Lalitha Kunaratnam
Oleh Sarfarizmal Saad

KITA perlu akui dan sedar bahawa masih ramai yang belum arif tentang maksud, hak dan sempadan undang-undang terhadap mereka yang bergelar ‘Whistleblower’ atau pemberi maklumat kepada sesebuah kes yang melibatkan peruntukan undang-undang dalam negara ini.

Berdasarkan informasi di laman web Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, kita boleh ketahui terdapat sembilan perkara utama mengenai Akta 711 ini.

Pertama siapa yang dimaksudkan ‘Whistleblower’ atau pemberi maklumat? Menurut BHEUU, mereka adalah orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan sama ada secara lisan atau bertulis.

Kedua, apakah yang dimaksudkan ‘kelakuan tidak wajar’? Ia bermaksud apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah.

Ketiga, siapakah Agensi Penguatkuasaan yang disebut di dalam akta ini? Mana-mana kementerian, jabatan atau agensi di peringkat Persekutuan dan negeri yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah mana-mana undang-undang sedia ada. Sebagai contoh Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain.

Selain pula yang menggalakkan orang awam mendedahkan sebarang perbuatan rasuah dan salah laku, apakah lagi fungsi Akta 711? Akta ini juga memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar. Sebagai contoh, sekiranya pemberi maklumat itu mendedahkan kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.

Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar mengenai majikan anda, kepada siapa atau bagaimana anda perlu melaporkan maklumat tersebut? Bolehkah anda mendedahkan melalui e-mel, telefon atau surat? Menurut BHEUU, seseorang pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana agensi penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya. Agensi penguatkuasaan tidak akan menolak pendedahan tersebut atas dasar “no wrong door policy”.

Untuk melindungi pemberi maklumat tersebut, pegawai yang diberi kuasa akan menghubungi pemberi maklumat untuk menghadiri temujanji supaya perlindungan di bawah akta ini dapat dilaksanakan.

Perkara keenam, apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat? Perlindungan maklumat sulit seperti maklumat mengenai identiti, pekerjaan, alamat kediaman, tempat pekerjaan dan lain-lain.

Kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi maklumat. Sebagai contoh, seseorang pemberi maklumat, tidak boleh disaman atau didakwa oleh pihak yang telah didedahkan kelakuan tidak wajarnya; perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan. Sebagai contoh, seorang pemberi maklumat telah memberi maklumat mengenai perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja si pemberi maklumat itu, maka pemberi maklumat itu adalah dilindungi di bawah akta ini.

Namun, bilakah pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta ini? Ia akan berlaku pada saat pemberi maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar (aduan), dia sudah menikmati perlindungan di bawah Akta ini.

Adakah pembatalan perlindungan yang diberikan boleh terjadi? Perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan di bawah seksyen 11 Akta ini.

Ada enam perkara yang menjadi penyebab kepada pembatalan perlindungan ini, iaitu pemberi maklumat sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar itu, pemberi maklumat sengaja membuat pernyataan palsu, pendedahan adalah remeh atau menyusahkan, pendedahan mempersoalkan merit dasar Kerajaan, pendedahan dibuat semata-mata untuk mengelak daripada dibuang kerja/tindakan tatatertib yang lain dan pemberi maklumat telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini.

Persoalan terakhir, adakah pekerja swasta turut termaktub di bawah Akta 711 ini? Akta ini terpakai dalam kepada mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini.

Mari kita kaitkan dengan isu terbaharu yang sedang hangat iaitu mengenai kes pemilikan saham yang kononnya bernilai berjuta ringgit dimiliki oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ada pihak yang meminta supaya adakah pemilik akaun Twitter “Lalitha Kunaratnam” yang merupakan pihak bertanggungjawab sebagai pemberi maklumat mengenai kes belian saham ini dilindungi di bawah akta sedia ada?

Ini berikutan tindakan Azam Baki mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) itu (Lalitha Kunaratnam).

Pihak parti DAP pula dilaporkan menawarkan khidmat guaman secara pro bono atau percuma kepada Lalitha Kunaratnam, seolah-olah sebagai tanda menyokong tindakan tersebut (pendedahan isu pemilikan saham tersebut).

Walhal jelas dalam kenyataan di laman web BHEUU mengenai Akta 711, bahawa tindakan Lalitha Kunaratnam itu tidak menggunakan saluran yang tepat dalam membuat laporan salah laku.

Dia hanya membuat hebahan melalui media sosial tanpa menggunakan saluran yang dikehendaki menurut akta sedia ada.

Adakah ini tindakan yang betul dan perlu kita sokong?

Merujuk kes yang berlaku pada tahun 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) yang diwujudkan bagi melindungi pemberi maklumat dalam isu rasuah tidak terpakai dalam kes berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

Beliau berkata, dalam kes PFN, tidak ada keperluan untuk memberikan perlindungan kepada pihak terbabit kerana perkara itu telah dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.

“Semua orang tahu itu dia, apa lagi perlindungan yang dia mahu,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada waktu itu.

Begitu juga yang terjadi kepada Rafizi Ramli pada tahun yang sama. Pendedahan yang dibuat oleh Rafizi mengenai salah laku kes NFC bukannya kepada mana-mana agensi penguatkuasaan. Ia melanggar seksyen 6 dalam akta tersebut.

Maklumat sulit tidak boleh didedahkan kepada umum. Pendedahan yang dibuat oleh Rafizi sendiri telah melanggar Banking and Financial Institutions Act (BAFIA) dan identiti Rafizi pula bukanlah dirahsiakan. Ianya melanggar seksyen 8 dalam akta 711.

Kita tidak boleh melonggokkan sesuatu perkara dalam sebuah bakul yang sama. Tidak semua pemberi maklumat perlu didesak untuk mendapat manfaat dari peruntukan undang-undang negara, sedangkan ia tidak ‘valid’ atau tidak menepati kehendak undang-undang tersebut.

Sama juga kes Azam yang dituduh sebegitu rupa. Tidak adil bagi dirinya untuk kita anggap beliau telah berdosa dan bersalah dalam kes ini tanpa terlebih dahulu melalui proses penghakiman yang adil.

Jika kita mahukan keadilan dan kedaulatan undang-undang terus mekar di bumi ini, maka sama-samalah kita mengamalkannya terlebih dahulu (berlaku adil kepada diri sendiri dan semua pihak berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada).- BebasNews

Leave a Reply