Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melaksanakan sistem kerajaan campuran yang turut menyaksikan Kabinetnya dianggotai oleh wakil pembangkang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Salleh.

Beliau berkata, sistem pentadbiran gabungan yang lebih terbuka dapat membolehkan mereka yang berkepakaran diletakkan pada posisi dan jawatan yang sepatutnya tanpa kerenah kepartian.

Katanya, usaha berkenaan tidak mustahil kerana wujudnya perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang dan kerajaan hari ini terdiri daripada parti-parti yang bertentangan antara satu sama lain dalam pilihan raya.

“Kali ini kerajaan sebenarnya memerlukan ‘will power’ atau kesanggupan yang sangat kuat, permulaannya kabinet mesti dirombak kerana jelas ia dipenuhi oleh menteri yang tidak kompeten.

“Sekarang sudah tiba masa rakyat diberi pemimpin yang benar-benar layak berada di tempatnya, yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat,” kata beliau dalam temubual dengan Awani.

Akmal berkata, sistem politik dan kerajaan hari ini perlu diubah kerana ia tidak membenarkan perwakilan daripada pembangkang meskipun berkepakaran dalam sesuatu bidang untuk menyertai pentadbiran negara.

“Contohnya kita ada seorang Ahli Parlimen yang sangat bagus tentang ilmu alam, hal-hal bencana ini, tetapi sebab dia berada di pihak pembangkang maka dia tidak dilantik sebagai menteri.

“Dalam demokrasi kita, tak semestinya kabinet itu perlu duduk dalam parti yang sama. Kerajaan yang ada sekarang pun bukannya parti dan pakatan yang sama – UMNO, Bersatu dan Pas” tambah beliau. – BebasNews

Leave a Reply