SETELAH enam minggu bersiaran (bermula 20 November lalu) Hijrahkan Laguku musim pertama akan melabuhkan tirainya malam ini (Sabtu) dengan menobatkan seorang daripada empat peserta akhir sebagai Juara.

Walaupun Hijrahkan Laguku sebuah pertandingan berkonsepkan realiti TV namun rancangan terbitan TV AlHijrah, stesen Islamik nombor satu negara berlandaskan syariah ini menampilkan suatu kelainan kerana dalam berhibur ia masih tidak tersasar daripada prinsipnya dengan menerapkan nilai-nilai murni menerusi lirik yang digubah semula daripada lirik lagu asal oleh peserta bersama seorang penulis lirik profesional sesuai dengan konsepnya yang mana mampu menarik perhatian dan minat penonton setianya agar tidak berpaling ke arah lain!

Bagaimanapun tidak dinafikan setiap peminat setia program ini mempunyai pilihan masing-masing agar artis kesayangan mereka samada Datuk Nash, Shahir Zawawi, Iwan Shahman dan Mark Adam menjuarai Hijrahkan Laguku yang akan bersiaran secara langsung selama dua jam bermula pada pukul 9.00 malam ini.

Namun apa yang pasti setiap pertandingan hanya seorang sahaja yang akan bergelar juara
walaupun tidak boleh dinafikan keempat-empat peserta mempunyai kebolehan dan keistimewaan serta gaya persembahan tersendiri sehingga melayakkan mereka muncul malam ini.

Jika mengimbau kembali persembahan mereka selama enam minggu, memang sukar untuk dinafikan kehebatan Nash dan Shahir yang dikatakan saling bersaing antara satu dengan lain seolah-olah membayangkan satu daripada mereka akan bergelar Juara Hijrahkan Laguku malam ini dengan membawa pulang hadiah wang tunai yang agak lumayan!

BERJAYAKAH Nash melakar sejarahnya yang tersendiri pada final “Hijrahkan Laguku” yang akan bersiaran secara langsung di TV AlHijrah pada jam 9.00 malam ini?

Bagaimanapun apabila menyentuh soal ini, kita tidak boleh menafikan kehebatan dan pengalaman Nash yang cukup popular sebagai penyanyi rock selama 40 tahun dalam dunia seni memberi peluang kepadanya untuk mencipta sejarah tersendiri malam ini.

Walaupun selama ini Nash cukup selesa dengan irama rock yang merupakan ‘fortenya’ tetapi sejak enam tahun lalu, Nash yang telah ‘berhijrah’ bukan sahaja dipilih menyertai program ini malah penyertaannya bukan sahaja untuk mewarnai pertandingan ini disamping mencabar kemampuannya sebaliknya beliau melihatnya sebagai salah satu ruang untuk beliau berdakwah melalui seni.

Benarlah kata orang pengalaman adalah sesuatu yang amat berharga yang tidak mungkin boleh ditukar milik dan apabila bercakap mwngenai itu, Nash membuktikan bersandarkan pengalaman itu beliau bagaikan ‘benih yang dicampak ke lautan yang bakal muncul sebuah pulau yang indah!’

Betapa tidak mempunyai suara tersendiri dengan persembahan bertenaga dan ‘versatile’ beliau yang mengungguli tempat pertama selama tiga minggu dalam Hijrahkan Laguku dengan minggu kedua (77 markah) minggu ketiga (78 markah) dan minggu kelima beliau memperoleh 86 markah beliau dikatakan bagai hampir menggenggam gelaran berkenaan.

SHAHIR Zawawi dikatakan peserta yang akan mencabar Nash.

Namun pada waktu yang sama, kita tidak boleh menafikan kemampuan Shahir Zawawi bekas juara sebuah program realiti TV pada tahun 2012. Meskipun Shahir yang pernah menghilangkan diri selama lapan tahun dari dunia seni namun kemampuan anak muda ini tidak boleh dipandang remeh.

Meskipun Shahir hanya memperolehi tempat pertama pada minggu keempat dan keenam ( 79 markah dan 73 markah) dengan suaranya yang lunak didengar, tidak mustahil Shahir yang menyertai program ini kerana konsep dakwahnya, mampu membuat kejutan dan menarik hati para juri malam ini.

WALAUPUN Iwan Shahman hanya mampu mengunpul markah tertibggi pada minggu pertama tetapi kemampuannya tidak boleh dipandang remeh.

Disamping Nash dan Shahir, kita juga tidak harus melupakan dua peserta yang mempunyai bakat dan sejarah hijrahnya yang tersendiri seperti Iwan Shahman pada minggu pertama menduduki tempat teratas dengan 90 markah. Sementara Mark Adam, bakat baru yang turut menyerlah dijangkakan akan memberi persembahan yang bertenaga setelah ‘direhatkan’ pada minggu lalu kerana positif Covid-19 yang mana tempatnya digantikan dengan Adeep Nahar dan berjaya menduduki tempat kedua.

Walaupun keempat-empat peserta telah meletakkan diri mereka pada tempat yang tersendiri namun apa juga keputusan malam ini diambil kira bersandarkan kreativiti lirik yang dihasilkan, gaya persembahan serta keberkesanan dakwah mereka melalui lirik yang dihasilkan menjadi faktor utama untuk para juri menilainya bagi melayakkan seorang daripada mereka dinobatkan sebagai Juara musim pertama Hijrahkan Laguku!

MARK Adam yang ‘direhatkan’ minggu lalu akan muncul malam ini.

Jika pada minggu pertama hingga keenam 100 peratus markah diberikan oleh juri profesional namun malam ini hanya 80 peratus markah sahaja diberi oleh juri profesional yang diketuai oleh komposer dan penerbit album yang tidak asing lagi, Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam dengan juri undangan Ustaz Don Daniyal.

Sementara 20 peratus markah lagi adalah melalui sistem ‘pooling’ yang mana para penonton boleh mengundi artis pilihan mereka dengan scan melalui TV QR Code.

Hijrahkan Laguku malam ini akan dimulakan dengan persembahan tiga artis jemputan Zamani, Mawi dan Cat Farish yang akan mendendangkan lagu “Tak Mungkin Berpaling” nyanyian asal Slam.

Shahir Zawawi akan memulakan persembahan dengan lagu “Madahku” ( lagu asal: Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain).

Nash akan menyanyikan lagu “Saat Kau Pergi” (lagu asal: Kenangan Bersamamu nyanyian Lefthanded) diikuti iwan Shahman dengan lagu “Memori Jalan Allah” ( lagu asal: “Memori Daun Pisang” penyanyi asal – Amelina dan Iwan) dan Mark Adam menyanyikan lagu “Sampai Aku Tutup Usia” ( lagu asal: Sampai Tutup Usia dengan penyanyi asal Angga Chandra).

Persembahan terakhir ‘battle’ (duet) yang dijangka akan menampilkan kehebatan para peserta yang mungkin akan memberi kelebihan markah kepada para peserta ialah antara Nash dengan Shahir Zawawi dengan lagu “Perjalanan Jiwa” ( lagu asal: Kamelia penyanyi asal Sweet Charity).

Kemudian diikuti lagu “Syurga Menanti” (lagu: asal “Istana Menanti” dengan penyanyi asal Rahim Maarof).

PENGACARA yang turut mewarnai “Hijrahkan Laguku” Faizal Ismail dan Bell Ngasri.

Juara Hijrahkan Laguku akan menerima hadiah wang tunai lumayan daripada TV AlHijrah. Sementara tiga peserta lain akan menerima hadiah saguhati (wang tunai ) yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Haji Idris Haji Ahmad. Turut hadir pada pertandingan akhir ini, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

– BebasNews

Leave a Reply