Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti suka dapat tinggal bersama-sama. Namun ini tidak kepada penyanyi Renggo vokalis kumpulan Arrow yang lebih suka tinggal berjauhan dengan isterinya, Hairoliza Hanafi, 44, yang dinikahinya 22 September lalu.

Renggo atau nama sebenarnya, Mohd. Zain Ramli, 52, masih menetap di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh,Kelantan bersama lima orang anaknya. Manakala isterinya pula yang terikat dengan pekerjaannya di Perbadanan Pembangunan Perumahan pula tinggal di Samariang, Kuching, Sarawak.

“Kami bergilir-gilir berjumpa. Kalau bulan ini, isteri saya datang Kelantan, bulan depan saya pula terbang ke Sarawak dan kami berjumpa pun sebulan sekali. Kalau tak ada kerja, saya akan tinggal disana selama dua minggu. Kalau ada kerja saya duduk seminggu saja. Begitu juga dengan isteri saya.

“Sebagai seorang penyanyi, paling bagus kami jarang bersama. Suami ni macam atlet, lagi dua minggu nak ada persembahan pentas, kita tidak boleh `bersama’ isteri. Bila isteri jauh…itu yang terbaik buat saya. Kalau dah habis buat persembahan tak ada masalah untuk berjumpa.

“Syukur Alhamdulillah, saya masih banyak dapat tawaran menyanyi…bukan show besar-besar, yang kecik-kecik saja. Tapi adalah juga, daripada tak ada langsung. Sekarang ini pun, saya jarang ada kat kedai. Saya baru balik dari Pulau Pinang, Sungai Petani dan Seri Iskandar, Perak mengadakan show,’’ kata Renggo yang lepas kahwin rezekinya semakin murah dan perjalanan hidupnya berjalan dengan teratur.


Kini kedai roti canainya diusahakan anak-anaknya. Anaknya, Nur Islam, 19, membantu menebar roti canai, Nur Farhan,14, pula membuat air dan memasak kuah roti canai. Manakala adik mereka, Nur Syaheed, 12, pula mengambil order daripada pelanggan.

Renggo menambah,“Nak ikut isteri saya nak berhenti kerja untuk menjaga saya. Saya yang tak bagi. Saya bukan budak-budak nak kena jaga, nak kena timang-timang atau nak kena dodoi-dodoi.

“Saya happy dengan perkahwinan ini kerana isteri saya berfikiran matang. Dia tidak macam budak-budak nak mengongkong atau setiap saat nak buat voice call. Kalau macam itu punya perangai, lelaki akan rasa terkongkong. Lelaki ini tidak suka dikongkong, kalau dikongkong, lagilah mereka akan buat perangai

“Sebenarnya, ada juga lelaki yang suka dikongkong… tapi tidak saya. Saya tak suka isteri yang banyak bertanya pergi mana?, bergambar dengan perempuan mana tu? Bila diasak dengan banyaknya pertanyaan, kita akan menipu tapi sebaliknya jika tidak ditanya dengan sendirinya saya akan bercakap jujur.

“Pada saya tak ada istilah curang dalam sesebuah hubungan kerana lelaki boleh kahwin empat, jika mampu. Tapi terpulang pada kemampuannya. Macam saya, saya anggap diri tidak mampu daripada segi masa dan layanan. Cukuplah seorang. Seorang pun saya tak mampu nak layan. Inikan pula nak kahwin empat …mengamuk semua `isteri-isteri’ saya nanti,” katanya sambil ketawa.

Kata Renggo lagi, Hingga kini masih ramai lagi perempuan yang mengajak dia kahwin.

“Saya anggap ianya sebagai gurauan saja. Kalau betul pun memang saya tak nak. Buat serabut kepala saja. Saya jenis tak suka serabut. Kalau bini banyak serabut saya nanti.”

Bercerita mengenai penyakit jantung bengkak dan berair yang dihidapinya sejak awal April lalu, menurut Renggo,“Saya hanya berjumpa doktor bila mengambil ubat sahaja. Kini saya amalkan minum susu kambing yang diberikan seorang pengusaha. Sejak seminggu minum susu kambing ini, saya rasa banyak perubahannya. Kalau nak tidur, saya tak perlukan tiga biji bantal lagi…saya dah boleh bertukang sikit-sikit. Kalau tidak dulu baru ketuk paku sikit dah rasa nak `mintak nyawa’.

“Jalan sikit pun penat. Itu belum lagi masa menyanyi, rasa nak `mintak nyawa’. Saya baru saja amalkan susu kambing ini. Susu kambing yang saya ambil ini dalam bentuk serbuk dan perlu dibancuh dua kali sehari untuk diminum pada waktu pagi dan petang. Kalau okay nanti mungkin saya akan menjadi duta untuk produk susu kambing ini.”

TIDAK BERMINAT BUAT LAGU BARU

Bercakap mengenai lagu baru, Renggo bekas artis naungan FMC yang pernah menghasilkan 13 buah album ini menambah dia tidak berminat untuk tampil dengan album baru.

“Saya tak akan buat album baru lagi sebab sudah cukup trademark saya. Kalau pergi mana-mana buat show pun, peminat tetap minta lagu-lagu lama. Rasanya buang masa sahaja buat lagu-lagu baru. Mereka tetap minta lagu antaranya Fantasi Mimpi, Ku Doa Agar Kau Bahagia, Terimalah Sayang Cintaku Seadanya, Haruskah Kita Berpisah, Sendu Di Hatimu Rindu Di Jiwaku, Niat Hati Tak Nak Berpisah dan Aku Tak Marah.

“ Malah ada juga nak belajar vokal dengan saya. Terus terang saya katakan saya bukan guru vokal. Kalau betul nak belajar carilah guru vokal yang sebenar-benarnya. Saya hanya boleh menyanyi dengan baik dan tidak semestinya, saya boleh mengajar. Tapi mereka tetap nak belajar juga. Bagi saya kalau setakat nak berkongsi ilmu, tidak ada masalah.”- BebasNews

Leave a Reply