Mohammed Rafi (kiri) dan Kishore Kumar ketika rakaman lagu untuk filem Amar Shakti keluaran 1978. Kredit The Indian Express.

SIAPA lebih hebat, Mohammed Rafi atau Kishore Kumar? Bagi peminat filem Hindi, terutama era tahun 60-an dan 70-an, dua nama ini sinonim di jiwa mereka. Kedua-duanya merupakan penyanyi latar filem Hindi terkenal hebat.

Walau pun ada penyanyi lain seperti Mukesh, Mahendra Kapoor, Talat Mahmud atau Amit Kumar, Rafi dan Kishore tetap menduduki tempat teratas. Mereka sentiasa menjadi pilihan pengarah muzik filem terkenal seperti Shankar Jaikishan, Laxmikant Pyarelal, Kalyanji Anandji, SB Burman atau RD Burman.

Pasangan duet utama mereka dalam filem pula ialah Lata Mengeshkar, diikuti Asha Bhosle yang juga adik Lata. Ada juga penyanyi latar lain yang popular seperti Sharda dan Suman Kalyanpur tetapi tidak dapat menyamai kehebatan Lata dan Asha.

Rafi dianggar menyanyikan 5,000 lagu sepanjang 36 tahun aktif sehingga meninggal dunia pada 1980. Kishore pula dianggar menyanyikan hampir 3,000 buah lagu dalam kariernya sehingga meninggal pada 1987.

Suara mereka digunakan oleh bintang-bintang popular termasuk Shammi Kapoor, Shashi Kapoor, Amitab Bachchan, Rajesh Khanna, Jeetendra, Dharmendra, Bisjawit, Joy Mukerjee, Manoj Kumar, Dev Anand, Rajendra Kumar dan lain-lain.

 

Shashi Kapoor dan Asha Parekh dalam ‘Pyar Ka Mausam’ keluaran 1969. Dalam filem ini Mohammed Rafi dan Kishore Kumar masing-masing menyanyikan dua versi lagu utama ‘Tum Bin Jaoon Kahan’.
Kredit Reddit.

Suara Rafi yang lembut nyaring kerap menjadi pilihan utama dan sesuai digunakan oleh kebanyakan bintang filem. Difahamkan, sepanjang karier Shammi Kapoor sebagai pelakon, dia tidak pernah dan tidak mahu menggunakan suara penyanyi latar lain selain Rafi.

Suara Kishore Kumar lebih garau dan memang sesuai digunakan oleh bintang seperti Rajesh Khanna atau Dev Anand. Seperti juga suara Mukesh sesuai untuk Raaj Kapoor.

 

Mohammed Rafi.
Kredit Times of India

Rafi dilahirkan pada 24 Disember 1924 di Kotla Sultan Singh, Punjab, India dan meninggal pada 31 Julai 1980 di Mumbai. Kishore yang lahir pada 4 Ogos 1929 di Khandwa, India, meninggal pada 13 Oktober 1987 di Mumbai, tujuh tahun selepas kematian Rafi.

Jika Rafi masih hidup, Allahyarham berusia 97 tahun pada 24 Disember 2021 sementara Kishore pula berusia 92 tahun pada 4 Ogos 2021 lalu.

Kerana hebatnya Rafi dan Kishore, ada yang beranggapan mereka bukan sahaja pesaing tetapi ‘musuh’ kerana masing-masing mahu nampak lebih hebat. Tetapi anggapan ini tidak benar.

Kedua-dua mereka adalah kawan baik dan hubungan mereka erat. Ini disahkan sendiri oleh anak Rafi, Shahid Rafi dan anak Kishore, Amit Kumar, yang juga seorang penyanyi. Mereka menyifatkan andaian bapa mereka bermusuh sebagai tidak berasas.

Rafi dan Kishore sangat menghormati antara satu sama lain. Jika ada kelapangan mereka bertemu dan berbual sambil santai. Kishore menghormati Rafi yang lebih dahulu menceburi bidang nyanyian.

Kishore Kumar.
Kredit HD Wallpaper

Kishore datang kemudian. Pada peringkat awal dia terlibat sebagai pelakon. Tetapi kerjayanya sebagai pelakon kurang menyerlah. Namun bakatnya sebagai penyanyi bersinar dan diberi peluang menyanyi lagu latar filem. Dari situ dia tidak menoleh ke belakang.

Memetik The Indian Express, Shahid memberitahu, dia tidak pernah mendengar Allahyarham bapanya menyatakan sesuatu yang buruk mengenai Kishore Kumar. Malah Kishore sangat menghormati bapanya.

Menurut Shahid, jika selepas sesi rakaman lagu dengan Kishore, bapanya pulang ke rumah dengan gembira. Apabila ditanya oleh ahli keluarga kenapa terlalu gembira, dia menjawab kerana menyanyi bersama Kishore.

Walau pun dalam sesebuah filem biasanya Rafi atau Kishore yang menjadi penyanyi latar utama, kedua-duanya juga menyumbang suara bersama dalam banyak filem. Kali pertama melalui Bagham Bhag keluaran tahun 1956.

Selain itu filem Yaadon Ki Barat (Dharmendara, Vijay Arora dan Zeenat Aman); Parvarish (Amitab Bachchan, Vinod Khanna dan Shabana Azmi); Andaz (Shammi Kapoor dan Hema Malini); Aradhana (Rajesh Khanna dan Sharmila Tagore); Pyar Ka Mausam (Shashi Kapoor dan Ashah Parekh); Aan Milo Sajna (Rajesh Khanna dan Asha Parekh) serta banyak lagi.

Shahid memberitahu, suatu ketika sewaktu bapanya berada di London, Kishore datang ke sana untuk satu konsert. Rafi menjemput Kishore makan malam. Kishore datang walau sibuk dengan urusan konsert. Mereka makan, berbual dan berjenaka sepanjang pertemuan, membuktikan betapa akrabnya hubungan mereka.

Anak Kishore, Amit Kumar mengesahkan bapanya mempunyai hubungan akrab dengan Rafi. Dakwaan yang mengatakan mereka bermusuh hanyalah cerita rekaan dan sama sekali tidak benar.

Katanya, Rafi adalah senior bapanya dalam dunia nyanyian. Kedua mereka mempunyai hubungan sangat baik dan saling hormat menghormati.

Kishore Kumar ialah adik kepada aktor veteran popular Ashok Kumar. Kishore berkahwin empat kali. Pertama dengan aktres dan penyanyi Bengali, Ruma Huga Thakurta (1950-1958); aktres Madhubala (1960-1969), aktres Yogeeta Bali (1876-1978) dan aktres Leena Chandavarkar, dari 1980 hingga Kishore meninggal pada 1987.

Walau pun Rafi dan Kishore sudah tiada, ribuan lagu peninggalan mereka tetap segar, kekal abadi tidak jemu didengar. Lagu-lagu, atau filem-filem yang menampilkan lagu-lagu dendangan mereka, boleh diakses melalui youtube. Benarlah, manusia harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

– BebasNews

Leave a Reply