Perdana Menteri meninjau misi Bantuan Keluarga Malaysia kepada mangsa-mangsa banjir di Temerloh. Foto FB Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan berbincang untuk mengadakan perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu akan bermesyuarat segera bagi melihat penyelesaian menyeluruh tuntas dan menyeluruh berkaitan musibah tersebut di seluruh negara selepas pasca banjir.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar setiap kali banjir melanda negara.

“Untuk banjir kali ini, kerajaan telah berbelanja hingga RM1.4 bilion dan dijangka terus meningkat kerana ia belum meliputi peruntukan membaik pulih kerosakan infrastruktur seperti jalan raya.

“Selain itu, kita akan melihat segala aspek termasuk membabitkan kedalaman sungai, tebatan banjir, kawasan simpanan air, terowong pintar dan juga kawasan penempatan banjir,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Misi Bantuan Keluarga Malaysia Kepada Mangsa Banjir Parlimen Temerloh di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Lanchang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu mengulas pembinaan tebatan banjir, Ismail Sabri berkata, projek itu melibatkan kos yang tinggi.

“Oleh sebab itu, kerajaan akan melihat kos sebenar bagi membolehkan ia dilaksanakan di seluruh negara.

“Kalau tidak boleh dibuat serentak, kita fokus daerah-daerah atau kawasan yang berpotensi tinggi dilanda banjir. Kerajaan akan mengumpul maklumat terperinci supaya dapat menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Mengulas tentang cadangan mewujudkan kawasan simpanan air bagi kegunaan sewaktu musim kemarau, beliau berkata, pihaknya akan melihat perkara berkenaan.

“Perkara ini sebenarnya telah lama diputuskan malah sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah. Kita mengikut model di Belanda yang mana mereka ada tempat takungan air sewaktu banjir yang boleh diguna ketika kemarau.

“Begitu juga terowong pintas, di Kuala Lumpur ia cukup berkesan, mungkin kita melihat kawasan bandar dan pesat seperti di Shah Alam, Selangor kemungkinan diwujudkan benda sama,” katanya.

Katanya, begitu juga dengan aspek penempatan banjir yang mana dahulu ketika tahun 1971, mangsa banjir dipindahkan di kawasan tinggi.

“Di Pahang sebagai contoh, kita panggil rumah banjir, kita buat satu perkampungan baharu untuk mangsa banjir.

“Perkara ini boleh dibincangkan dengan kerajaan negeri supaya mengenal pasti tanah atau kawasan baharu untuk kita membina rumah baharu,” katanya.

BebasNews

Leave a Reply