PERANAN dan institusi diraja Melayu sentiasa cuba dirobek-robek oleh pihak-pihak tertentu.

Cubaan-cubaan ini bukan baharu, tetapi berlaku sejak ratusan tahun lalu termasuk di zaman penjajahan selama hampir 500 tahun.

Perlu diingat institusi diraja tanah Melayu ini adalah sebuah institusi yang cukup unik di dunia, yang perlu dipertahankan. Tanpa raja-raja Melayu, maka tiadalah Islam di tanah Melayu ini. Kita mungkin menjadi seperti apa yang terjadi di Filipina, apabila kesultanan di sana gagal menyekat misi penjajahan — gold, glory, gospel Sepanyol.

Sejarah Alam Melayu telah merakamkan besarnya peranan dan sumbangan Raja-Raja Melayu dalam perkembangan Islam. Kesan pemerintahan dan pengislaman Raja-Raja Melayu menjadi titik tolak kepada pengembangan Islam di Alam Melayu. Islam berkembang dengan gemilangnya di Tanah Melayu dengan menjadi cara hidup yang mencorak sistem politik dan kebudayaan masyarakat pada masa itu. Kewibawaan Raja-Raja Melayu berkaitan Islam telah membawa kegemilangan kepada Alam Melayu dan menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan yang masyhur. Undang-undang Islam juga telah digunakan oleh kesultanan Melayu Lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 dan banyak lagi. (Rujuk: Kepentingan Mendaulatkan Institusi Beraja Di Malaysia: MAIS 2021)

“Peranan dan sumbangan Institusi Raja semasa kedatangan kuasa Barat di Tanah Melayu juga amat besar antaranya berdiplomasi dengan pihak British sehingga Institusi Raja dapat dikekalkan dan agama Islam berjaya dipertahankan walaupun beberapa negara beraja lain telah hilang sistem beraja bahkan agama yang berada di bawah naungan Raja juga telah hilang dari ruang perundangan. Contohnya di India, bukan sahaja sistem beraja yang hilang tetapi agama yang begitu berpengaruh juga telah dikeluarkan daripada perundangan sehingga Perlembagaan India yang merdeka mengisytiharkan negara tersebut sebagai sebuah negara sekular. Sedangkan agama Hindu begitu sebati dengan negara India sebelum penjajahan Barat sehingga sekarang.

“Selain itu, Raja-Raja Melayu juga telah menjadi benteng penghalang daripada memudahkan imperialis British melakukan penjajahan mutlak. Di samping berperanan menjadi benteng yang memelihara adat dan undang-undang Islam yang digunapakai ketika itu daripada diubah dan dibuang sepenuhnya oleh penjajah British. British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu. British terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan dan berjaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.” (ibid)

Di zaman moden sekarang, kita tidak pasti siapakah di belakang pihak-pihak yang cuba meremeh-remehkan peranan institusi itu. Institusi diraja Melayu cuba dicari kesalahan demi kesalahan, bagi menimbulkan reaksi yang tidak senang di kalangan rakyat jelata.

Jika golongan Istana terlibat dalam perniagaan, maka ada pula yang mengatakan mereka cuba mengaut peluang daripada rakyat.

Maka itu, apakah pendapatan yang mereka ada? Bukan mudah untuk menyelenggara institusi itu, terutamanya jika negeri yang dinaungi raja atau sultan itu hanya sebuah negeri kecil dan tidak mewah.

Mungkin terkecuali bagi kesultanan Johor, umpamanya, institusi dirajanya ditampung oleh bidang perniagaannya yang besar, maka itu tidak menjadi masalah baginya untuk menyenggara dan menyelenggara hal ehwal keistanaannya.

Mungkin juga tidak ramai yang bertanya adakah besar imbuhan yang diperuntukkan oleh sesebuah negeri kepada raja-rajanya yang berdaulat?

Bagaimana untuk menyelenggara istana-istana dan cara hidup anakanda-anakanda serta kaum kerabat yang layak menerima imbuhan?

Atas sebab itu, hasil mahsyul sumber negeri digunakan sebagai salah satu punca pendapatan yang boleh diperoleh oleh institusi itu. Dan sudah pasti juga prosesnya harus melalui pihak eksekutif negeri berkenaan.

Mungkin ramai yang salah faham mengenai hal itu, ekoran banjir besar melanda negara, ada pihak yang mendedahkan kononnya ‘golongan kayangan’ raja-rajalah yang menebang balak (secara sewenang-wenangnya) sehingga mengakibatkan malapetaka alam itu.

Mengapa tidak ditujukan kepada banyak lagi pihak selain Istana?

Ada juga yang mempertikaikan penggunaan tanah untuk perbandaran oleh pihak Istana, yang kemudiannya menjadi antara punca bencana alam yang besar.

Bagi saya mudah. Perkara ini harus dijawab dengan jelas oleh pihak eksekutif negeri. Jangan dibiarkan tohmahan ini mencalarbalarkan institusi diraja Melayu kita.

Walaupun kita tidak pasti selama mana institusi ini akan kekal (kerana sudah ada pihak yang terdorong kepada konsep republikanisme), maka selagi ianya masih raja bernaung, selagi itulah ia harus dipertahankan.

Namun begitu sekiranya benar tohmahan-tohmahan itu, institusi Istana harus kembali ke pangkuan jalan untuk bersama-sama rakyat merongkai permasalahan berkenaan.

Ingatlah zaman fuedal yang lalu sudah diambil alih dengan zaman digital yang terlalu transparent dan tidak boleh disembunyikan lagi.

Walaupun kehormatan ke atas institusi itu dipandang amat mulia, namun begitu ia tidak boleh memandang enteng (take for granted) kepada peranan institusi kerakyatan itu sendiri.

Bagi menjamin kelangsungan tradisi Institusi Raja, sudah tentu perubahan perlu berlaku dalam Institusi Raja. Ini akan menjadikan kedudukan institusi tersebut selaras dengan tuntutan masa. Sikap tekun memajukan diri, berkongsi kekayaan dan membuat penegasan dalam beberapa perkara adakalanya sangat diperlukan. (op. Cit.)

Walaupun kedudukan Institusi Raja dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara agak menyerlah, kita tidak boleh mengharapkan apa yang terpahat dalam undang-undang itu tidak terhakis. Ini kerana apa yang disebut mengenai Perlembagaan ialah: ia adalah undang-undang organik yang boleh diubah serta bergantung dan berpunca kepada tatacara politik. Selain daripada itu, sistem monarki dan berperlembagaan tidak patut dijadikan alasan menyekat sumbangan Raja kepada negara. Melonjakkan kredibiliti sebagai Raja; mendekatkan diri dengan masalah rakyat serta meningkat taraf hidup rakyat adalah juga boleh ditakrifkan sebagai maksud tersirat dalam Raja Berperlembagaan.

Raja Berperlembagaan bukan hanya merujuk kepada Raja yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri semata-mata hatta dalam hal yang begitu jelas bermotifkan politik. Raja Berperlembagaan harus bijaksana memastikan konsep ‘constitutionlism’ terutama dalam soal penyalahgunaan kuasa dilaksana sepenuhnya. (ibid.)

Saya tidak pasti adakah masih relevan pepatah “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” kerana ia juga terkait dengan pepatah:

“Pemimpin adil pemimpin disokong, pemimpin korup pemimpin ditolak…”

Selamat Tahun Baharu 2022. Semoga negara kita kembali aman, maju dan makmur.

— BebasNews

Leave a Reply