Ahmad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-24 semalam memandang berat isu campur tangan stesen televisyen (TV) dalam pemilihan pengarah selain mahu menghidupkan semula program Padu Citra .

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata Majlis Kerja persatuan itu akan merangka resolusi agar kedua-dua isu itu dapat dibawa kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik.

Beliau berkata, FDAM yang mempunyai lebih 1,500 ahli akan memastikan hubungan mesra antara persatuan itu dengan stesen dan penerbit sentiasa dipupuk demi kemajuan industri kreatif negara.

Katanya: “Isu campur tangan stesen ke atas penerbitan drama bersiri dan cereka TV bukan isu baharu tetapi telah berlarutan sejak dua dekad lalu. Namun tiada siapa berani menentang kerana bimbang akan hilang peluang mendapatkan slot program.

“Sesetengah stesen sudah berani melebihi kuasa pengarah sehingga penerbit pun tidak mampu menentang. Apa yang dilakukan oleh sesetengah stesen sudah melampau. Mereka sanggup memaksa penerbit menukar pengarah jika kehendak stesen seperti pemilihan pelakon utama tidak dipersetujui oleh pengarah,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena AGM itu.

Menurut Ahmad, stesen terbabit bertindak demikian kerana terlalu menurut kehendak pengiklan dan penaja yang hanya mementingkan jualan tanpa memikirkan soal mutu sesuatu penerbitan.

Mengenai Padu Citra yang ditamatkan pada 1 Februari lalu sebelum digantikan dengan Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCap), Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dalam masa terdekat supaya Padu Citra dihidupkan balik bagi memastikan penerbitan flem dan program TV dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Program Padu Citra yang ditunjangi FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia ditamatkan oleh pengurusan terdahulu FINAS tanpa sebarang perbincangan dengan kami.

“Kami berharap FINAS akan menghidupkan kembali program itu bagi memastikan penerbitan filem dan program TV diserahkan kepada karyawan yang berkelayakan dan berkemahiran daripada tiga persatuan utama yang menaungi pengarah, kru dan pelakon,” kata beliau – BebasNews

Leave a Reply