PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang dunia kini berdepan dengan bahaya yang dibawa oleh gelombang ‘tsunami berkembar’ yang melonjakkan kes Covid-19 akibat penularan varian Delta dan Omicron.

Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan demikian ketika kes baharu Covid di Amerika Syarikat dan juga negara-negara di Eropah mencapai paras rekod.

Dr Tedros memberi amaran bahawa ancaman kedua-dua varian itu telah menyebabkan peningkatan tinggi kes Covid-19 yang boleh memberikan kesan buruk kepada sektor kesihatan sehingga boleh menjadi lumpuh.

Perancis mencatat angka harian tertinggi di Eropah buat hari kedua berturut-turut iaitu sebanyak 208,000 kes manakala AS pula mencatatkan purata kes sehari sebanyak 265,427 kes sepanjang minggu lalu, lapor BBC.

Denmark, Portugal, UK dan juga Australia juga mencatatkan angka yang melepasi rekod tertingginya.

Poland pula mencatatkan angka tertinggi sebanyak 794 kes ketika negara itu berdepan dengan gelombang keempat pandemik itu.

Meskipun kajian menunjukkan Omicron hanya memberikan kesan yang sederhana berbanding dengan Delta tetapi ia lebih mudah berjangkit.

Menurut laporan Reuters, pada masa ini, sejumlah 900,000 kes baharu dilaporkan di seluruh dunia setiap hari.

Beberapa buah negara kaya telah memulakan usaha menggalakkan pengambilan suntikan ketiga.- BebasNews

Leave a Reply