Bertuah penyanyi baru, Beby Acha kerana lagu-lagu nyanyiannya sentiasa `meletup’ dan menjadi siulan. Daripada lagu Jaga-Jaga (berduet dengan Azarra Band), Anje Baby dan terbaru Jerung Merah yang disiarkan dalam saluran YouTube MVM Music dalam masa dua bulan telah mendapat tontonan lebih 1.8 juta orang.

Pelbagai genre yang ditampilkan dalam lagunya secara tidak langsung terus mempopularkan Beby Acha atau nama sebenarnya, Nur Aishah Md. Shari,30. Beby Acha merupakan adik kepada arwah Achik Spin dan kakak kepada Tajul Arif kini bakal tampil dengan genre dikir selepas genre dangdut rock.

Kali ini bos syarikat rakamannya MVM Music memilih Roy Kapilla sebagai pasangan duet terbarunya. Lagu Guano Demo dan Joget Dikir Menghibur Hati ini bakal menampilkan genre dikir.

“Sebenarnya lagu ini dah lama siap namun bila kami nak mulakan shoting muzik video Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula dilaksanakan. Itu sebabnya habis saja PKP kami terus segerakan penggambaran untuk kedua-dua lagu ini di Kelantan selama tiga hari.

“Ketika di studio Abang Lan Laga yang bertindak selaku produser turut menjaga vokal kami berdua. Lagu Guano Demo ada menampilkan loghat Kelantan dan SIam. Saya hanya menyanyi dengan cara biasa dan bukannya dalam loghat Kelantan dan Siam. Saya digambarkan gadis dari Kuala Lumpur yang berjumpa Roy di Kelantan.

“Cuma bila kami menyanyi sekali, barulah saya menyanyi dalam loghat Thailand dan Kelantan. Saya suka kedua-dua lagu ini kerana rentak dikirnya lain daripada yang lain,” kata Beby Acha lagi.

Selepas ini, Beby Acha akan sibuk memikirkan konsep muzik video lagu baru ciptaan Asfan yang bakal ditampilkan tidak lama lagi. Dua buah lagu sudah disiapkan dan Beby Acha hanya akan tampil dengan sebuah lagu terlebih dahulu yang dirahsiakan tajuknya buat masa ini.

Menurut Beby Acha anak kesembilan daripada 10 beradik ini, dia tidak pernah terfikir untuk memasuki industri ini sebab dia takut.

“Sebelum ini saya tak percaya yang saya mampu dan akan berjaya dalam bidang nyanyian walaupun sebelum ini sudah berkali-kali arwah Achik suruh saya jadi penyanyi. Arwah sering menyuruh saya masuk pertandingan sana dan sini. Waktu itu memang saya takut dan terlalu takut. Selepas arwah Achik meninggal dunia, barulah datang kekuatan dalam diri saya untuk mencuba jadi penyanyi.

“Begitu juga dengan, ibu dan adik -beradik saya yang lain, mereka tak putus-putus menyuruh saya menyertai pelbagai program nyanyian di TV. Mereka selalu pujuk dan sering bertanya mengapa saya tak nak mencuba? Keluarga saya tidak pernah berputus asa memberi semangat.

“Hinggalah bila hati saya terbuka nak mencuba. Tiba-tiba datang pula tawaran daripada MVM Music pada tahun 2019. Dalam adik- beradik, saya yang paling lambat bermula. Mungkin saya ini jenis kurang bergaul dan lebih suka menyendiri membuatkan keyakinan itu lambat datang.”

BEBY ACHA SUKA LELAKI MANIS

Ditanya mengenai kekasih hati, Beby Acha hanya ketawa sambil menjelaskan,“Karier dulu… cari duit dulu. Selagi karier boleh jalan nak fokus dulu. Ibu saya okay saja walaupun usia saya semakin meningkat kerana ibu tahu anaknya bekerja.”

Beby Acha menambah,“Dari segi fizikal, saya suka lelaki yang nampak manis dan kaya dengan senyuman. Saya tak suka lelaki yang putih-putih. Bukan tak suka…..kalau lelaki yang putih dan jambu ni pandang sekali je dah cukup. Tetapi lelaki yang manis ini pandang tak jemu dan buat kita asyik nak pandang dan pandang lagi.

“Selain itu, saya suka lelaki yang kelakar…lelaki yang boleh buat saya happy. Kadang-kadang kita ada banyak masalah, fikir masalah kerja. Itu sebabnya saya nak orang yang boleh hiburkan saya dan bukannya datangkan masalah pula. Lelaki itu juga, mestilah bertanggungjawab, penyayang, berkarier dan menghormati orang tua. – BebasNews

Leave a Reply