PM berada di Bera untuk memberikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1000 kepada mangsa banjir.

BERA – Empat lagi inisiatif bantuan banjir untuk semua mangsa bencana itu akan mula dibayar esok seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut merupakan bayaran barangan keperluan rumah, baucer membeli barangan elektrik,  rebat membaiki pulih kenderaan, serta bantuan baik pulih  rumah.

‘’Sumbangan akan mula Isnin, wang tunai RM2500 pembelian peralatan rumah bermula 10 Januari 2022.

“Kaedahnya ada tiga sama ada hantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai dan dewan, atau masuk ke akaun penerima. Terpulang kepada peringkat pengurusan daerah.

“Selain itu, baucer elektrik RM500, bantuan baik pulih rumah di bawah RM5,000 dan rebat penggantian kenderaan RM1,000 juga bermula esok,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan mendapatkan senarai serta nilai kos kerosakan yang terlibat bagi membolehkan penyaluran sumbangan dibuat sesegera mungkin.

Beliau turut menggesa agensi terlibat agar menyegerakan dan mempermudah urusan pemohon tanpa sebarang birokrasi bagi meringankan beban mangsa banjir.

Katanya pihak pejabat daerah perlu menyenarai lokasi bengkel dan kedai perkakas eletrik yang terdekat bagi memudahkan urusan penerima bantuan.

“Mesti segerakan tanpa karenah birokrasi bagi mempermudah bukan menyulitkan, cepat bukan lambat.

“Kita tidak mahu menambahkan kesusahan mangsa banjir, sudah lah mereka susah dan akhirnya nanti hasrat baik kerajaan tak dapat dilaksanakan pula,’’ katanya.

Sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.4 billion bagi kos pengurusan bencana banjir dan jumlah itu dijangka meningkat setelah menerima laporan penuh daripada semua agensi berkaitan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2022/01/09/4-lagi-inisiatif-bantuan-banjir-mula-diterima-esok-ismail-sabri/ 

Leave a Reply