MENUKAR warna badan kereta sekelip mata.

Adakah ia khayalan atau realiti.

Bagaimanapun dengan teknologi E-Ink ia bukan lagi cerita dogeng.

Menerusi teknologi itu warna badan kereta boleh berubah sekelip mata.

Malah ia sudah dibuktikan oleh pengeluar kereta mewah, BMW pada acara CES 2022 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Teknologi tersebut didemonstrasi pada kenderaan SUV konsep BMW iX Flow yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

Apa ‘sihir’ yang BMW pakai untuk menghasilkan teknologi itu?

Sebenarnya badan iX Flow tersebut telah dibalut dengan material E-Ink yang menampilkan teknologi sama digunakan pada peranti pembacaan elektronik (e-reader) Kindle.

Jadi buat masa ini, E-Ink hanya menampilkan tiga warna iaitu putih yang boleh bertukar kepada hitam dan kelabu atau sebaliknya.

Material E-Ink itu sebenarnya adalah e-Kertas, yang menampilkan jutaan kapsul mikro dengan diameter sangat kecil seperti sehelai rambut manusia.

Setiap kapsul mikro tersebut mempunyai pigmen dengan cas negatif berwarna putih, dan pigmen dengan cas positif berwarna hitam.

Bergantung pada larasan yang dipilih, stimulasi boleh dilakukan menggunakan medan elektrik bagi mengubah warna hitam atau putih.

Bagaimanapun, balutan e-Kertas pada badan kereta berkenaan perlu dilakukan dengan tepat.

Ini kerana karekteristik untuk kontur dan juga variasi cahaya dan bayang semuanya bergantung kepada bagaimana e-Kertas itu dibalut pada badan kereta.

Ia juga memerlukan rekaan algoritma tersendiri bagi membolehkan pembentukan dan kadar fleksibel yang diperlukan supaya e-Kertas tersebut dapat membentuk garis-garis rekaan pada badan kereta berkenaan.

Menurut BMW, warna badan yang boleh berubah dalam sekelip mata itu bukan hanya memberikan kelebihan untuk aspek astetika semata-mata, tetapi ia juga boleh memainkan peranan besar untuk aspek kadar efisien.

Misalnya pada cuaca panas, BMW iX Flow boleh berubah kepada warna putih untuk mengurangkan jumlah haba yang diserap oleh badan kereta sekaligus ia boleh mengurangkan beban terhadap sistem pendingin hawa.

Ketika waktu cuaca sejuk pula, badan kereta boleh bertukar kepada warna hitam bagi menyerap haba sebanyak yang boleh bagi mengurangkan penggunaan tenaga untuk sistem pemanas.

Menerusi cara itu, banyak kuasa elektrik dapat dijimatkan dan secara tidak langsung membolehkan BMW iX Flow berkenaan bergerak dalam jarak yang lebih jauh dengan satu cas bateri penuh.

BMW turut menyatakan bahawa teknologi E-Ink turut boleh digunakan untuk membalut bahagian dalaman kenderaan.

Misalnya pada papan pemuka untuk mengelakkan ia menjadi terlalu panas ketika diparkir di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

– BebasNews

Leave a Reply