yang ditamatkan kontrak ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh setahun mulai 2019 hingga 2020.

Hasil daripada pengumuman itu, sebahagian rakyat Malaysia pula mencadangkan agar PLKN dijenamakan semula dan mengambil contoh seperti Singapura dan Korea Selatan.

Kata mereka, jadikan ia semacam Khidmat Negara (National Service-NS) yang wajib ditamatkan dan tukar modulnya seperti NS Singapura.

“Bukan nak cakap NS Singapore itu bagus, tapi memang bagus pun. Semua rakyat dia yang complete NS bersedia anytime jika gov panggil untuk berkhidmat ikut sektor yang dorang trained,” antara komen daripada golongan muda.

Antara komen lain pula berkata, pelaksanaan PLKN sebelum ini tidak mencapai sasaran, tetapi lebih kepada percutian musim panas.

“Bukan nak menjatuhkan or condemn, tapi korang buat ni macam summer camp dah aku tengok. Apa sumbangan yang budak budak ni dapat bagi pada negara kalau dikerah? Cukup tough ke tidak. I definitely will send my son kalau buat macam NS.”

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pada Julai lalu, jika PLKN mahu dihidupkan semula, kerajaan memerlukan program baharu yang mengetengahkan aspek kepelbagaian bangsa bagi mengatasi isu perpaduan di negara ini.

Tambahnya lagi, modul dan pengisian program itu juga perlu menjurus kepada kenegaraan, jati diri dan kerja kesukarelawanan. Sambil menambah bahawa konsepnya masih sama dengan mengadaptasikan disiplin ketenteraan, seperti dilaksanakan PLKN.

“Saya juga masih berpendapat kalau nak terapkan disiplin, kaedah terbaik masih disiplin ketenteraan. Singapura juga mengambil 100 peratus disiplin tentera dalam pelaksanaan program khidmat negaranya,” katanya kepada Berita Harian.

Bagaimanapun, dia memberi cadangan agar jumlah mereka yang menyertai program baharu ini dikecilkan pada peringkat awal. Manakala tempoh program juga boleh dikurangkan bagi menjimatkan perbelanjaan.

Untuk rekod, PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh kerajaan Barisan Nasional bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia. Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN).

Sebagai ingatan, jika dihidupkan kembali program ini, jangan lagi buat perangai apabila terlalu banyak “orang berpengaruh” yang melobi itu dan ini untuk mendapatkan tender uniform, pusat latihan dan sebagainya.

Terbaik, letakkan di bawah Mindef dan dilaksanakan secara militari. Harapan kita, apabila bencana berlaku maka aset Khidmat Negara ini boleh dikerahkan secara lebih bersepadu.

Pastikan dalam akta selepas ini, tiada boleh lagi mana-mana pihak atau kerajaan ala-PH mahu memansuhkannya pula. Jadikan ia program kekal negara.

Kini, Ismail Sabri adalah perdana menteri. Kata penutus di tangan anda… —  BebasNews

Leave a Reply